Thursday, April 12, 2012

Dicekup! Selangor Maju Dengan Tukang Urut...


Seramai 13 wanita warga asing termasuk remaja bawah umur yang menjadi pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam dua serbuan di sebuah pub dan pusat refleksologi di Bandar Mahkota, Cheras, kelmarin.

Serbuan Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor yang diketuai Asisten Superintendan Adzli Abu Shah itu dijalankan jam 10.45 malam.

Beliau berkata, dalam serbuan di pub, pihaknya menahan lapan GRO warga Vietnam berusia 17 hingga 30 tahun, yang sedang sibuk melayan lima pelanggan mereka.

“Pemeriksaan mendapati empat daripada wanita itu menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara, dua dikesan tiada dokumen pengenalan diri dan dua lagi hanya mempunyai slip daftar kemasukan.

“Semakan menunjukkan premis terbabit beroperasi sejak lima tahun lalu, selain lesen juga sudah tamat tempoh,” katanya.

Adzli berkata, siasatan menunjukkan tiada khidmat seks ditawarkan di premis itu, namun polis percaya semua GRO terbabit ada menawarkan perkhidmatan itu di luar premis, tanpa pengetahuan pengurus pub bagi mencari duit lebih.

Menurutnya, seorang penjaga premis lelaki berusia 22 tahun turut ditahan dalam operasi itu kelmarin.

Dalam operasi berasingan di pusat refleksologi pula, Adzli berkata, lima tukang urut terdiri daripada tiga wanita Thailand dan dua warga Laos dicekup.

Beliau berkata, semua wanita berusia antara 24 hingga 44 tahun itu sedang asyik mengurut lima pelanggan mereka, manakala tiga lagi pelanggan lain sedang menunggu giliran untuk diurut.

“Siasatan awal dapati semua tukang urut tidak memiliki permit kerja itu, kerap keluar masuk negara menggunakan pas lawatan sosial.

“Kita tahan seorang lelaki tempa­tan berusia 30 tahun yang juga merupakan penjaga premis,” katanya.

Adzli berkata, semua yang ditahan termasuk lima pelanggan di pusat ref­leksologi dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kajang untuk tindakan lanjut dan siasatan dibuat mengikut kesalahan menggaji pekerja tanpa permit.

No comments: