Friday, October 4, 2013

4 #PemilihanUMNO Khairy Bersedia Untuk Terus Memimpin Pemuda UMNO-BN #KJ4KP #Vote4KJ @Khairykj


Berikut adalah petikan dari laman facebook YB Khairy....

"Pemilihan Ketua Pemuda UMNO Malaysia: Tinggal lebih kurang seminggu sebelum perwakilan Pemuda UMNO di seluruh negara menentukan kepimpinan untuk penggal akan datang.

Sepertimana yang rakan-rakan sedia maklum, saya sekali lagi menawarkan diri untuk terus menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, jawatan yang saya sandang sejak tahun 2009.

Selama empat tahun yang lepas, pelbagai program telah Pemuda UMNO-BN laksanakan dengan tema mendekati orang muda melalui politik khidmat bakti. Program-program yang dijalankan oleh Pemuda UMNO-BN di bawah kepimpinan saya menyentuh isu-isu yang menjadi kebimbangan anak muda negara terutamanya yang berbangsa Melayu.

Hasil kajian yang telah kami buat dalam BN Youth Lab beberapa tahun dahulu, pendekatan Pemuda UMNO-BN telah diubah secara menyeluruh. Orang muda zaman sekarang tidak lagi tertarik dengan politk yang berteraskan retorik semata-mata, sebaliknya mereka mahu melihat apakah penyelesaian atau solutions yang dapat ditawarkan oleh parti-parti politik.

Oleh yang demikian, saya telah membawa Pemuda UMNO-BN kearah solutions-based politics yang mementingkan jalan penyelesaian dan bukan hanya tahu mendesak kerajaan tanpa cadangan atau pelan pelaksanaan sendiri.

Contohnya, kita mendapati orang muda risau dengan masa depan kerjaya mereka dan juga kos sara hidup yang meningkat. Pemuda UMNO-BN telah bertindak atas kebimbangan ini dengan penganjuran Karnival Kerjaya Pemuda BN (BN Youth Job Fair) yang sudah masuk tahun keempat penganjuran dan telah menjelajah ke seluruh negara. BN Youth Job Fair telah menerima hampir sejuta pengunjung sejak ia bermula dan telah membantu 140,000 orang - majoritinya anak muda - mendapat peluang pekerjaan.

Pemuda UMNO-BN juga telah mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan untuk menangani masalah perumahan untuk orang muda melalui BNY HOPE yang akhirnya menjadi polisi baharu melalui PR1MA, Skim Rumah Pertamaku dan rumah transit untuk orang muda. Jelajah 1Malaysia atau JOM dibawah Pemuda UMNO-BN pula telah berjaya membaik pulih ratusan rumah usang orang muda di seluruh negara.

Pemuda UMNO-BN juga telah memperjuangkan isu gaji minimum bersama kesatuan-kesatuan sekerja sehingga ia menjadi realiti. Pada akhir tahun ini Akta Kebangkrapan akan dipinda hasil daripada usaha kami untuk memberi peluang kedua kepada mereka yang dibelenggu status muflis.

Banyak lagi program-program yang kami telah buat selama empat tahun lalu. Pemberian biasiswa untuk anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah untuk ke IPTS juga telah kita berikan melalui BNYES, lesen motosikal diberi dengan harga yang terendah melalui (BL1M) yang masih dalam pelaksanaan, gerakan sukarelawan dibayai melalui Dana Belia 1Malaysia (kini diambil alih 1M4U), profesional muda dilibatkan dalam politik melalui BNYV dan isu keadilan sejagat sering dibangkit terutama isu Palestin.

Ini tidak termasuk peranan Pemuda UMNO-BN sebagai suara orang muda. Sebagai contoh, baru-baru ini kami membantah cadangan PTPTN untuk menyenaraikan para peminjam yang lewat membayar atau tidak membayar hutang di bawah senarai CCRIS sehinggakan cadangan itu tidak diteruskan.

Inilah antara pencapaian kami selama empat tahun yang lepas. Memang betul, corak kepimpinan Pemuda UMNO sekarang berbeza dengan zaman dahulu.

Namun saya berpendapat gaya lama di mana Pemuda sinonim sebagai kumpulan pendesak semata-mata sudah tidak relevan lagi.

Insya'Allah sekiranya diberi mandat sekali lagi, saya akan terus memimpin Pemuda UMNO-BN supaya kami dapat membawa lebih banyak lagi idea penyelesaian atau solutions untuk orang muda. Semua orang boleh bercakap, tetapi bukan semua yang boleh melaksanakan.

Mohon sokongan rakan-rakan pada 12hb Oktober. Saya, KJ, sekali lagi menawarkan diri sebagai calon nombor 1 bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia".


Sumber: www.facebook.com/khairykj

4 comments:

Anonymous said...

Saya SOKONG YB KJ !!!

Anonymous said...

utk apa nak sokong? apa yg KJ cuba buat? menjahanamkan lg duit pemuda?

Anonymous said...

Orang muda risau dengan masa depan kerjaya mereka dan juga kos sara hidup yang meningkat. Pemuda UMNO-BN telah bertindak atas kebimbangan ini dengan penganjuran Karnival Kerjaya Pemuda BN (BN Youth Job Fair) yang sudah masuk tahun keempat penganjuran dan telah menjelajah ke seluruh negara. BN Youth Job Fair telah menerima hampir sejuta pengunjung sejak ia bermula dan telah membantu 140,000 orang - majoritinya anak muda - mendapat peluang pekerjaan.

Anonymous said...

antara salah satu penyumbang terbesar kemenangan UMNO pd PRU lepas adalah usaha KJ membawa nama BN mendekatkan kepada Belia negara tanpa mengira kaum, strategi disusun, peranan diubah..bukan menyembang yg lebih, ujung tak nampak, pangkal dh lesap. baru jd calon tp dah ketara sgt dah ni, gawat..aku yg memerhati pn jadi geram beb.

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates