Wednesday, May 9, 2012

KJ: Ketua Pemuda Umno Jangan Lebih 40 Tahun


Khairy Jamaluddin mahu had maksimum umur penyandang jawatan Ketua Pemuda Umno ditetapkan 40 tahun dan beliau akan mengesyorkan perkara itu apabila berundur dari pergerakan tersebut.

Sehubungan itu, jelas Khairy, beliau akan mengesyorkan agar idea itu dipertimbangkan oleh pergerakan itu apabila melepaskan jawatan Ketua Pemuda kelak.

Pada masa sekarang tiada had umur bagi mereka yang hendak memegang jawatan Ketua Pemuda Umno.

"Pemuda Umno had umur 40. Tapi Ketua Pemuda tiada had umur. Saya nak cadang had umur 40 untuk KP (Ketua Pemuda) bila saya lepaskan jawatan," kata beliau yang memenangi jawatan itu pada pemilihan diadakan Mac 2009

Beliau, 36, melahirkan pandangan ini ketika berinterasi dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menerusi Twitter tengah hari ini.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, beliau tidak mahu membawa perkara itu sekarang kerana bimbang akan ada pihak mengatakan beliau hendak menyekat peluang orang lain.

"Kalau saya cadang sekarang orang kata saya nak sekat orang lawan saya. Selepas saya selesai lakukan (melepaskan jawatan), saya akan cuba untuk mengubah had umur Ketua Pemuda," katanya lagi.

Saifuddin yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata, beliau menyambut baik langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendefinisikan semula had umur golongan belia iaitu antara 15 dan 30 tahun.

"Definisi belia PBB: 15-24 (tahun). Kita (Malaysia): 15-40, tertua di dunia! Pada 1997, saya cadang turunkan had umur, tapi ditolak. Kini KBS cadang 15-30, sesuai," katanya lagi.-SH

No comments: