Monday, April 13, 2020

BIADAP GELAR POLIS BABI





KANGAR: Padah mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun pegawai polis, seorang lelaki ditahan dalam sekatan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Jalan Raya Syed Alwi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian jam 10.45 pagi, lelaki berusia 30 tahun itu pada awalnya ditahan kerana tidak membawa MyKad ketika memandu kereta Toyota Vios miliknya.


Katanya, bagaimanapun dia secara tiba-tiba berang dan mengeluarkan perkataan kesat apabila seorang daripada pegawai kanan polis bertanyakan padanya mengenai pelekat satu pertubuhan yang ditampal pada cermin keretanya.

“Suspek mempersoalkan tindakan pegawai kanan berkenaan yang bertanyakan kepadanya dan meminta pegawai terbabit untuk tidak mencampuri urusannya.

“Malah dia juga dengan biadap mengeluarkan perkataan ‘babi’ dan bersikap agresif kepada pegawai berkenaan sehingga memaksa pihak kami menahannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, pemeriksaan ke atas kereta yang dipandu suspek tidak menemui sebarang peralatan yang terlarang dan membahayakan.

“Hasil pemeriksaan rekod lampau mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah berkaitan dadah dan pergaduhan serta sudah menjalani hukuman bagi kesalahan berkaitan dadah.

“Dia kini ditahan bagi membantu siasatan kerana tindakannya yang menghalang penjawat awam dari melaksanakan tugas serta mengeluarkan kata-kata jelek terhadap polis,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 manakala suspek akan direman esok.


[Terima kasih kerana bersama Bro Jinggo Channel, mohon subscribe channel YouTube ini untuk mengikuti lebih banyak video menarik pada masa akan datang! Jika anda menyukai berita ini mohon like dan share sebagai tanda sokongan anda. Sokongan anda amat hargai. Terima kasih.  

https://www.youtube.com/c/BroJinggo ]

#StayatHome #PDRM

No comments: