Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mungkin buat-buat bodoh ketika mempersoalkan keputusan Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan agensi itu buka balik fail kes dakwaan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali memiliki wang ringgit dan harta yang diluar kemampuannya.
Sebagai pemegang jawatan yang bertanggongjawab merangka segala bentuk strategi agar partinya menang dan terus menang...reaksinya itu bukanlah luarbiasa.Beliau tentu tahu akibatnya jika orang nombor dua parti itu sangkut dalam kes ini.
Sebab itu Rafizi dengan lancang mendakwa keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Azmin benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM.
Beliau dan bos-bos PKR lain mungkin boleh temberang orang kampong semasa ceramah-ceramah politik nanti kononnya kes ini dibuka semula kerana pilihanraya sudah hampir.
Besar kemungkinan mereka tidak akan terangkan apa itu Penal Penilian Operasi SPRM,siapa ahli penal itu dan bidang tugasnya.
Jika kita membuka laman web SPRM dibawah maklumat korprat dan bab Lembaga Penasihat/Jawatankuasa Penal segalanya tertera dengan jelas.
Dari situ kita akan mendapat maklumat bahawa penal ini dianggotai oleh lapan orang yang bukan pegawai SPRM sepenuh masa tetapi terdiri dari personaliti ' orang luar' yang ada kredibiliti dalam masyarakat.
Sembilan bidang tugas mereka digariskan ialah :
1. Menerima dan mendapatkan penjelasan berhubung perangkaan Kertas Siasatan yang dibuka oleh Suruhanjaya;
2. Menerima dan meneliti laporan daripada Suruhanjaya berhubung Kertas Siasatan yang mana tempoh siasatan melebihi tempoh 12 bulan;
3. Menerima laporan daripada Suruhanjaya berhubung semua kes di mana Orang Yang Ditangkap yang dilepaskan dengan jaminan oleh Suruhanjaya melebihi 6 bulan;
4. Menerima dan meneliti laporan daripada Suruhanjaya berhubung keputusan-keputusan Kertas Siasatan yang telah diperoleh dari Pendakwa Raya;
5. Menerima dan meneliti laporan daripada Suruhanjaya berhubung Kertas Siasatan yang dikemukakan kepada Pendakwa Raya dan tidak mendapat apa-apa keputusan selepas tempoh melebihi 6 bulan ke atas;
6. Memberi pendapat berhubung tindakan-tindakan ke atas kes-kes yang diputuskan untuk tidak dituduh;
7. Menasihati dan membantu Suruhanjaya ke arah keberkesanan operasi siasatan Suruhanjaya;
8. Meneliti, mengkaji dan memperakukan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah berhubung cadangan untuk meningkatkan keberkesanan operasi siasatan Suruhanjaya; dan
9. Mengemukakan laporan tahunan dan ulasan PPO kepada Y.A.B. Perdana Menteri berhubung dengan perjalanan operasi siasatan Suruhanjaya.
Selain Penal itu ada empat lagi Lembaga Penasihat dan Jawatankuasa yang bebas yang berfungsi memastikan ada check and balance dalam SPRM agar ia bergerak ikut landasan yang ditetapkan.
Maka dakwaan Rafizi itu secara langsung mempersoalkan kebijaksanaan Tan Sri Datuk Dr. Hadenan bin Abdul Jalil selaku Pengerusi dan tujuh anggota penal itu yakni Tan Sri Dato’ Cecil Abraham , Datuk Dr. Hamzah bin Kassim , Dato’ Zamani bin Abdul Ghani , Datin Aminah binti Pit Abdul Rahman , Profesor Dr. Syed Noh Syed Ahmad ,Tuan Nik Mohd Hasyudeen bin Yusoff dan Walter Sandosam .
Elok rasanya beliau perjelaskan kepada orangramai latar belakang mereka ini terlebih dahulu sebelum main sedap mulut mendakwa " keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Azmin benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM."
Rafizi juga perlu memberi taklimat tentang lembaga penasihat dan jawatankuasa penal SPRM yang lain.Begitu juga tentang keanggotaannya dan bidang tugas mereka agar ia jelas sejelasnya.
Hairan juga kenapa beliau tidak mempersoalkan keputusan penal penilaian itu tutup kes Ahli Dewan Undangan Negeri PKR Sri Muda Mat Suhaimi Shafiei dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amirudin Shari, yang disiasat berhubung isu penyelewengan pasir di Selangor.
Sebaliknya beliau mengunakan ayat " sungguhpun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM akan melepaskan ( Datuk Seri) Shahrizat (Jalil) dari tuduhan rasuah bersabit NFC".
Bijak...memang bijak beliau mengatur ayat politik itu.Kalau tidak putarnya begitu beliau wajar dibuang kerja sebagai Pengarah Strategi PKR.
Rafizi mungkin rasa dirinya kini sudah naik taraf sebagai crimebuster bila berjaya bongkar kes NFC dan Shahrizat terpelanting dari jawatan Menteri.
Sebagai parti yang kononnya mendabik dada menagungkan ketelusan,anti-rasuah dan segalanya yang baik-baik di muka bumi ini beliau sepatutnya mengambil sikap berlapang dada dan membiarkan siasatan keatas Azmin berjalan mengikut proses.
Sekurang-kurangnya ia akan dapat menghakis sikit kebaculan PKR selama ini untuk meminta siasatan terbuka terhadap isu dakwaan video seks 99.9 peratus tulin yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kalau nak kira takut apa...ini kerana kredibiliti mahkamah Malaysia sudah terbukti dengan pembebasan Anwar dari kes liwat Saiful Bukhari Azlan semata-mata atas faktor teknikal sahaja.
Isu dakwaan mengenai pemilikan wang ringgit dan harta Azmin bukan sesuatu yang baru.
Selain kalangan bekas aktivis PKR yang mendakwa tahu banyak tentang itu,adik Azmin, Ummi Hafilda sudah berbuih mulut bercakap mengenai 'kekayaan luar biasa' abang dan kakak iparnya Shamsidar Taharin.
Terbaru Rabu,beliau memberi sidang akhbar lengkap dengan resit pembelian saham segala macam.
Siapa yang tidak hairan kalau seseorang yang berjawatan Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri bergaji rasmi sekitar RM3,000 sebulan boleh ada kekayaan sekitar RM30 juta.
Resit dan bukti yang ditunjuk oleh Umni Hafilda itu sudah cukup untuk mencetuskan kecurigaan tentang pemilikan wang ringgit dan harta Azmin yang didakwa jauh dari kemampuan sebagai pegawai bergaji sebanyak itu.
Sekarang siapa yang nak jawab ?
Rafizi adalah seorang akauntan bertauliah.Mungkin beliau boleh bantu susun atur akaun peribadi Azmin agar dakwaan pemilikan RM30 juta itu selari dengan pendapatannya.
Sebelum SPRM bertanya,elok sangat beliau terlebih dahulu korek dari Azmin dari mana beliau dapat duit sebanyak itu untuk membeli saham atas nama dirinya dan atas nama Shamsidar.
Jika dalam kes NFC beliau berani langgar BAFIA,yakin peraturan yang ditetapkan oleh Bank Negara dalam soal kerahsiaan akaun bank...maka beliau tidak perlu bimbang untuk selongkar akaun bank Azmin pula.
Mana tahu kalau-kalau beliau boleh cari jalan ' bersihkannya'.
Azmin sendiri elok sangat berpegang kepada cogan kata berani kena benar...takut kerana salah.
Ada pemerhati yang kata beliau sepatutnya buat kenduri kesyukuran kerana SPRM akan buka balik fail kesnya.
Sekurang-kurangnya once and for all satu kepastian muktamad dapat dibuat keatas dakwaan yang sudah lama berlegar ini.
Jika ditakdirnya SPRM nanti dapati kes dakwaan ini tidak boleh jalan atau beliau dibebaskan oleh mahkamah jika kes dibicarakkan,sekurang-kurangnya adiknya Ummi Hafilda tidak boleh lagi menghantui hidupnya seperti sekarang.
Kenyataan bahawa BPR yakni nama SRM dulu sudah tutup kesnya tidak boleh dijadikan kata pemutus dirinya sudah OK.
Bukankah sudah ada peraturan dalam mana-mana kes jika ada bukti baru muncul,ia boleh dibuka semula.
Azmin juga perlu tahu feedback bahawa semakin ramai melihat penafian kosong baik beliau maupun Anwar sebagai ' bahan lawak'.
Sebabnya terbentang di depan mata.Sukar untuk menyalahkan mereka yang merasa begitu lebih-lebih lagi setelah melihat bagaimana keduanya main selamba menafikan video yang baru-baru ini terang-terang tunjuk mereka saling signal sebelum rempuhan ke Dataran Merdeka waktu demo Bersih 3.0.
Kalau sudah terang lagi bersuluh begitu boleh nafi...apa lagi yang boleh menghairankan.
Kedua mereka kini seolah hidup diawang-awangnya sentiasa merasakan orang tidak akan percaya langsung apasekalipun dakwaan terhadap mereka.
Ini belum lagi masuk bab video seks Anwar dan CCTV beliau naik turun lif apartmen lokasi aksi itu.
Tolak sebelah penyokong taksub dan rakan parti pakatan yang sengaja mahu butakan mata dan pekakkan telinga...mereka harus terima hakikat ramai lagi dikalangan 28 juta penduduk negara ini yang celik dan ada akal.
Tindakan mengejut seorang peserta Bersih 3.0 yang sergah Anwar dalam sidang akhbar di pejabat PKR sehari selepas perhimpunan yang kecoh itu adalah bukti rasa muak itu.
Itu baru satu suara yang berani tampil secara berdepan dengannya.Mereka lain yang senyap tidak semestinya tidak menyimpan perasaan sama merasa ' kena main' dengan tindak tanduk mereka hijack perhimpunan itu untuk cetuskan kekecohan.
Azmin tentu tahu kata-kata Inggeris yang berbunyi : you can fool some people sometime...buat you cannot fool all the people all the time. -
Agendadaily