Thursday, December 20, 2012

0 Pemuda Gerakkan Inisiatif Bantu 240,000 Muflis Dapatkan Pembelaan


Komitmen kerajaan untuk mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012 lalu diaplikasikan melalui gerak kerja yang dilaksanakan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Menjelaskan perkara itu, Exconya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pihaknya terpanggil untuk menggerakkan inisiatif dengan beri kerjasama untuk mencari penyelesaian berikutan rekod sedia ada menunjukkan lebih 240,000 orang muflis termasuk kakitangan kerajaan dan usahawan tidak mendapat pembelaan.

“Kita mahu mereka ini tampil untuk memberikan pandangan serta bekerjasama dengan kita. Hasil daripada maklumat itu, kita akan bawa kepada pengetahuan pihak berkuasa dan saya yakin, akta baru nanti akan memberikan lebih ruang kepada orang yang bankrap untuk mendapat peluang kedua.”

Katanya, hasil pertemuan bersama Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) di Putrajaya baru-baru ini, terdapat banyak ruang boleh diambil.

“Difahamkan, hanya dua puluh peratus saja yang berjaya dikenalpasti sementara bakinya tidak diketahui. Kita bimbang jika tidak dicegah, ia akan mengancam masa depan serta produktiviti negara,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Muflis @ Bankrap.

Menerusi pengumpulan maklumat di laman sosial facebook dan twitter, Pemuda UMNO bersama gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan membawa semua pendapat berkenaan ke pengetahuan pihak berwajib termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz untuk pertimbangan selanjutnya.

“Terdapat ruang untuk mereka yang muflis kembali menjalani kehidupan seperti biasa terutama golongan muda bagi mendapatkan kembali hak serta bebas dari belenggu bankrap.

Sohaimi yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (BePU), Pemuda Umno, berkata, orang ramai boleh melayari blog www.muflis-peluangkedua.blogspot.com atau facebook dan twitter Muflis Peluang Kedua bagi tujuan itu.

Menurutnya, satu forum berkaitan isu berkenaan akan diadakan penghujung Januari depan dengan menghimpunkan mereka yang muflis untuk berbincang mengenai masalah terbabit dengan penyertaan beberapa Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Bank Negara Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menjawab segala perkara berbangkit.

“Kita juga melantik artis Fizo Omar sebagai duta kerana dia juga diisytihar muflis, jadi saya berharap orang ramai mengambil peluang ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Hadir sama, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad dan Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Abdul Karim Said Khadaied.

Sumber: www.pemuda.com.my

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates