Tuesday, January 18, 2011

Adun Sri Muda, Suhaimi Bakal Didakwa!


Menurut kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pihak polis telahpun menyelesaikan siasatan mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Shuhaimi Shafiei berhubung dakwaan bahawa beliau menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam blognya pada 30 Disember lepas.

Justeru itu beliau, berharap pihak Peguam Negara dapat mengambil tindakan selanjutnya dengan segera untuk menentukan sama ada Shuhaimi melanggar undang-undang sedia ada dan perlu didakwa di mahkamah atau sebaliknya.

“Dan jika terdapat kelewatan dalam siasatan polis, bahawa kita tidak memberikan peluang sepenuhnya kepada mereka bagi membawa perkara itu ke depan, saya harap polis akan beri kerjasama penuh,” katanya.

Hishammuddin berkata lebih 20 laporan polis berhubung perkara tersebut, yang turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) yang tiada kaitan dengan politik.

Terdahulu, Shuhaimi mengeluarkan kata-kata yang boleh dianggap menghina institusi Raja dalam laman blognya seperti “Sultan beraja di mata, bersultan di hati”.

Kata-kata ini tidak patut dilafazkan oleh seorang ahli politik dan wakil rakyat matang, apatah lagi oleh seorang yang berbangsa Melayu seperti Shuhaimi. Orang Melayu berpegang kepada adat sopan dan adat beraja. Perkataan seperti ini tidak harus keluar walau apapun matlamat seseorang itu.

Dalam laman blog http://srimuda.blogspot.com, Shuhaimi antara lain, mendakwa jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor dan sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali.

Malah, wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menerusi kenyataan dalam blog berkenaan seolah-olah turut memberikan gambaran amaran kepada institusi beraja Selangor supaya “tidak berterusan bertindak membelakangkan MMKN atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana”. -Politik harian

No comments: