Tuesday, April 23, 2013

#PRU13 Hadi Jadi PM - Kit Siang Jangan Risau, Kata PAS


JOHOR BARU: Pemimpin-pemimpin PAS hari ini berkata Kit Siang tidak perlu “risau” mengenai siapa harus menjadi Perdana Menteri jika pembangkang diberikan mandat memerintah.

Semalam, ketika cuba meraih undi bukan Melayu di Johor, Kit Siang menolak anggapan bahawa Hadi berpeluang menjadi Perdana Menteri jika pembangkang menang Pilihan Raya Umum (PRU13).

“Jika benar dakwaan bahawa DAP sudah bersetuju untuk Hadi menjadi Perdana Menteri kita, tuan-tuan dan puan-puan, Johor dan saya tentulah sama-sama akan bimbang…terhadap apakah yang beliau akan lakukan kepada kita semua. Betul, tidak?’ kata Kit Siang di ceramah dekat sini malam tadi.

Ketika dihubungi Antarapos, Timbalan Mursidul Am PAS Datuk Haron Din berkata soal siapa menjadi PM hanya perlu ditangani selepas keputusan pilihan raya pada 5 Mei diketahui.

"Fokus utama PAS dalam saat ini untuk memenangi sebanyak yang boleh. Kalau sudah nyata kita ada tanda untuk majoriti dalam Parlimen, baru kita nak berpakat, siapakah Perdana Menteri.

"Kita tidak mahu bincang lagi isu ini ( Perdana Menteri). Siapa sahaja boleh komen, Kit Siang pun boleh komen,” kata beliau.

PAS adalah parti paling besar dalam gabungan pembangkang, selain bertanding jumlah kerusi yang jauh lebih tinggi berbanding DAP.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Kit Siang tidak harus risau kemungkinan Hadi menjadi Perdana Menteri.

"Yang penting sekarang bukan pasal jawatan Perdana Meteri, yang penting adalah sejauh mana kita boleh menguasai Putrajaya," kata Tuan Ibrahim.

"Saya pun tidak pasti apakah yang dia (kit Siang) risau. Sebab keputusan penting, kita buat secara bersama dalam kepimpinan Pakatan Rakyat. Dia (Kit Siang) tidak perlu risau,"

Hadi sebelum ini menyifatkan PAS sebagai tulang belakang pembangkang yang diperlukan oleh DAP untuk menubuhkan kerajaan.

“Dengan jumlah kerusi yang dimenangi sebanyak itu, DAP tidak boleh membentuk kerajaan kerana yang menjadi tulang belakang Pakatan ialah PAS, parti Melayu Islam," katanya.

Bagaimanapun, semalam Kit Siang menegaskan DAP tetap menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri pembangkang sungguhpun penyokong Pakatan Rakyat di Johor cenderung kepada Hadi.

Kit Siang berkata beliau mengutarakan persoalan itu kepada hadirin di ceramahnya di Gelang Patah dan Muar susulan kenyataan Datuk Ghani Othman bahawa Hadi akan menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang menawan Putrajaya.

“Saya tanya beribu-ribu hadirian semua kaum di Muar dan Geang Patah siapa menjadi pilihan mereka Najib ataupun …Hadi.

“Mereka jelas mahukan Hadi menjadi Perdana Menteri jika terpaksa memilih di antara beliau, Muhyiddin Yassin atau Mahathir,” tambah Kit Siang kepada pemberita.

Ini kali pertama Kit Siang menyuarakan kecenderungan rakyat mahupun Hadi menjadi PM dan bukannya Anwar, sekiranya pembangkang menang PRU kali ini.

Sungguhpun pilihan yang ditawar oleh Kit Siang hanya merujuk kepada Hadi dan pemimpin BN, namun pemimpin DAP itu mengakui Hadi mempunyai sokongan besar di kalangan penyokong pembangkang untuk jawatan tertinggi itu.

Bagaimanapun Kit Siang terus mematikan sebarang ruang untuk menimbang sokongan terhadap Hadi itu apabila menegaskan DAP tetap menyokong Anwar untuk jawatan tertinggi itu.

Beliau menegaskan partinya tidak berganjak daripada keinginan mahukan Anwar dan bukannya Hadi sebagai calon Perdana Menterinya.

Gelang Patah menyaksikan pertarungan dua penjuru diantara Kit Siang dan Menteri Besar Johor Ghani Othman.

Ghani menawarkan diri untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina itu untuk menangkis apa yang dlilihat beliau sebagai cubaan DAP “mengimpot” politik perkauman ke negeri itu. -AntaraPos

No comments: