Monday, November 21, 2011
DS Najib: Generasi Muda Penentu Kejayaan BN #mykms1m
Datuk Seri Najib Razak berkata antara kriteria "winnable candidates" (calon boleh menang) Barisan Nasional (BN) adalah mereka yang diterima oleh generasi baru yang merupakan penentu pilihan raya umum akan datang.
Perdana Menteri berkata selain itu, calon BN juga perlu memanfaatkan teknologi baru untuk menyampaikan mesej kepada rakyat, terutama golongan generasi muda ini yang menggunakan saluran alam maya untuk menerima maklumat mengenai perkembangan semasa baik di dalam atau di luar negara.
Pengerusi BN dan juga Presiden Umno itu berkata pemimpin dan calon BN yang aktif dalam menggunakan teknologi baru ini serta saluran alam maya akan diberikan markah bonus.
"Kita kumpulkan bonus poin ini. Kita hendak 'winnable candidates' jadi calon, termasuk yang diterima generasi baru, kerana generasi baru penentu pilihan raya," kata Perdana Menteri dalam ucapannya semasa melancarkan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia, yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur, semalam dan dihadiri lebih 2,000 pengamal media sosial.
Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Kelab Sukarelawan Media Sosial 1Malaysia MyVoice yang dianggotai oleh para pengamal media sosial yang diiktiraf beliau "sebagai para pejuang dan bala tentera baru BN, yang bergerak di alam maya".
Najib berkata pemimpin BN perlu manfaatkan teknologi baru untuk menyampaikan mesej kepada rakyat.
"Saya ada blog sendiri, facebook dan twitter. Sebahagian besar saya tweet sendiri, dan ada orang sangsi. Kerana apa? Kerana saya hendak sampaikan dari hati saya kepada rakyat. Saya hendak berhubung terus dengan rakyat.
"Kalau dulu kita terpaksa turun padang, tetapi hari ini, di mana saja kita berada, kita boleh berhubung dengan rakyat. Hatta semasa saya mengerjakan ibadat haji pun, saya berhubung dengan rakyat, kerana saya rindu (dengan rakyat Malaysia)," katanya.
Beliau berkata zaman ini, "Kalau kita tidak tahu bagaimana hendak meniti gelombang, kita akan dipukul gelombang dan akan tenggelam".
Untuk itu, pemimpin BN perlu melakukan perubahan, terutama dari atas ke bawah, dimana mereka dapat merasai denyutan nadi rakyat yang telah menyuarakan ingin melihat perubahan dalam negara, katanya.
Najib juga berkata kerajaan telahpun menggunakan pendekatan dari atas ke bawah ini untuk membawa perubahan kepada negara terutama melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Politik (PTP).
"Apabila sudah muktamad nanti, akan berlaku perubahan yang besar pada negara kita dimana daripada sebuah negara yang dikatakan negara pertengahan, Malaysia akan muncul dan dinobatkan sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi," katanya.
"Selain itu, dari sebuah negara yang demokratik kepada sebuah negara yang boleh dilihat lebih progresif dalam amalan demokrasi, lebih terbuka, inklusif, melalui transformasi politik yang kita perjuangkan.
"Inilah agenda perubahan yang diperjuangkan kerajaan hari ini. Semua ini mestilah bersandarkan pada sokongan rakyat. Kita tidak mungkin berjaya kalau rakyat tidak sokong," katanya.
- Bernama
Labels:
mykms1m,
Najib Razak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment