Friday, May 18, 2012

Khairy Jamaluddin: Sokongan Muda Berpihak Kepada Umno


Kehadiran puluhan ribu golongan muda semasa sambutan ulang tahun UMNO ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini jelas membuktikan bahawa parti itu masih menerima sokongan padu daripada golongan muda.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata ini membuktikan bahawa tanggapan sesetengah pihak kononnya Umno tidak lagi mendapat sokongan golongan muda tidak benar sama sekali.

"Justeru kehadiran ramai golongan muda dalam perhimpiniunan jalanan di ibu kota pada 29 April lepas tidak boleh dijadikan ukuran untuk mengatakan bahawa sokongan golongan muda kini telah beralih arah kepada pembangkang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum Auto anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di sini.

Khairy berkata golongan muda sangat selesa berada di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana banyak suara dan masalah mereka didengar dan diteliti oleh Najib.

"Kerajaan mengadakan pelbagai program dan pelbagai dasar terutama dasar pemilikan tanah, pemilikan rumah pertama, pinjaman yang kita berikan kepada mahasiswa dan juga banyak dari segi latihan, usahawan muda," katanya.

Kerajaan juga, katanya banyak memberikan pengkhususan kepada orang muda dan juga melalui dasar-dasar kerajaan BN sekarang ini seperti pemansuhan Akta Rahsia Rasmi (ISA) dan kebebasan politik yang lebih diberikan kepada pelajar universiti dengan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

"Ini semua adalah tuntutan orang muda yang hendak lihat kepada kebebasan sivil yang lebih luas lagi contohnya orang mudalah yang paling lantang mengkritik ISA sehingga ia dimansuh dan digantikan dengan akta yang membenarkan semakan mahkamah contohnya, jadi kita lihat banyak dasar yang menjadi titik sentuh kepada orang muda," katanya lagi.

Beliau yakin dengan dasar-dasar BN yang realistik serta berpijak pada bumi nyata, majoriti anak muda akan memberi kepercayaan mereka kepada kerajaan hari ini. - Bernama

Galeri Gambar klik di sini

Cafe Rocket Bukti Penyalahgunaan Kuasa Kerajaan Selangor


Selama ini DAP dan pakatan pembangkang PR sering mendabik dada dan kerap bercakap besar seolah-olah merekalah juaranya dalam isu kredibiliti (kebolehpercayaan) dan integriti (kejujuran dan ketulusan). Dan, tidak sedikit penyokong DAP dan PR khususnya dari kalangan keturunan Cina yang menelan bulat-bulat retorik tersebut.

Malah ada juga segelintir orang India dan orang Melayu yang menyokong pembangkang turut sama menaruh kepercayaan serta terpengaruh dengan propaganda bombastik itu seolah-olah bagi mereka PR adalah paling telus, jujur, teguh amanah dan penuh kredibiliti.

Hakikatnya, realiti dengan fantasi jauh berbeza apatah lagi bila tiap bait kata dan janji mulus itu dilaungkan oleh golongan politikus yang resam kerja hariannya memburu kuasa dan harta berselindung disebalik retorik dan propaganda.

Pendedahan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz berkaitan cabang perniagaan DAP, Cafe Rocket yang beroperasi tanpa kelulusan majlis bandaran hanyalah satu daripada pelbagai isu yang sudah sekian lama sengaja dipendam begitu saja oleh kerajaan pakatan pembangkang yang memerintah Selangor.

Satu pendedahan yang menarik kerana ianya menambah lagi koleksi kepincangan urus tadbir negeri oleh kerajaan Selangor yang turut dianggotai DAP sebagai rakan sepakatan dalam memerintah negeri Selangor.

Sebelum ini dalam kes Teon Beng Hock, isu rasuah dan penyalahgunaan tender kontraktor Bumiputera oleh penyokong Cina DAP pernah didedahkan dalam inkues terbuka beberapa tahun lepas namun telah dipolitikkan pemimpin negeri kononnya ia permainan politik oleh BN.

Menurut Tunku Aziz, Cafe Rocket tersebut yang terletak di Petaling Jaya dimiliki oleh ahli kanan DAP hingga kini bebas beroperasi tanpa permit sah dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sejak hampir tiga tahun lalu.

Menurut Tunku Aziz lagi, apabila isu tersebut dibangkitkan oleh ahli-ahli DAP yang lain tiada tindakan konkrit diambil untuk menjawabnya melainkan seperti sengaja di sapu ke bawah karpet.

Mengikut rekod, perlancaran rasmi Cafe Rocket telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua menteri Pulau Pinang pada 4 Oktober 2009.

Timbul pertanyaan besar di sini, apakah punca utama yang mengecualikan Cafe Rocket daripada tertakluk pada undang-undang hingga dibenarkan beroperasi secara haram tanpa tindakan dari majlis bandaran?

Apakah disebabkan DAP sebagai komponen pendukung utama kerajaan negeri Selangor maka ia mendapatkan keistimewaan untuk melanggar aturan undang-undang tatkala banyak penjaja di tepi jalan terpaksa berdepan dengan langkah penguatkuasaan oleh MBPJ?

Mengapakah sehingga kini Menteri Besar Selangor, khalid Ibrahim terus berdiam diri sedangkan isu ini bukan sahaja berkait rapat dengan soal ketelusan dan kejujuran malah turut melibatkan penguatkuasaan undang-undang yang sepatutnya tiada mana-mana pihak pun terkecuali.

Adakah kerana pemimpin utama DAP, Ronnie Liu Tian Khiew berkuasa penuh sebagai EXCO ataupun Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian Dan Penyelidikan maka kerana itu Cafe Rocket diberi kelebihan untuk beroperasi secara haram?

Adalah agak jelik dan memalukan bila selama ini DAP gah berkokok mendabik dada sebagai juara demokrasi yang memperjuangkan kredibiliti dan integriti namun bila saat memiliki secebis kuasa pemerintahan sampai masanya tidak berupaya merealisasikannya.

Selama hampir tiga tahun cafe Rocket beroperasi tanpa permit seperti mana kata Tunku Aziz bermakna selama tiga tahun ini kerajaan Selangor membenarkan berlakunya perlanggaran undang-undang dan penyalahgunaan kuasa.

Baru diberi nikmat menguasai kerajaan di peringkat negeri pun dah terpampang ketidaktelusannya mentadbir, bagaimana mungkin untuk mengurus tadbir sebuah negara yang tentunya menuntut lebih ketegasan dan integriti yang tinggi.

Jika beginilah realiti dan hakikatnya, tiada guna untuk DAP mahupun kerajaan PR Selangor untuk terus mendabik dada sebagai pejuang demokrasi yang berintegriti apatah lagi untuk terus beretorik mendakwa diri sebagai anti rasuah dan anti penyalahgunaan kuasa.

Ketua Pemuda: Umno Masih Perlukan Khairy


Keputusan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang berhasrat mempertahankan jawatannya sebagai ketua sayap pemuda itu sesuai dengan keadaan semasa yang masih memerlukan kepimpinannya.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan Khairy sebagai seorang pemimpin yang amat diperlukan parti ketika ini.

“Pemuda Umno kini berada dalam keadaan sangat baik bawah pimpinan Khairy di mana pelbagai cadangan yang telah dibawanya kepada kerajaan melalui usaha pemuda, antaranya Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN).

“Hasil daripada inisiatif yang dibawa beliau adalah suara pemuda bagi memenuhi kehendak rakyat negara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Minggu lalu, Khairy berkata beliau berhasrat menawarkan diri untuk memimpin Pemuda Umno bagi tempoh satu lagi penggal di mana pemilihan akan dibuat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Khairy menyatakan hasratnya melalui laman Twitter.

Khairy juga menyatakan pendirian akan cadangkan had umur ketua pemuda sehingga 40 tahun sahaja berbanding sebelum ini.

“Pendekatan dibawa Khairy berjaya menyatukan orang muda di bawah payung BN,” katanya.

Menurutnya, gandingan Khairy dan Naibnya, Datuk Razali Ibrahim serta seluruh Exco merupakan gandingan mantap, sekali gus Pemuda Umno mempunyai masa depan yang amat cerah dalam membantu BN terus memenangi majoriti dua pertiga dalam PRU13.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, mereka menghormati hak Khairy, bagaimanapun posisi pimpinan dalam parti banyak bergantung pada keberkesanan kita dalam mengembalikan sokongan rakyat pada Umno dalam PRU13.

“Mengenai had umur, saya setuju kepada 40 tahun kerana ia beri ruang lebih ramai pemimpin muda untuk diketengahkan,” katanya.

Berlainan nada dengan Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Husin yang menyarankan had umur sesuai bagi jawatan ketua pemuda adalah 45 tahun.

“Ini adalah bersesuaian dengan landskap politik negara yang sukar menerima perubahan secara mendadak. Umno adalah parti lama yang mempunyai seni yang tersendiri, jadi tidak boleh tergesa-gesa,” katanya.-Sinar Harian

Galery Gambar Perasmian Auto Forum PUNB 2012 klik di sini

Thursday, May 17, 2012

Debat PTPTN Khairy VS Rafizi Disiarkan Secara Langsung Pada 22 Mei


Debat isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli akan berlangsung, Selasa ini.

Ia sepatutnya diadakan awal bulan ini tetapi ditangguhkan.

Berbanding lokasi asal di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam, debat anjuran Kumpulan Media Karangkraf ini akan diadakan secara langsung dari Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, menerusi saluran Astro Awani dan Bernama Radio24, mulai jam 10 malam.

Debat melibatkan dua pemimpin kanan Umno dan PKR ini bertemakan Pemansuhan PTPTN & Hala Tuju Pendidikan Tinggi.

Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali berkata, oleh kerana debat Selasa depan diadakan di auditorium, tempat untuk hadirin terhad kepada 400 orang.

"Oleh kerana debat ini juga akan disiarkan secara langsung oleh Astro Awani dan Bernama Radio24, kami berharap mereka yang tidak dapat hadir di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf akan mengikuti siaran langsung," kata beliau.

Mereka yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi nombor telefon 019-3310211 (Laila), 019-2808492 (Fazli) atau 017-3714523 (Zailani). -SH

Muhyiddin: Umno Sedia Muzakarah Dengan Pas


Umno sedia menyahut seruan Pas untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun agak terkejut dengan pelawaan Pas itu, beliau, yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, perkara itu telah dan pernah disuarakan parti itu sebelum ini, namun ditolak keras, khususnya oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Kalau ikut yang lepas, Nik Aziz tak pernah setuju. Masa itu dia kata Umno tak boleh dipercayai, tapi kalau hasrat dia ikhlas, tujuan untuk kebaikan ummah, masyarakat Islam dan negara Malaysia kita tidak jadi masalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia dan makan tengah hari bersama Timbalan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Nik Aziz bahawa parti itu sentiasa bersikap terbuka untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja termasuk Umno dan juga bersetuju untuk muzakarah itu diadakan dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata parti itu sedia menerima pelawaan itu kerana perkara tersebut telah disuarakan Umno sejak sekian lama atas kesedaran pentingnya umat Islam disatukan, yang kini berpecah kepada beberapa kelompok kerana berbezan ideologi.

"Jadi kalau ada dan hasrat itu adalah ikhlas, lahir daripada niat yang ikhlas, yang tujuannya ialah untuk kebaikan, kita tiada masalah," katanya.

Berhubung pendedahan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim bahawa bekas partinya cuba merasuah sebanyak RM50,000 selepas beliau meletak jawatan, Muhyiddin berkata, pendedahan itu mengesahkan lagi pandangan banyak pihak yang mengatakan DAP sebenarnya tidak demokratik adalah benar.

Katanya, apa yang dilakukan parti itu terhadap seorang pemimpin yang cukup berprinsip seperti Tunku Aziz juga menyerlahkan sifat dan sikap sebenar DAP, iaitu berlagak, sombong dan tidak boleh ditegur.

"Saya juga pernah mengatakan demikian semasa saya melawat Pulau Pinag dulu bahawa Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri biasa bersikap sombong dan angkuh tetapi itu mungkin tidak dilihat penting sangat tetapi apabila seorang tokoh seperti Tunku Aziz menerima padah yang sama barulah kita ketahui sikap sebenar DAP.

"Jadi, sama ada dia (Guan Eng) buat tawaran RM50,000 itu, pendedahan Tunku Aziz itu tentu membolehkan kita membuat penilaian mengenai DAP sebenarnya, bukan Guan Eng sahaja," katanya.

Tunku Aziz dalam temu bualnya dengan sebuah akhbar semalam, dilaporkan berkata Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Johari Khir menghubunginya dan menawarkan wang tunai RM50,000 selain jawatan sebagai felo kanan di Institut Penang, sebuah badan pemikir milik kerajaan negeri supaya menutup mulut dalam isu peletakan jawatannya.

"Apakah dia fikir saya jenis orang yang begitu? Saya menganggap tawaran ini sebagai cubaan untuk merasuah, saya fikir ia biadab dan saya tidak akan bekerja lagi dengan lelaki ini," katanya dipetik sebagai berkata dalam temu bual itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata masyarakat, khususnya orang Melayu yang menyokong parti itu harus melihat semula sokongan mereka kerana apa yang berlaku jelas menunjukkan DAP yang kononnya mengamalkan prinsip demokrasi bukanlah sebuah parti untuk orang Melayu.

"Bagi saya ini suatu isyarat yang penting untuk rakyat Malaysia. Sebab itu sahaja cara-cara yang dilakukan oleh pemimpin DAP biasanya tidak serasi serta sebulu dan langsung tidak menghormati orang lain," katanya. - Bernama

Video Selamat Datang Ke Selangor... Free Massage


 
Memamng belambak pun rumah urut di Selangor! rosak! rosak!