Wednesday, January 4, 2012

GPMS Kecam Parti Politik Peralat Mahasiswa


Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini mengecam parti politik yang cuba menggunakan golongan mahasiswa bagi mencetuskan huru hara dalam negara.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, golongan itu juga perlu sedar bahawa terdapat parti politik yang mempergunakan mahasiswa dalam menyampaikan agenda tersembunyi mereka.

"Mahasiswa merupakan bakal pemimpin yang turut akan memimpin anak bangsa, mereka perlu sentiasa berfikiran matang dan lebih bijak menangani sebarang isu yang mampu menjadikan mereka terjebak dalam hal-hal yang boleh menjahanamkan masa depan mereka, contohnya politik,” katanya ketika dihubungi Bernama.


Katanya, kerajaan sentiasa memberi peluang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pendapat dan sebarang ketidakpuasan hati terhadap sebarang isu atau kritikan.

"Tetapi ianya perlu dibuat dalam kaedah yang betul dan bukan dengan cara berhimpun dan menganggu ketenteraman awam,” katanya.

"Penglibatan mahasiswa dalam (dengan) mengadakan rusuhan atau demonstrasi hanya akan menaikkan kemarahan pelbagai pihak, jika diminta secara baik, akan diberi juga dengan baik," katanya.

Beliau berkata cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) amat disokong, tetapi pandangan siswa perlu diberi perhatian selaras konsep langit terbuka yang diamalkan kerajaan.

Jais berkata Najib mempunyai keberanian untuk membuat pembaharuan dan beliau dilihat berusaha mengotakan janji yang telah dibuat sebelum ini.


Ditanya mengenai tindakan pelajar yang dilaporkan menurunkan bendera memaparkan wajah Perdana Menteri di Ibu Pejabat Umno sewaktu demonstrasi pada 17 Dis lalu, Jais berkata pelajar itu seharusnya meminta maaf kepada Perdana Menteri atas sikapnya yang tidak menghormati pemimpin negara.

"Adam Adli yang juga mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris seharusnya sedar beliau merupakan bakal guru yang akan mendidik anak bangsa khususnya anak Melayu.

"Tidak rugi baginya untuk meminta maaf kerana ianya bukan satu masalah besar untuk berbuat demikian, malah rakyat akan menerima kesalahan itu sebagai tidak disengajakan," katanya.

2 comments:

Kron said...

mereka inilah yg menghancurkan masa depan mahasiswa...

Anonymous said...

Sanggup memanipulasikan mahasiswa demi kepentingan diri mereka dan berdemonstrasi atas nama 'AUKU'