Wednesday, October 10, 2012

Kenyataan Nasha Cetus Polemik Dalaman PAS


Kenyataan terbaru bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharauddin Mat Isa yang mendedahkan DAP pernah mengadakan satu majlis doa supaya “Malaysia menjadi negara Kristian” di Sarawak pada tahun lalu telah telah mencetuskan polemik dalaman parti itu.

Portal Mkini dotcom melaporkan dua orang anggota jawatankuasa PAS pusat iaitu Khalid Samad dan Salahuddin Ayub hari ini mengumumkan memutuskan hubungan dengan Nasha.

“Kenyataannnya tiada kena mengena dengan PAS dan jika DAP mahu ambil tindakan undang-undang, itu terpulang pada mereka,” kata Khalid.

Begitu juga dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) yang menemplak Nasha sebagai ‘jurucakap UMNO yang berada dalam Pakatan Rakyat‘.

“Adakah kenyataan ini ada agenda tersembunyi? Kalau dia (Nasha) nak pertahankan Islam, nak tunjuk alim, dia sepatutnya dia perbetulkan orang Umno,”kata Ketua DHPP, Hu Pang Chow.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempertikai kenyataan Nasha itu “menyentuh dan mencabar” keputusan Majlis Syura apabila beliau mempertikaikan hasrat PAS untuk memperolehi kuasa politik.

“Jadi, apabila Ustaz Nasharudin mempertikaikan pendirian parti, bermakna beliau telah menyentuh dan mencabar Majlis Syura sendiri.

“Oleh kerana beliau telah menyentuh dasar dan keputusan parti, terserah kepada Majlis Syura membincangkan isu ini.” katanya.

Namun dibidas oleh Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan kenyataan Nasha itu sekadar hanya mengingatkan parti agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata.

“Saya tidak melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau (Nasharudin) sebagai sesuatu perkara yang pelik… apa yang diperkatakan adalah sebagai memperingati dasar perjuangan kita,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Nasha dalam kenyataannya petang semalam, mengingatkan PAS agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata dan sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.

Beliau berkata, dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Dalam masa sama, beliau turut hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu parti UMNO dan PAS sering dilihat ‘taboo’.

“Jika umat Islam negara ini terus berpecah belah, apakah yang bakal terjadi kepada umat untuk lima, 10 atau 15 tahun lagi? Adakah umat Islam tergelincir?

“Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua semata-mata mahu mendapatkan kuasa?” kata beliau pada Seminar Dakwah Islamiyyah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah di PWTC, semalam.

Katanya lagi, kemenangan Islam terletak di tangan umatnya sendiri tanpa bantuan dari bukan Islam.

Pas berada dalam Pakatan Rakyat (PR), yang turut dianggotai DAP dan PKR.

No comments: