Tuesday, May 1, 2012

Tayangan Video Perhimpunan Bersih 3.0 @PDRMsia



Satu tayangan video hampir tujuh minit berkaitan keganasan penyokong ditayangkan kepada wartawan, termasuk kejadian Unit Amal Pas merempuh polis di KLCC serta serangan terhadap anggota polis dan jurugambar TV Al-Hijrah, Mohamad Azri Salleh di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Polis mengenal pasti penyokong, penganjur termasuk pemimpin politik yang dilihat mencetuskan provokasi sehingga menyebabkan penyokong Duduk Bantah Bersih 3.0 merusuh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sebelum itu menjelaskan perhimpunan yang diadakan Sabtu lalu, bukan perhimpunan aman, sebaliknya demonstrasi jalanan yang bertukar menjadi rusuhan.

“Kita sudah kenal pasti individu yang memulakan rusuhan tersebut. Siasatan yang dijalankan bukan hanya meliputi mereka yang terlibat secara langsung tetapi juga terhadap mereka yang dianggap pencetus perhimpunan ini.

“Apa yang berlaku merupakan satu kesalahan merusuh, melanggar perintah mahkamah dan beberapa kesalahan lain yang akan dipastikan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Ismail berkata, beliau kesal kerana penganjur tidak mengotakan janji di mana gagal memastikan perhimpunan tersebut tidak bertukar ganas.

Ini kerana, beliau berkata, keganasan itu bermula selepas penyokong memecahkan halangan terakhir iaitu penghadang dan kawat duri di Dataran Merdeka.

Beliau berkata, polis kemudiannya bertindak secara profesional untuk menangani perusuh selepas mereka berkelakuan agresif dengan mengubah dan merempuh halangan dalam usaha untuk menawan Dataran Merdeka.

“Kita terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan 'water cannon' untuk menyuraikan perusuh selepas mereka memecahkan halangan di Dataran Merdeka.

“Sebelum itu kita membenarkan mereka berhimpun selama beberapa jam tetapi keadaan itu bertukar ganas apabila penyokong bertindak di luar batasan undang-undang dan di luar semangat Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

No comments: