Sunday, October 7, 2012

Anugerah Blockbuster: Malam Gemilang Bagi Syamsul Yusof


PENGARAH dan pelakon, Syamsul Yusof menang besar dengan membawa pulang lima trofi termasuk filem arahannya, KL Gangster merangkul kategori Filem Terhebat Anugerah Blockbuster, yang julung-julung kali diadakan, malam tadi.

Selain itu, filem Khurafat arahan Syamsul turut memenangi Anugerah Filem Takut Terhebat, KL Gangster menerusi Filem Aksi Terhebat, Anugerah Tuan Direktor Terhebat serta Anugerah Khas PFM daripada penganjur majlis anugerah ini iaitu Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Ketika ditanya mengenai kemenangan besarnya itu, Syamsul berkata, "syukur alhamdulillah, terima kasih kepada ibu bapa saya dan peminat-peminat yang mengundi kerana pengiktirafan ini menunjukkan bahawa hasil kerja saya dihargai oleh mereka."

"Anugerah yang saya terima ini bukan hanya untuk saya saja, sebaliknya penonton mengundi keseluruhan produksi KL Gangster dan bukannya atas nama saya saja," katanya ketika ditemui pada majlis yang diadakan di Shah Alam, malam tadi.

Syamsul turut menambah bahawa dia sendiri sebenarnya tidak meletakkan harapan tinggi KL Gangster terbitan syarikat produksi ayahnya sendiri, Datuk Yusof Haslam akan memenangi anugerah utama itu sebaliknya dia merasakan filem terbitan KRU Studios, Hikayat Merong Mahawangsa akan membolot kategori itu.

"Saya sendiri jangkakan filem Hikayat Merong Mahawangsa yang akan menang kerana bagi saya KL Gangster tidaklah terhebat jika dibandingkan dengan filem Hikayat Merong Mahawangsa tetapi mungkin rezeki filem saya terpilih, alhamdulillah.

"Saya akan terus mengarah dengan lebih banyak lagi karya yang dekat dengan penonton seperti KL Gangster dan Khurafat dan mungkin lepas ini saya akan buat filem epik yang berbajet besar. Itu adalah angan-angan serta impian saya selepas ini," katanya.

Majlis anugerah yang berlangsung selama dua jam setengah itu turut menobatkan pelawak dan pelakon terkenal, Zizan Razak yang mengenepikan saingan hebat Bintang Paling Popular 2011, Aaron Aziz sebagai Hero Terhebat menerusi lakonannya dalam filem Hantu Bonceng dan Yana Shamsuddin sebagai Heroin Terhebat bagi filem Bini-biniku Gangster.

Sebanyak 15 anugerah yang dipertaruhkan dalam anugerah yang seakan-akan penganjuran People Choice' Award yang lazim dilakukan di Amerika Syarikat dan United Kingdom, di mana pemenangnya seatus peratus ditentukan oleh peminat sendiri.

Anugerah bertemakan 'Letusan Blok Warna' (Colour Blocking) itu dihoskan oleh tiga pengacara iaitu Zizan Razak, Lisa Surihani dan Afdlin Shauki yang ternyata dapat memberikan kelainan selain wujud 'chemistry' yang cukup baik di antara mereka bertiga.

Selain itu, upacara permaidani merah telah diadakan setengah jam sebelum majlis anugerah bersiaran pada jam 9 malam, dihoskan oleh penyampai Era FM, Hanif, Scha Al-Yahya, Thanuja Ananthan serta Hafizul yang merupakan juara bagi rancangan realiti 'On Air'.

Berikut merupakan senarai pemenang bagi 15 anugerah yang dipertandingkan:

Anugerah Filem Terhebat: KL Gangster

Anugerah Hero Terhebat: Zizan Razak (Hantu Bonceng)

Anugerah Heroin Terhebat: Yana Shamsuddin (Bini-biniku Gangster)

Anugerah Hero Baru Terhebat: Shahir (Karak)

Anugerah Heroin Baru Terhebat: Tasha Shilla (Ratu The Movie)

Anugerah Filem Aksi Terhebat: KL Gangster

Anugerah Filem Drama Muzikal Terhebat: Nur Kasih The Movie

Anugerah Filem Kelakar Terhebat: Hantu Bonceng

Anugerah Filem Takut Terhebat: Khurafat

Anugerah Tuan Direktor Terhebat: Syamsul Yusof (KL Gangster)

Anugerah Tuan Direktor Baru Terhebat: M. Suryaa (Sumpahan Puaka)

Anugerah Lagu Filem Terhebat: Ombak Rindu nyanyian Hafiz dan Adira

Anugerah Penyangak Terhebat: Fikrie Bakar (Klip 3GP)

Anugerah PFM: Syamsul Yusof

Anugerah Astro First Terhebat (filem yang paling banyak dilanggan sepanjang tahun lalu): Kongsi

-SH

No comments: