Sunday, September 30, 2012

1 Ahli Politik, Artis Bersatu Di Malam Seni Mencintai Nabi Muhammad


Beberapa pemimpin politik, ahli akademik dan artis mendeklamasi puisi sempena Malam Seni Mencintai Nabi Muhammad SAW di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang di sini Sabtu malam.

Mereka ialah bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan personaliti televisyen Wardina Saffiyah.


Masing-Masing menyampaikan puisi, yang antara lain, menyentuh keperibadian dan sejarah perjuangan Nabi Muhammad dalam memartabatkan agama Islam.

Majlis itu diadakan bagi membantah penyiaran filem 'Innocence of Muslims' arahan Sam Bacile, yang jelas menghina Nabi Muhammad serta agama Islam, dan dihadiri kira-kira 500 orang.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom, Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib.

Jamil Khir, dalam ucapan ringkasnya, berkata kerjasama masyarakat Islam tanpa mengira fahaman politik adalah bukti keseriusan mereka dalam mengutuk sebarang bentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad.


Sementara itu, Khairy ketika ditemui pemberita berkata majlis tersebut diadakan susulan perhimpunan bantahan di ibu negara terhadap penyiaran filem berkenaan di laman YouTube.

"Ketika masih ramai umat Islam membantah penyiaran video dan karikatur penghinaan itu, masih ada lagi kartun penghinaan yang sama di Eropah," katanya.

Pada 21 September lepas, perhimpunan bagi mengecam filem itu diadakan di depan Kedutaan Amerika Syarikat serta Masjid Jamek Kampung Baru di sini, yang dianjurkan Pergerakan Pemuda Umno dan Dewan Pemuda PAS.

Antara artis yang turut menjayakan program itu ialah Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search.-Bernama

1 comments:

Anonymous said...

buat maulid dibak kan bagus.

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates