Wednesday, October 31, 2012

Keberkatan Kepimpinan BN, Minyak Muncul Di Pahang

Penemuan rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam, kira-kira 160km dari luar pantai negeri Pahang pastinya merupakan satu rezeki yang nikmatnya akan dirasai oleh seluruh penduduk negeri itu.

Dalam satu kenyataan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak semalam, beliau secara rasmi mengesahkan penemuan medan minyak tersebut yang dijangkakan memulakan pengeluarannya pada suku ketiga tahun 2014.

Berdasarkan kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komersial, dianggarkan pengeluaran minyak dari lokasi Blok PM 307 itu akan mencapai jumlah pengeluaran sekitar 17,500 hingga 20,000 tong sehari bermula.

Memandangkan medan minyak baru ini berada di Pelantar Benua dan jaraknya melebihi 3 batu nautika dari pantai negeri Pahang, maka ia berada dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sepenuhnya.

Dengan kata lain, negeri Pahang tidak layak untuk menerima pembayaran royalti ataupun lebih tepat lagi "bayaran tunai" 5% disebabkan medan minyak yang ditemui itu tidak berada dalam lingkungan 3 batu nautika.

Bagaimanapun, Kerajaan Pusat masih boleh mengunakan budi bicaranya menyalurkan dan menyumbang sejumlah Wang Ehsan kepada negeri Pahang atas faktor keprihatinannya demi kebajikan rakyat negeri tersebut.

Berikutan itu, atas faktor keprihatinan itu maka negeri Pahang bakal beroleh Wang Ehsan daripada Kerajaan Pusat yang dianggarkan berjumlah sekitar RM100 juta setahun.

Limpahan rezeki dan nikmat kurniaan Allah s.w.t ini tentulah amat bermakna bagi rakyat negeri Pahang. Tanpa perlu mendesak, menyaman atau mengugut, mereka juga berpeluang menikmati hasil kekayaan dari dasar laut itu.

Selain Pahang, negeri Kelantan juga pernah menerima Wang Ehsan berjumlah RM20 juta selepas disahkan wujud aktiviti pengeluaran gas di luar pantai Kelantan.

Sebelum ini, Kerajaan PAS Kelantan pernah mendabik dada penemuan bijih emas dan besi di Kelantan adalah simbol keberkatan kepada pemerintahan PAS di negeri itu.

Maka tidak salah untuk kita nyatakan penemuan minyak di luar pantai Pahang adalah tanda betapa kepimpinan Kerajaan BN telah mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t.

Bezanya, di Kelantan aktiviti cari gali emas dan besi lebih banyak menguntungkan penyangak dan perompak harta benda rakyat melalui perlombongan haram yang dilindungi para gengster upahan pro PAS.

Namun di Pahang pula, limpah kurnia rezeki dari Allah s.w.t ini InsyaAllah bakal dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat jelata.

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone

Akaun Selangor, P.Pinang mengelirukan


Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) meminta Ketua Audit Negara untuk menyemak semula beberapa kemasukan dalam akaun hasil bagi kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang menimbulkan kekeliruan.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri berkata, kajian oleh BNBBC terhadap Laporan Audit Mengenai Pengurusan Kewangan di Peringkat Negeri-Negeri mendapati ada keadaan yang mana wang daripada akaun amanah negeri (hasil bukan cukai) dimasukkan ke dalam akaun hasil.

Di samping itu, menurut beliau, wujud juga keadaan yang mana wang yang disalurkan daripada kerajaan Pusat tidak dibelanjakan oleh kerajaan negeri

"Saya ingin membuat pembetulan sekiranya ada orang berkata Menteri Besar Selangor paling cemerlangdari segi pengurusan kewangan kerana negeri paling cemerlang adalah Sarawak.

"Saya hendak tegaskan disini, dari segi kedudukan kewangan yang disatukan, negeri yang terbaik adalah Sarawak dengan RM18.4 billion, diikuti Sabah dengan RM2.6 billion dan kemudian baru Selangor RM1.9 billion serta Pulau Pinang RM1.1 bilion" katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas perkara sama, Ahli Parlimen Kota Belut, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, setiap kerajaan negeri mempunyai tiga jenis hasil cukai, akaun amanah negeri serta penerimaan hasil dari Kerajaan Pusat.

"Akaun amanah hanya boleh digunakan untuk tujuan khusus tetapi sebelum audit dibuat, beberapa kerajaan negeri ini telah memindahkan wang dari akaun amanah ke dalam akaun hasil dan mengangapnya sebagai hasil pendapatan kerajaan negeri.

"Mereka buat silap mata, ambil dari poket kanan dan masukkan ke dalam poket kiri. Ini juga apa dikatakan sebagai 'Creative Accounting' dan kita minta Ketua Audit Negara untuk menyiasat semula beberapa entri (hasil) yang perlu dilihat di Selangor dan Pulau Pinang," katanya.

Membangkitkan perkara yang sama, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan berkata, beliau memberi contoh kegagalan kerajaan negeri Selangor menggunakan sepenuhnya peruntukan yang disalurkan Kerajaan Pusat menerusi Kumpulan wang Amanah Penyelengaraan Jalan Raya Negeri dan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris).

"Laporan Ketua Audit Negara 2011 menunjukkan kerajaan negeri Selangor hanya membelanjakan sebanyak 58 peratus peruntukan dan masih ada baki RM319 juta yang masih belum digunakan untuk membaiki dan menyelenggarakan jalan-jalan di negeri Selangor.

"Malangnya, kita dimaklumkan wang sebanyak RM5.15 juta daripada peruntukkan Marris ini dikeluarkan kerajaan negeri Selangor dengan diberikan kepada Syarikat Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd. (PIYSB) untuk membiayai pinjaman membina Universiti Selangor (Unisel) dan ini adalah salah guna duit penyelenggaraan jalan," katanya.-Utusan

Pemuda UMNO Setuju BN Umum Calon PRU Lebih Awal Di Kawasan Tertentu....


Ada dua perkara penting dalam sidang media selepas mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO di PWTC petang Selasa. Pertama, ketuanya Khairy Jamaluddin mengumumkan keputusan sebulat suara Pemuda UMNO mendesak kerajaan tangguh perlaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang jadi rungutan ramai dan kedua pihaknya berharap pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihanraya Umum ke 13 lebih awal boleh dipertimbangkan bagi kawasan tertentu tetapi bukan setiap kawasan.

Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa bukan setiap kawasan bersedia untuk diumumkan calon awal disebabkan faktor dalaman dan sebagainya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kawasan tertentu dimana pada pendapat pimpinan parti calon-calon berkenaan dilihat boleh diterima oleh kebanyakkan masyarakat dan juga BN maka tidak menjadi masalah untuk diumum lebih awal.

Menurut beliau, pengumuman calon itu tidak terlalu lama sebelum pilihan raya, ianya mungkin boleh diumumkan dua minggu atau sebulan lebih awal.

Kata Khairy, “kalau ada risiko masalah dalaman parti perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum umumkan calon, hanya kawasan-kawasan yang tidak ada masalah sahaja diumum lebih awal.”

Ditanya samada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia membuat tuntutan jumlah calon muda ditonjolkan pada PRU akan datang, Khairy berkata, “kita minta tapi tidak tuntut peratusan atau jumlah sebab yang lebih penting penilaian [I]'winnerable candidate'[/I] daripada Pengerusi BN.”

“Kita minta lebih daripada jumlah sebelum ini tetapi akhirnya penilaian perlu dibuat oleh pucuk pimpinan parti,” tambahnya.

Menjawab soalan tentang persiapan pemuda negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, Khairy menerangkan tumpuan terkini pada Lapuran Ketua Audit Negara yang melibatkan isu-isu penyelewengan oleh negeri-negeri dikuasai pembangkang.

Beliau meminta pimpinan pemuda negeri Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor memberi tumpuan dengan menonjolkan isu-isu tersebut dengan membuat lapuran polis, SPRM dan sidang akhbar supaya dapat memberi tekanan agar rakyat tahu terdapat banyak penyelewengan telah berlaku di bawah pentadbiran kerajaan pembangkang itu.

Bagi menarik minat pengundi muda menyokong BN dalam PRU akan datang, Khairy bersetuju agar beberapa tawaran penting diberikan pada golongan muda selain faktor 'winnerable candidate' dan tidak sabotaj parti.

“Perlu ada tawaran yang 'special' untuk pengundi muda, saya sarankan kepimpinan BN setiap negeri menawarkan sesuatu khas untuk pengundi muda dalam manifestonya sebagaimana belanjawan Perdana Menteri dimana ada beberapa program khas untuk orang muda,” katanya.

“Dalam manisfesto kita mesti ada komponen yang khas untuk orang muda lebih-lebih lagi negeri yang kita kalah yang mana pengundi muda menjadi penentu bagi kejayaan negeri tersebut,” tambah beliau.

Sebelum itu Khairy mengumumkan keputusan sebulat suara mesyuarat Exco Pengerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk mendesak kerajaan untuk menangguhkan dan mengkaji semula perlaksanaan penggunaa AES kerana terdapat banyak rungutan orangramai.

Menurut Khairy, terdapat banyak rungutan orang awam mengenai lokasi kamera tersebut tidak mencerminkan keberangkalian berlakunya kemalanagan seperti kawasan hitam atau tidak selamat.

“Ada juga yang anggap kedudukan kamera itu tidak praktikal dari had lajunya dan jarak kamera yang terlalu dekat dengan kawasan terlalu mudah melepasi had laju,” katanya.

Pada kesimpulannya, Kata Khairy, “terlalu banyak kelemahan pada sistem tersebut, bukan tidak setuju kerana pada dasarnya adalah satu ssistem yang baik tetapi sebulat suara supaya tuntut dan mendesak kerajaan persekutuan supaya menangguhkan perlaksanaan AES ini dan kaji semula.”

Beliau berharap mesyuarat jemaah menteri akan datang supaya dapat membincangkan isu tersebut dan mengeluatkan keputusan atas permintaan serta desakan Pemuda UMNO.

Mesyuarat itu juga Khairy mengumumkan Pergerakan Pemuda UMNO dengan sukarela akan membantu dalam proses pendaftaran penerima BR1M kepada golongan bujang yang tidak tersenarai sebagai penerima BR1M pertama.

Menurut Khairy setiap pemuda bahagian akan diagihkan lebih 2000 borang di mana 'Skuad Utusan Pemuda' akan turun ke bawah seperti kawasan kilang dan tumpuan ramai golongan muda untuk mengagihkan borang.

“Sekiranya perlu kita akan kutip borang itu untuk dihantar ke Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi memudahkan proses. Pemuda UMNO akan mainkan peranan yang proaktif kearah membantu orang muda bujang untuk daftar sebagai penerima BR1M 2.0 itu,” ujarnya.- Agendadaily

Tuesday, October 30, 2012

Pemuda UMNO Desak Kerajaan Tangguhkan Pelaksanaan AES


Terima kasih kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin kerana mendengar dan berani memutuskan pandangan berhubung isu AES... dimana Pemuda terima kebaikan AES akan tetapi kerajaan juga perlu mendengar rungutan dari rakyat tentang soal pelaksanaannya dari segi lokasi kamera, had laju laluan tertentu, jarak pemberitahuan kamera AES.

Diatas sebab-sebab tersebut pemuda UMNO desak kerajaan tangguhan pelaksanaan AES dan kaji semula pelaksanaannya.

---

KUALA LUMPUR 30 Okt – Pemuda UMNO hari ini menuntut dan mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan mengkaji semula pelaksanaan sistem berkenaan kerana terdapat banyak rungutan dan persoalan mengenai sistem tersebut.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata terdapat banyak pandangan serta maklum balas daripada akar umbi mengenai sistem berkenaan dan pergerakan itu berharap mesyuarat kabinet pada minggu ini dapat membincangkan dan membuat keputusan berdasarkan desakan pergerakan itu.

Menurut beliau pihaknya telah membincangkan perkara berkenaan secara pro dan kontra dan kesimpulannya pergerakan itu mendapati terdapat banyak kelemahan yang ada pada sistem AES itu.

“Banyak rungutan mengenai lokasi kamera berkenaan…. Ada pandangan orang awam yang katakan lokasi itu tidak mencerminkan kebarangkalian berlakunya kemalangan. Banyak rungutan kawasan tersebut bukanlah kawasan yang dianggap tidak selamat atau bukan kawasan hitam.

“Keduanya ada tempat yang mana kamera diletakkan had lajunya tidak praktikal.. had laju rendah untuk diletakkan kamera dan banyak kenderaan yang melepasi had laju tersebut tanpa timbulkan masalah keselamatan. Ketiganya jarak kamera terlalu dekat dengan kawasan tertentu yang mana kawasan itu mudah untuk melepasi had laju.

“Kesimpulannya kami dapati bahawa ada banyak kelemahan pada sistem AES ini dan bukan kami tidak setuju kerana pada dasarnya sistem automatik adalah sistem yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengeruskan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) seterusnya menambah sekiranya sistem berkenaan hendak dilaksanakan selepas ini, kerajaan perlulah mengkaji beberapa aspek seperti lokasi, had laju dan mengadakan pendidikan umum.

“Bukan kita tidak sokong AES ini untuk jalan raya menjadi lebih selamat dan kami memahami bahawa ini tidak menghalalkan mereka yang melanggar undang-undang tidak dibawa pengadilan….AES menimbulkan banyak masalah.

“Jadi Pemuda desak kerajaan tangguhkan pelaksanaan AES dan kami harap mesyuarat jemaah menteri pada minggu ini dapat membincangkan perkara ini dan membuat keputusan atas permintaan dan desakan kami,” katanya.

Dalam pada itu Khairy turut memberitahu Pemuda UMNO dan Pemuda BN akan berperanan sebagai pemduah cara dalam usaha membantu proses pendaftaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Kita buat perkara ini atas semangat kesukarelaan sendiri dan tidak diminta oleh mana-mana pihak. Cuma kami dapati bahawa pengedaran BR1M kepada penerima baru terutama golongan bujang yang tidak tersenarai dalam BR1M pertama perlu kita permudahkan proses dan membantu mereka.

“Saya dah minta setiap bahagian edar borang dan skuad utusan pemuda pergi ke kawasan kilang-kilang, kawasan orang orang muda dan sasaran kita adalah 2,000 setiap bahagian. Kita akan pergi ke kawasan yang ramai orang muda untuk edarkan borang dan sekiranya perlu akan kutip dan hantar borang BR1M 2.0 ke LHDN.

“Walaupun borang ini mudah dimuat turun menerusi internet, boleh diisi secara elektronik tetapi contohnya ramai pekerja kilang yang tidak sempat untuk isi secara elektronik dan kami akan hantar Skuad Utusan Pemuda untuk bawa borang berkenaan kepada mereka yang layak,” katanya.

Sumber: http://www.rembau.com.my

Azizan MB Paling Lemah!


Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah dikatakan amat disenangi rakyat Kedah kerana sikapnya yang santai, suka berjenaka dan bersih. Bagi rakyat Kedah yang tidak berfikiran jauh, ketiga-tiga sifat ini sudah cukup untuk diberi undi. Mereka tidak sedar bahawa mentadbir negeri memerlukan lebih dari sekadar personaliti yang disenangi.

Bagaimanapun, Laporan Audit yang dibentangkan baru-baru ini seharusnya membuka mata rakyat Kedah mengenai kesilapan mereka memberi kepercayaan kepada pihak yang salah atas sebab-sebab yang salah. Jelas dari laporan tersebut bahawa negeri Kedah berada dalam keadaan ‘kehilangan arah’ akibat Menteri Besarnya tidak punya kawalan dan pengetahuan atas apa yang berlaku.

Masalah MB Kedah tidak tahu apa-apa bukan masalah kecil sepertimana yang cuba digambarkan oleh PAS kepada rakyat Kedah. Kelemahan beliau telah mengakibatkan Kedah kerugian atas sebab-sebab yang tidak sepatutnya atau sepatutnya dapat dielakkan sejak dari awal.

Audit mendapati bahawa MB Kedah telah gagal mengenalpasti projek yang berisiko tinggi seperti perladangan di Papua New Guinea. Entah bagaimana, projek sebegitu besar boleh diteruskan dengan pinjaman berjumlah USD44 juta dari luar negara tanpa tandatangan Lembaga Pengarah. Pinjaman pula dibuat tanpa dokumen yang lengkap.

Begitu juga dengan projek 99 East Langkawi yang mengalami kerugian hanya kerana tidak menepati perjanjian tanpa sebab-sebab yang pasti.

Dan tidak perlulah disebut lagi tentang lantikan kontraktor yang tidak berdaftar sepertimana yang didedahkan secara meluas di dalam akhbar. Dari situ pula, terdedah kemudiannya amalan kronisme dan korupsi serta kelemahan yang ketara di semua peringkat pentadbiran yang terlibat.

MB yang kononnya Ulama ini juga gagal memastikan perihal agama dititikberatkan. Buktinya, Laporan Audit mendapati bahawa sijil halal negeri Kedah bagi tahun 2011 telah diberikan tanpa dikemukakan kepada jawatankuasa kerana jawatankuasa telah TIDAK PERNAH BERMESYUARAT. Sebaliknya semua kelulusan sijil halal dilakukan oleh YDP secara bersendirian atas alasan untuk kepentingan industry yang mana membangkitkan persoalan mengenai korupsi.

Semua yang berlaku ini amatlah mengejutkan kerana ia melangkaui kelemahan biasa dalam sejarah audit negeri.

Kedah bukannya negeri yang besar malah besar sedikit sahaja dari Perlis. Dari segi perindustrian juga Kedah masih jauh jika dibandingkan dengan Pulau Pinang, Selangor atau Johor. Dengan hanya beberapa projek setahun tentunya aktiviti kewangan Kedah juga tidaklah begitu rancak. Dalam ertikata lain, tidak seharusnya seorang Menteri Besar terlepas pandang atau tidak sedar akan apa yang berlaku dalam negeri yang kecil ini.

Justeru, tidak ada alasan bagi Azizan untuk menafikan kelemahannya. Azizan juga tidak dapat lagi untuk meletakkan kesalahan ke atas bahu kerajaan terdahulu memandangkan projek-projek yang mengalami masalah yang ‘pelik-pelik’ ini adalah bermula ketika pemerintahannya.

Sudahlah projek yang ‘diluluskan’ tidak masuk akal, kerugian yang dialami pula diakibatkan oleh masalah yang tidak masuk akal juga. Di masa yang sama pula, Azizan langsung tidak mampu mencari projek yang benar-benar masuk akal yang amat diperlukan oleh Kedah dan rakyatnya. Contohnya, memelihara, memulihkan dan membina pusat-pusat pelancongan serta peninggalan sejarah. Sehingga kini, pusat pelancongan yang boleh dibanggakan oleh rakyat Kedah, hanyalah Langkawi, itupun dicetus dari pemikiran Tun Mahathir yang amat dibenci oleh PAS.

Kedah sebagai tamadun tertua seharusnya mampu menjadi pusat sejarah namun usaha untuk menggali dan mengorek serta mendokumenkan sejarah lama masih gagal dilakukan. Malang bagi Kedah kerana pemimpinnya hanya berminat untuk meraih undi tanpa memikirkan tanggungjawab sebenar mereka terhadap negeri tersebut. Sedangkan Kedah mampu mengatasi atau menyaingi Melaka dalam menjadi negeri bersejarah.

Ini belum lagi dikira masalah sampingan seperti KUIN atau KCS sendiri yang mana perasaan tidak puas hati di antara orang bawahan dengan orang atasan serta orang sekeliling berterusan tanpa apa-apa tindakan atau keputusan dari Azizan. Perebutan jawatan dalam pentadbiran Kedah juga dibiarkan berlarutan seolah-olah Azizan sudah buntu atau mungkin benar-benar tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku.

Kini, setelah segalanya terdedah dengan bukti audit, kita tidak tahu sama ada Azizan sengaja buat tak tahu atau benar-benar tidak tahu. Beliau tidak pula memberi jaminan siasatan atau penambahbaikan akan dilakukan ke atas pendedahan audit.

Tetapi, apa yang beliau tahu ialah menuding jari kepada pihak lain serta mengangkat bahu mengaku tidak tahu. Langsung beliau tidak malu menjadi MB yang serba tak tahu.

Maka tidak hairanlah bila ada yang bertanya “Apa yang Azizan buat di Kedah?” Maka jawapan rakyat Kedah ialah “Azizan buat tak tau”.

Anwar Restui Azmin Ganti Khalid di Selangor


Sepintas lalu memang tidak mengejutkan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim umumkan Tan Sri Khalid Ibrahim akan bertanding sekali lagi bagi mempertahankan kerusi parlimen Bandar Tun Razak pada PRU ke 13 nanti.

Sebelum inipun Ketua Umum PKR itu sudah mengumumkan Naib Presiden, PKR N. SurendraN, akan bertanding di Padang Serai manakala Pengarah Strategi, PKR, Rafizi Ramli akan bertanding di Pandan.

Kerusi Padang Serai kini disandang N.Gobalakrishnan yang keluar PKR pada 29 Januari 2011 manakala kerusi Pandan diwakili ahli parlimen Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ong Tee Kiat.

Cuma jadi tanda tanya kenapa Anwar hanya mengumumkan Menteri Besar Selangor itu akan mempertahankan kerusi parlimen Bandar Tun Razak tidak sekali dengan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok yang dimenangi Khalid pada 2008?

Apakah ini mesej Anwar bahawa Khalid hanya akan mempertahankan kerusi Bandar Tun Razak di Wilayah Persekutuan dan tidak dicalonkan semula di DUN Ijok?

Menariknya, pengumuman Ketua Pembangkang itu yang juga penasihat ekonomi Selangor dibuat beberapa hari selepas Pengerusi DAP, Karpal Singh mencadangkan wakil rakyat parti itu bertanding satu kerusi saja pada pilihan raya akan datang.

Namun, beliau berkata dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CEC), parti itu bersetuju bahawa hanya dalam kes "terkecuali", seseorang anggota parti itu dibenar menyandang dua kerusi iaitu kerusi DUN dan parlimen.

Karpal juga berpendapat Ketua Menteri Pulau Pinang, yang juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng boleh dianggap sebagai antara kes terkecuali itu.

Lim kini wakil rakyat bagi kerusi parlimen Bagan dan DUN Air Putih.

Sepatutnya, Anwar boleh mengikuti cara Karpal bagi memastikan Khalid bukan sahaja kekal bertanding di Bandar Tun Razak tetapi di Ijok supaya Khalid kekal sebagai Menteri Besar sekiranya pembangkang kekal memenangi Selangor pada PRU ke 13.

Apabila beliau tidak berbuat demikian, timbul tanda tanya, apakah tindakan Anwar itu sebagai mesej awal kepada Khalid, yang disifatkan Anwar sebagai Menteri Besar paling ‘cemerlang’ bahawa Khalid tidak akan bertanding di Selangor lagi.

Apakah ini juga bermakna Anwar awal-awal lagi menghantar signal supaya timbalan presiden parti, Azmin Ali bakal menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar?

Lagipun sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei pernah mengeluarkan pendapat bersetuju Khalid dipindahkan ke pentadbiran kerajaan pusat sekiranya pembangkang PRU ke13.

Beliau menyifatkan sebagai seorang yang berpengalaman luas dan sememangnya layak mentadbir di peringkat persekutuan.

Pandangan Shuhaimi dilihat selari dengan pendapat Azmin sebelum ini, yang menyatakan bahawa Abdul Khalid berkemungkinan akan ditukar ke peringkat pusat selepas PRU13.

Selain itu, sudah diketahui umum bahawa Azmin dikatakan sudah memasang angan-angan menggantikan Khalid sebagai menteri besar malah sudah mengambil alih jawatan pengerusi PKR Selangor daripada Khalid.

Dalam pada itu, pengumuman demi pengumuman bakal calon PKR dalam PRU ke 13 hanya mengesahkan Anwar berkuasa penuh dalam parti itu bukannya Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Walaupun sebagai Presiden PKR, Wan Azizah masih membisu mengenai calon-calon parti itu kecuali hanya mengumumkan beliau akan bertanding kerusi DUN di Pulau Pinang pada PRU nanti.

Wan Azizah mungkin tidak kisah suaminya itu mengumumkan nama-nama calon mewakili parti tetapi dalam isu membabitkan Khalid, pastinya Wan Azizah tidak senang duduk jika Anwar berkeras hanya mahu Khalid bertanding di Bandar Tun Razak sahaja.

Ini kerana Khalid dilihat rapat dengan Wan Azizah yang diketahui amat tidak menyenangi Azmin.

Namun, dengan mengumumkan Khalid kekal bertanding di Bandar Tun Razak dan ‘membisu’ pasal kerusi DUN Ijok atau DUN lain di Selangor, Anwar sudahpun membuka jalan kepada Azmin memburu cita-citanya sebagai Menteri Besar di negeri itu. -Agendadaily