Wednesday, January 23, 2013
Mat Sabu Sahkan Anwar Perdana Menteri Mah....
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dalam kenyataan medianya mengesahkan partinya menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri (PM) sekiranya pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan ahli Pas keluar dari Stadium Merdeka pada 12 Januari lalu ketika Anwar memulakan ucapan.
“Dakwaan bahawa (ahli PAS) keluar adalah tidak benar. Lebih-lebih lagi ketika beliau (Anwar) memberikan ucapan. Saya tidak pasti bagaimana mereka mendakwa seperti itu.
“Saya lihat sendiri mereka tunggu sehingga habis ucapan semua pemimpin di dalam stadium tempoh hari. Malah jika alasannya kerana Anwar jadi PM sehingga timbulkan implikasi ahli-ahli sehingga mereka keluar ketika ucapannya itu tidak benar. PAS terima Anwar sebagai PM,” tegas beliau.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, PAS kekal dengan persetujuan yang dibuat dalam Pakatan Rakyat, bahawa Anwar akan menjadi Perdana Menteri jika gabungan itu menang dalam pilihanraya umum nanti.
Kenyataan terbaru Mat Sabu itu mengesahkan dakwaan C.N Al-Afghani dalam bukunya, “Kafirkah Aku?” yang mendedahkan pada 18 Disember 2009 wujud perjanjian sulit di antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).
Dalam perjanjian sulit itu, selain Pas bersetuju menggugurkan perjuangan Negara Islam dan pelaksanaan hudud, Pas yang diwakili Presidennya, Hadi Awang juga turut bersetuju melantik Anwar sebagai PM.
“Tidak ada seorang pun ahli Pas sebelum 2008 mahu PM selain Datuk Seri (Abdul Hadi) andainya PR menguasai Putrajaya pada PRU 12 dulu. Ahli-ahli Pas berkorban semata-mata menjuruskan kepada cita-cita itu.
“Bagaimanapun, cita-cita yang menggunung ini berkecai apabila Datuk Seri selaku Presiden Pas turut bersetuju untuk memilih DSAI sebagai PM jika PR menguasai Putrajaya dalam PRU 12 yang lalu.
“Hal ini diakui oleh Lim Kit Siang, KM Pulau Pinang, ketika sesi debat dengan Chua Soi Lek, Presiden MCA pada 8 Julai 2012 yang lalu,” dedahnya.
C. N. Afghani, nama pena kepada Zainon Ismail yang juga bekas Exco Dewan Pemuda PAS Kedah berkata, pencalonan Ketua Umum PKR itu bertentangan dengan prinsip moral Anwar yang disebarkan di kalangan ahli-ahli Pas sebelum ini.
“Sebelum DSAI dipecat, Mohamad Sabu sering menyentuh isu liwat DSAI. Antara istilah yang pernah disebutnya adalah ‘DSAI buka kilang kunyit’ dan juga menggelar DSAI sebagai ‘Anwar Al-Juburi’.
“Sehingga kini Mohamad Sabu tidak pernah menarik balik ucapannya. Pas pusat juga tidak pernah mengambil apa-apa tindakan terhadap kenyataan Mohamad Sabu itu.
“Ini bermakna Pas pusat mengakui kebenaran dari ucapan Mohamad Sabu. DSAI sememangnya terlibat dalam kes liwat pertama dahulu. Kalau tidak benar, Mohamad Sabu wajib tarik balik ucapanya dan memohon maaf kepada DSAI,” dedahnya lagi.-AIDC
Labels:
Anwar Hadi,
Mat Sabu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment