Wednesday, November 23, 2011
Bubar Dun... Khalid Ibrahim Pening Rupanya!
Keputusan kerajaan PKR Selangor enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika parlimen dibubarkan sebelum Jun 2012 bagi membolehkan pilihanraya umum ke 13, jelas bertentangan keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat.
Menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, “ keputusan awal majlis berkenaan adalah ‘kalau bubar, bubar serentak, kalau tidak, tidaklah,”
Maksudnya, pembangkang akan membubarkan DUN yang dikuasai mereka secara serentak jika dipersetujui majlis selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan parlimen.
“Kalau bubar, semua negeri (dikuasai pembangkang) bubar. Itu keputusan awal Majlis Presiden. Kalau kita setuju, kita bubar serentak, kalau tidak, maka tidaklah,” katanya kepada Agendadaily ketika ditemui di lobi Parlimen Selasa.
Beliau diminta mengulas kenyataan Khalid bahawa DUN Selangor tidak akan dibubarkan jika Parlimen dibubarkan awal sebelum Jun tahun depan.
Saifuddin berkata, keputusan atau membubarkan DUN serentak akan ditentukan Majlis Presiden yang diwakili PKR,DAP dan PAS.
Justru itu katanya, beliau tidak tahu menahu kenapa Khalid membuat keputusan enggan membubarkan DUN Selangor dengan syarat-syarat tersebut.
Menjawab kemungkinan hanya akan diadakan pilihan raya peringkat Parlimen sahaja, Saifuddin berkata, itu adalah prerogatif Perdana Menteri.
Ditanya, sama ada pembangkang setuju atau tidak dengan kemungkinan itu, Saifuddin sambil seloroh berkata, “Bila berlaku (pilihan raya parlimen sahaja), kita bincanglah,”.
Bagaimanapun, cadangan kerajaan PKR Selangor itu dilihat PAS sebagai tindakan yang boleh memberi kesan negatif kepada pembangkang.
Ahli Jawatankuasa PAS, Nasaruddin Mat Isa berkata, jika DUN Selangor mengadakan pilihan raya negeri berasingan selepas Parlimen dibubarkan, Barisan Nasional boleh memberi tumpuan khusus untuk menawan semula Selangor.
“Jika pilihan raya hanya diperingkat negeri, seluruh jentera BN akan tumpu pada negeri. Ini menyulitkan pakatan dalam satu segi,” katanya.
Menurut Nasaruddin, beliau berpandangan adalah lebih baik Selangor turut mengadakan pilihan raya serentak dengan parlimen dan negeri-negeri lain.
Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berpendapat, jika Najib umumkan hanya pilihan raya peringkat Parlimen sahaja, ia satu langkah bijak jika BN tumpu ambil alih negeri dikuasai pembangkang.
“Buatlah berasingan. Untung apa. Saya setuju, untungkan BN,” katanya.
Selain itu katanya, BN ada alasan untuk balun pembangkang kerana mahu bazirkan wang dengan buat pilihan raya negeri berasingan dengan parlimen.
Sementara itu, MCA mencabar kerajaan negeri PKR-DAP-PAS untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum akan datang.
Ketua Pemudanya Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, pembangkang sebenarnya tidak bersedia menghadapi BN dan cuba sedaya upaya untuk mengelak daripada mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum.
"Adakah anda semua bersedia menghadapi Barisan Nasional pada pilihan raya negeri? Keengganan anda berbuat demikian menunjukkan anda sama ada tidak bersedia untuk menghadapi BN dan anda telah gagal memenuhi janji-janji pilihan raya.
"Dengan demikian, anda tahu bahawa anda tidak dapat bertanding dalam pilihan raya serentak," kata beliau dalam kenyataan, semalam.
Katanya jika kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor sesungguhnya bersedia menghadapi calon BN dan Bebas dalam pilihan raya, mereka tidak payah mempolitikkan untuk menangguhkan pilihan raya negeri sebagai taktik terhadap lawannya.
"Penangguhan akan membazirkan wang pembayar cukai dan menyebabkan kesulitan penyediaan logistik," kata Wee sambil menambah bahawa ia akan juga mengambil masa dengan penyediaan logistik oleh Suruhanjaya Pilihan, anggota keselamatan dan parti politik dan calon.
Selain itu, parti-parti politik dan calon akan menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan untuk berkempen di mana sumber-sumber itu lebih baik digunakan untuk membantu rakyat.
"Bagi mereka yang bekerja, belajar atau tinggal di luar negeri atau negara, mereka terpaksa pulang dua kali untuk mengundi di kawasan pilihan raya mereka.
"Dengan itu, jika kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor tidak hiraukan wang pembayar cukai, sekurang-kurangnya pertimbangkan individu yang terpaksa datang dari jauh dua kali yang melibatkan kos pengangkutan tambahan hanya untuk pergi mengundi," kata Wee.
Ambil kira sebab dan alasan di atas, Khalid kena fikir semula keputusannya enggan bubar DUN Selangor kecuali beliau mahu tunjuk kuasanya lebih dari Datuk Seri Anwar Ibrahim atau majlis presiden PR.-Agendadaily
Labels:
Khalid Ibrahim,
Selangor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment