Saturday, January 7, 2012

Isu Hasan Ali: Pemuda PAS Beri Amaran, Azmin Tidak Patut Campur Tangan Urusan PAS


Sudah tiba masanya PAS tinggalkan Parti KALDAI ini dan bergerak secara bersendirian... Nak tunggu sampai bila lagi? asyik kena kudakan saja!

Dewan Pemuda PAS pusat kesal dengan desakan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali agar parti Islam itu mengambil tindakan terhadap Datuk Dr Hasan Ali kerana mengeluarkan kenyataan menolak perhimpunan 901 dan menyifatkannya sebagai perbuatan sia-sia.

Menurut Naib Ketua Pemuda PAS pusat Dr Raja Ahmad Al-Hiss, Dr Hasan masih merupakan ahli parti itu dan mengingatkan Azmin (gambar) agar tidak campur tangan.

Kata beliau, Azmin boleh membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat dan bukan dihebahkan melalui media terutamanya yang dikuasai Umno.

“Kami jelaskan bahawa Dr Hasan adalah masih lagi ahli PAS dan Azmin perlu menghormati keadaan tersebut.

“Yang keduanya, kami berharap kenyataan yang dilontarkan oleh Azmin sepatutnya disalurkan di dalam mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat dan bukannya melalui media pro-Umno yang ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Azmin mendesak PAS mengambil tindakan sewajarnya terhadap Dr Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan exco kerajaan negeri itu.

Azmin berkata kenyataan Dr Hasan telah melanggar prinsip dan semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat dan beliau tidak sewajarnya berkata demikian.

Dr Hasan sebelum ini berkata menolak perhimpunan 901 dan menyifatkannya sebagai perbuatan sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan muda.

Beliau berkata ahli PAS tidak perlu menghadiri perhimpunan berkenaan.

Bagaimanapun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata akan menyertai perhimpunan 901 menambah “untuk ahli PAS pula terserah kepada masing-masing.”

Esok PAS akan mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat dan kemungkinan besar isu Dr Hasan akan dibangkitkan.

Tambah Raja Ahmad desakan secara terbuka Azmin kepada PAS boleh memburukkan lagi persefahaman dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai DAP.

“Setelah kenyataan Azmin tersebut, kami di dalam PAS juga kurang selesa dengan apa yang cuba Azmin nyatakan seolah-olah tidak menghormati PAS di dalam Pakatan Rakyat itu sendiri.

“Dengan suasana tersebut, ia seperti usaha campur tangan pihak luar di dalam PAS. Suasana ini sepatutnya tidak berlaku kerana setiap parti di dalam Pakatan Rakyat perlu melindungi ahli parti masing-masing dan bukannya membuat kenyataan seumpama itu,” katanya.

Beliau menambah PAS tidak pernah campur tangan dalam masalah dalaman PKR dan langkah sama juga perlu diambil bagi menjaga hubungan yang telah dibina sejak beberapa tahun lalu.

“Justeru, kami berharap Azmin dapat menggunakan saluran yang ada di dalam Pakatan Rakyat kerana isu seumpama ini amat sensitif.

“Kami juga mengharapkan agar Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat memberikan peringatan keras terhadap kenyataan Azmin dalam masa yang sama jika isu Dr Hasan juga turut dibincangkan,” katanya.

Awal minggu ini Azmin mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat akan memastikan sejumlah 100,000 rakyat akan turut serta dalam perhimpunan tersebut bagi menunjukkan sokongan terhadap Anwar ketika Mahkamah Tinggi membuat keputusan Isnin ini berkaitan kes liwat keduanya. -TMI

1 comment:

Sokong Hasan Ali said...

Azmin perasdan dia dah ganti Anwar kot.. tuiii~