Tuesday, October 23, 2012

Kit Siang Perjuang Negara Sekular, PAS Bagaimana?


Percubaan Lim Kit Siang untuk memecahbelahkan umat Islam dengan berdegil ingin memaksa tafsiran Negara Sekular terhadap Malaysia meletakkan PAS di dalam dilemma.

Konon, Kit Siang ingin menimbulkan keraguan umat Islam terhadap UMNO dengan mengulangi kenyataan Tunku Abdul Rahman bahawa Malaysia adalah Negara Sekular. Namun, Kit Siang lupa bahawa Tun Mahathir, Tun Abdullah dan Datuk Seri Najib telah menegaskan bahawa Malaysia adalah Negara Islam.

Justeru, jika kenyataan seorang Perdana Menteri perlu diambil kira, kenapakah kenyataan tiga Perdana Menteri lain perlu ditolak?

Lagipun, apakah sesebuah konsep pentadbiran itu boleh dijelaskan dengan hanya satu kenyataan? Sedangkan, yang lebih penting dalam menerangkan konsep pentadbiran adalah dengan melihat kepada perlembagaan serta landskap kehidupan masyarakat secara keseluruhan.

Malaysia adalah Negara Islam berdasarkan hakikat ianya diperintah oleh pemimpin Islam yang tidak menyeru kepada maksiat dan perlembagaan yang tegas mendaulatkan Islam serta kehidupan masyarakat yang bebas beribadah tanpa sekatan. Malaysia juga telah menjadi Negara Islam contoh dan ini diiktiraf sendiri oleh Ulama-ulama tersohor dunia termasuk Syeikh Yusuf Al-Qaradawi.

Maka, bagi Kit Siang menafikan negara ini sebagai Negara Islam menyerlahkan kesungguhan beliau menentang Islam dan ingin mendirikan Negara Sekular.

Persoalan yang timbul dari tindakan Kit Siang ini ialah, apa kata PAS?

Apakah Kit Siang membangkitkan soal ini kerana ingin membantu PAS membina Negara Islam yang sebenar? Tentu sekali tidak, kerana diketahui bahawa Kit Siang dan DAP sentiasa konsisten, terbuka dan tegas menolak sebarang usaha membentuk Negara Islam.

Tidak mustahil Kit Siang sekadar ingin menguji di mana pendirian PAS dalam hal ini. Apakah PAS akan membela kenyataan Kit Siang dengan turut mengakui negara ini adalah sekular atau sebaliknya? Jika ya, apakah PAS akan berikrar untuk mendirikan Negara Islam yang sebenar yang dikatakan tidak mampu dibuat oleh UMNO, atau apakah PAS hanya akan akur dengan DAP untuk memastikan negara ini kekal sebagai Negara Sekular?

Seperti yang dijangka, PAS hanya berdiam diri bimbang tersalah cakap dan ditengking oleh DAP. Sudahnya, PAS hanya mampu bersetuju dengan DAP bahawa negara ini bukan Negara Islam tetapi PAS tidak mampu untuk menolak perjuangan DAP untuk memastikan negara ini menjadi Negara Sekular.

Kini jelaslah bahawa jika Pakatan Rakyat memerintah, Kit Siang akan memastikan bahawa perkara pertama yang akan diisytiharkan oleh kerajaan PR ialah berkenaan Malaysia bukanlah sebuah Negara Islam. Berikutan itu, maka 4 tonggak utama perjuangan DAP akan dilaksanakan sejurus PR mengambil-alih iaitu ‘menghapuskan Institusi Raja-raja Melayu’ sekali gus ‘Rejimen Askar Melayu DiRaja’, ‘menghapuskan hak istimewa bumiputera’ dan ‘membuang Islam sebagai agama rasmi negara’.

Bagi mereka-mereka yang naļf dan jahil tentang politik DAP, mungkin tidak tahu bahawa keempat-empat ini adalah objektif utama penubuhan dan perjuangan DAP sejak dahulu sehingga kini dan selamanya.

Justeru, dengan tindakan PAS yang berdiam diri apabila DAP memperjuangkan Negara Sekular, maka tidak salahlah jika kita berkata yang PAS juga telah bersedia mendokong matlamat perjuangan yang sama dengan DAP. Jika masih ada umat Melayu yang mengundi PAS, maka ketahuilah bahawa anda sedang membantu menghapuskan kedaulatan Islam di bumi sendiri.

Ronnie Liu Bawa Masuk Arak


“Masa zaman BN, ada tak 7 Eleven ada beer ? Sejak Ronnie Liu jadi exco kerajaan tempatan, 7 Eleven, Speedmart semua ada beer. Siapa yang bekerja di situ ? Seratus peratus orang Melayu kita, “kata Ayah Pong.

Ayah Pong adalah salah seorang daripada rakyat Selangor yang menerima impak sebaik sahaja Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih kerajaan negeri Selangor. -AIDC

Jawatan MB Kelantan: Dulu Nik Aziz Tolak, Sekarang Tak Puas-puas


Nampaknya tekanan agar Nik Aziz bersara semakin menjadi-jadi. Ramai di kalangan akar umbi PAS sendiri semakin resah dengan kesungguhan Tok Guru mereka untuk kekal berkuasa walaupun mereka enggan mengakuinya kerana terlalu taksub dengan ‘kewalian’ Tok Guru.


PAS sendiri nampaknya ‘malu alah’ dengan kedegilan Nik Aziz untuk memahami kehendak rakyat Kelantan yang sudah tidak lagi yakin dengan kepimpinannya. Namun, sudah menjadi budaya orang Melayu itu untuk tidak berterus terang tetapi lebih senang mengata di belakang kononnya atas alasan hormat dan menjaga hati orang, terutama orang yang lebih tua, apatah lagi pemimpin bertaraf Ulama. Akibatnya, Nik Aziz mula kelihatan seperti seorang yang gila kuasa kerana enggan berundur walaupun telah tiba masa.

Sedangkan, orang yang paling hebat dikritik PAS sebagai ‘gila kuasa’ suatu ketika dahulu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad telah pun berundur, walaupun sehingga ke hari ini, fizikal dan mental beliau masih kuat dan jauh melangkaui kemampuan manusia di usianya. Tetapi, Nik Aziz yang kononnya tawaduk lagi warak ini, tidak sanggup pula melepaskan jawatan walaupun sudah tidak mampu dari segala segi.

Dalam ucapan tahniah oleh Presiden PAS atas ulangtahun 22 tahun kepimpinan Nik Aziz di Kelantan semalam, telah menyebut tentang bagaimana Nik Aziz pada ketika hendak dilantik sebagai MB telah telah menolak jawatan tersebut.

Mungkinkah beliau sebenarnya ingin menyindir Nik Aziz, dengan harapan agar Nik Aziz kembali terfikir akan perubahan dirinya sehingga menjadi manusia yang gila kuasa dan sayangkan jawatan?

Nik Aziz telah menceburi politik sejak tahun 1967 iaitu 45 tahun dahulu. Dari jangkamasa itu, beliau telah pun menjadi Menteri Besar selama 22 tahun. Tidak mungkin beliau belum puas berpolitik lagi. Jika nak dikatakan yang beliau masih punya perancangan untuk Kelantan yang perlu dilaksanakan, adalah tidak logik kerana tempoh itu sepatutnya sudah lebih dari cukup untuk beliau melaksanakan apa jua rancangannya. Sedangkan dalam tempoh yang sama, Tun Mahathir berjaya membangunkan sebuah negara dari negara ketiga menjadi Harimau Asia yang dicontohi dan dikagumi serata dunia.


Maka, jelaslah tidak ada alasan yang konkrit bagi Nik Aziz untuk terus kekal berkuasa selain dari, gila kuasa. Jika benar beliau seorang yang tawaduk sebagaimana 22 tahun lepas di mana beliau menolak jawatan Menteri Besar, maka beliau pasti akan berundur dengan sendirinya, tanpa perlu disindir, disuruh atau dipaksa memandangkan keadaan fizikal dan mental beliau yang semakin hari semakin kronik.

Jawapan yang diberi Nik Aziz ketika ditanya mengenai sama ada beliau akan bertanding lagi membuktikan yang beliau enggan berundur. Katanya, beliau menyerahkan ‘nasibnya’ kepada kepimpinan tertinggi untuk membuat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak dalam pilihanraya kali ini.

Sedangkan ‘kepimpinan tertinggi’ itu adalah beliau sendiri iaitu sebagai Mursyidul Am, satu jawatan yang mengatasi Presiden, yang terletak dalam kategorinya yang tersendiri, yang berhak mengampun dan menghukum manusia lain, tidak boleh dikritik atau disentuh hatta maksum, mengikut pemikirannya.

Berdasarkan hakikat ini, beliau cukup maklum yang tiada siapa di dalam PAS yang sanggup untuk menyatakan secara terus terang yang beliau tidak lagi diperlukan oleh rakyat Kelantan dan perlu berundur.

Jelas, jawapan yang diberikan hanyalah jawapan politik yang berniat untuk memperdaya rakyat. Nik Aziz tidak ada niat langsung untuk berundur selagi hayat masih ada. Beliau yakin jika rakyat Kelantan sanggup berada di bawah pemerintahannya yang tidak membawa apa-apa perubahan kepada mereka selama 22 tahun, maka apakah yang menghalang mereka untuk terus berada di bawahnya bagi beberapa tahun lagi? Jika air berkarat, kotor dan tidak cukup bekalan tidak pernah menjadi masalah selama hidup mereka, kenapa ia perlu menjadi masalah sekarang? Jika rakyat tidak kisah berhijrah ke negeri lain untuk mencari rezeki selama ini, maka kenapa pula mereka akan kisah mengenai perkara itu sekarang?

Belum ada rakyat Kelantan yang mati kerana bekalan air kotor atau tidak cukup. Nik Aziz pula tidak pernah menghalang rakyat miskin untuk mencari rezeki di negeri lain, jadi apa masalahnya? Rakyat hidup seperti biasa, dan beliau akan terus menjadi MB, seperti biasa juga.

Apapun, jika benar Nik Aziz ingin bertanding lagi, maka nasib beliau akan ditentukan oleh rakyat Kelantan sendiri, sama ada beliau akan terus menjadi MB atau bekas MB selepas PRU nanti.