Tuesday, August 16, 2011
Pemuda Pas Dicabar Desak Pakatan Pembangkang Buat Pendirian Gejala Murtad
Pemuda Pas dicabar untuk mendesak kepimpinan pakatan pembangkang membuat pendirian dalam usaha menangani gejala murtad.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Tun Faisal Ismail Aziz berkata kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan mengenai sokongannya untuk menentang gejala murtad rentetan gejala murtad yang semakin parah di negeri Selangor hanya sekadar retorik sekiranya desakan tersebut tidak dilakukan.
Tegas beliau lagi jika Nasrudin serius, ia tidak sepatutnya menjadi hanya kenyataan Dewan Pemuda Pas secara bersendirian, tetapi ia perlu menjadi konsensus, dasar dan tindakan bersama pakatan pembangkang iaitu Pas, PKR dan DAP.
Justeru jelasnya yang pertama Nasruddin terutama Pemuda Pas tidak perlu memutar rekod lama tentang Pas kerana Pas hari ini sudah tidak sama dengan Pas yang dulu.
“Pas hari ini tidak lagi berminat untuk menegakkan Negara Hudud versi Pas. Pemimpin Pas hari ini juga tidak lagi berjuang untuk menutup kilang arak dan kedai arak seperti pemimpin Pas dulu.
“Ada kemungkinan pemimpin Pas sekarang juga tidak berminat untuk memperjuangkan isu murtad seperti yang dilakukan pada tahun 1988 dan 2006″, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kedua tegas beliau jika Nasrudin serius, Dewan Pemuda Pas dicabar untuk mendesak agar pemimpin Pakatan Pembangkang bersama-sama menggubal dan membawa Akta Murtad ke Parlimen dan Enakmen yang berkaitan untuk dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri-negeri yang diperintah pakatan pembangkang.
Ketiga tambah beliau lagi Nasrudin juga perlu mendesak pakatan pembangkang melaksanakan Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama bukan Islam) Selangor; Enakmen no1/1988 secara serius.
“Keempat, Pemuda Pas juga perlu mendesak kerajaan pakatan pembangkang Selangor untuk menggubal dasar dan hala tuju yang jelas tentang usaha menegakkan syiar Islam, usaha memartabatkannya dan memelihara agama Islam dan aqidah umat Islam kerana ketika ini tidak ada sebarang dasar yang jelas mengenainya di dalam pakatan pembangkang.
“Kelima, Nasrudin mesti menyokong usaha mewartakan Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama bukan Islam) di semua negeri yang masih belum melaksanakannya dan mendesak kerajaan pakatan pembangkang untuk melaksanakannya di Pulau Pinang”, tegas beliau.
Jelas beliau lagi campur tangan politik untuk menghalang penyitaan premis yang disalah gunakan untuk memurtadkan umat Islam secara rasuah menunjukkan kerajaan pakatan pembangkang Selangor tidak serius untuk menangani gejala murtad yang semakin parah di Selangor.-Pemuda Umno
Labels:
Gereja,
Group Murtad,
Pemuda PAS,
Tun Faisal
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment