Wednesday, March 20, 2013

Dun Negeri Sembilan Bubar Secara Automatik Selasa Ini


Seremban - Urusan pentadbiran Negeri Sembilan tetap berjalan seperti biasa di bawah kerajaan sementara sekalipun Dewan Undangan Negeri (Dun) terbubar secara automatik Selasa ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pembubaran Dun itu hanya melibatkan kuasa politik yang dipegang wakil-wakil rakyat yang dipilih pada pilihan raya, namun kuasa pentadbiran negeri masih wujud.

"Kerajaan sementara mesti ada (walaupun Dun terbubar) untuk menjaga kepentingan rakyat, sehingga satu pilihan raya diadakan dan kerajaan baru yang dipilih oleh rakyat ditubuhkan.

"Tetapi dalam tempoh Dun dibubar sehingga pilihan raya, kerajaan sementaralah yang akan menjaga negeri.

Orang mesti faham ini sebab jangan nanti ada yang persoal kenapa Menteri Besar masih ada selepas Dun bubar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Katanya amalan di negara ini apabila Dun atau Parlimen bubar, sama ada secara automatik atau dibubarkan, kerajaan yang sama akan mengambil alih pentadbiran sebagai kerajaan sementara.

Katanya kerajaan sementara adalah kerajaan yang sah dan masih boleh membuat keputusan berkaitan dasar termasuk memperkenalkan dasar baharu jika perkara itu dilihat amat diperlukan.

"Tapi dalam kerajaan sementara ini kita cuba mengelak daripada membuat keputusan-keputusan dasar. Sebab kita kerajaan sementara sahaja jadi kita sepatutnya cuma mengurus hal-hal pentadbiran sahaja.

Dun Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi, merupakan yang pertama akan terbubar secara automatik iaitu pada 26 Mac ini jika tiada pembubaran awal dibuat.

Pada pilihan raya umum ke-12 lalu, Barisan Nasional berjaya menubuhkan kerajaan selepas memenangi 21 kerusi, manakala selebihnya dimenangi DAP (10), PKR (4) dan Pas (1). - Bernama

Rembau Most Wanted yewww! http://youtu.be/unOwwgRTcFY

No comments: