Friday, April 8, 2022

Kejayaan program vaksin pastikan 98 peratus kes Covid-19 gejala ringan - KJ



Kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memastikan kebanyakan pesakit Covid-19 mengalami gejala ringan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.


Beliau berkata dalam Fasa Peralihan ke Endemik kini, hampir 98 peratus kes aktif Covid-19 hanya perlu berisolasi di rumah tanpa rujukan ke hospital.


“Sebanyak 97.6 peratus pesakit Covid-19 menjalani kuarantin di rumah, 0.2 peratus di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, dua peratus di hospital, 0.1 peratus di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa alat pernafasan dan 0.1 peratus di ICU dengan alat pernafasan,” katanya menerusi catatan di Twitter.


Menurut Khairy, pemantauan Pusat Penilaian Covid-19 Secara Maya (VCAC) dibuat menerusi aplikasi MySejahtera iaitu pesakit perlu mengisi borang Penilaian Kendiri atau Health Assesment Tool (HAT) dua kali sehari tentang gejala mereka.


Lebih 70 peratus kes Covid-19 di rumah mengisi HAT setiap hari dan data ini digunakan untuk mengenal pasti kes yang merosot dan perlu dirujuk ke hospital, katanya.


Beliau berkata sekiranya data HAT pesakit Covid-19 menunjukkan kemerosotan ketara, notifikasi akan dihantar bagi memberi pilihan kepada pesakit untuk datang ke fasiliti kesihatan.


Malaysia mencatatkan 11,994 kes positif Covid-19 semalam dengan 11,904 kes atau 99.25 peratus dalam kategori satu dan dua atau bergejala ringan manakala 90 kes atau 0.75 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima.





No comments: