Tuesday, April 24, 2012

Ummi Halfida Dedah Pertemuan Sulit Anwar-Shamsidar!

Ummi Hafilda mendedahkan satu lagi modus operandi Anwar Ibrahim bila hendak berjumpa Shamsidar Taharin, isteri Azmin Ali!

Perjumpaan mereka di Tivolli Villa diuruskan oleh rakan baik Anwar Ibrahim, Nallakaruppan...

Nalla Serah Pita Rakaman.. Anwar Makan Aiskrim Dengan Shamsidar


Foto di atas pernah popular pada tahun 1998. Satu foto yang dirakamkan menggambarkan tiga watak penting, Shamsidar Tahrin (isteri Azmin Ali), Ummi Hafilda (adik Azmin Ali) dan Anwar Ibrahim (majikan Azmin Ali).

Foto ini pernah dikemukakan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, dan dijadikan bahan bukti (ID48) pada November 1998 semasa perbicaraan kes salah laku Anwar Ibrahim menghalang siasatan pihak polis untuk membendung skandalnya dengan Shamsidar Tahrin terbongkar.

AIDC: Bekas sahabat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Senator Datuk S. Nallakaruppan tidak sabar mahu menceritakan di mahkamah perhubungan sulit Ketua Umum PKR itu dengan isteri Azmin Ali iaitu Shamsidar Taharin.

“Saya ingin menceritakan bagaimana Anwar makan aiskrim dengan Shamsidar”, kata Nalla seperti disiarkan TV3 semalam.

Sambil menggesa Anwar percepatkan perbicaraan kes saman terhadapnya, Nalla juga turut menyerahkan satu pita video kepada peguamnya, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur kira-kira 2 petang semalam.

“Saya sudah bagi pita video itu kepada peguam saya sebagai bukti dalam kes saman ini. Apa jua bukti yang saya ada, saya sudah beri pada peguam saya. Saya mahu mereka tayangkan video itu di mahkamah. Biar mahkamah yang putuskan,” katanya.

Beliau, bagaimanapun, enggan mendedahkan kandungan pita video itu.

Sementara itu, Ummi Hafilda dalam ceramahnya di Kampung Batu Enam Suku Jalan Atas di Tanjung Piandang, adik bongsu Azmin Ali, Ummi Hafilda menyingkap kembali apa yang berlaku di antara beliau dengan abangnya.

Ia berkaitan dengan dakwaan hubungan sulit isterinya Shamsidar Taharin dengan Anwar Ibrahim.

“Azmin dia pressure saya. Ehh kenapa kau tulis surat kepada Dr Mahathir? Pasai apa kau tulis surat kepada Dr Mahathir? Saya kata Min maknanya kau tau bini engkau tidur dengan Anwar, Min? Eh itu bukan urusan kau, itu urusan aku dan bos aku. Bos aku boleh kasi 200 juta. Kau cakap berapa juta kau boleh bagi aku? Saya terus urut dada. Saya kata Min kenapa engkau jadi macam ni”, katanya.

DBKL Pagar Dataran, Usir Budak Degil #occupydataran


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas dengan 'mengusir' aktivis-aktivis yang terus berkhemah - masuk hari ke-11 mereka di perbodohkan, menjadi alat kepada pakatan pembangkang - di Dataran Merdeka.

Kejadian berlaku awal pagi tadi.

Macam biasa pemimpin-pemimpin mahasiswa yang menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan aktivis Occupy Dataran menerusi SMS dan Twitter memberitahu bahawa DBKL mengambil tindakan keras sekitar jam 6.15 pagi tadi.

"DBKL datang pukul 6.15 pagi ketika semua 'occupiers' sedang tidur dan merampas semua barang termasuk khemah," kata mesej akaun Twitter occupydataran.

Satu lagi mesej occupydataran berkata, DBKL memagar kawsan perkhemahan dan menghalau semua mereka yang berkhemah keluar dari kawasan Dataran Merdeka.


Tindakan pagi ini dilakukan sehari selepas kenyataan media dikeluarkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, DBKL sedang menyediakan kertas siasatan beserta bukti dan saksi untuk diperakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap wakil kumpulan mahasiswa yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan berhubung tindakan berkumpul dan mendirikan khemah di Dataran Merdeka.

Ahmad Fuad berkata, DBKL mempunyai bukti lengkap berhubung salah laku yang dibuat oleh kumpulan berkenaan walaupun sudah diberikan nasihat dan amaran supaya menghentikan tindakan mereka.

Menurutnya, tindakan merampas khemah yang dilaksanakan DBKL semalam dibuat setelah notis kesalahan dan tawaran kompaun atas kesalahan meletakkan barang-barang tanpa kebenaran di tempat awam yang dikeluarkan terhadap mereka tidak diendahkan.

"Pada 21 April 2012, pada jam 5.15 petang, DBKL sekali lagi mengarahkan mereka mengosongkan kawasan bagi memberi laluan kepada ambulans diraja yang diarah bertugas sempena konsert pada malam itu.

"DBKL merampas barang mereka setelah mereka ingkar arah pengosongan dan barang dituntut semula pada 22 April jam 1.15 pagi oleh Mohd Fahmi Reza Mohd Zain yang mana dia telah menandatangani borang akuan tindakan sebelum barangan mereka dikembalikan. Pada masa itu dia juga diberi maklum akan berhadapan dengan tindakan DBKL jika mereka masih berkumpul dan meletakkan barang-barang berkenaan," katanya.

Semalam, seorang aktivis, pelajar kolej swasta, didakwa di mahkamah.

Monday, April 23, 2012

Sambutan Hambar Di Majlis Anak Kelantan Bersama Nik Aziz


Ada sebab besar untuk pemimpin Pas Kelantan berasa gundah gelana apabila Majlis Temu Mata Anak Kelantan Di Perantauan bagi Parlimen Pengkalan Chepa yang diadakan pada 22 April 2012 di Puchong Perdana, Selangor gagal menarik perhatian ramai anak Kelantan untuk hadir memeriahkannya.

Majli anjuran Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN) itu merupakan siri perjumpaan rasmi antara pemimpin Pas Kelantan dengan rakyat Kelantan yang berada di luar negeri yang diharap akan menambah sokongan pengundi luar untuk Pas negeri.

Penulis yang turut hadir di sana bersama empat rakan lain pada mulanya menjangkakan kehadiran mungkin akan melebihi 2,000 orang dengan andaian kemunculan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat akan menjadi daya penarik utama namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Berbekalkan undangan dari rakan-rakan Facebook, penulis dan empat rakan lain bertolak dari Klang menaiki dua buah kereta dan sampai di sana sewaktu Datuk Nik Aziz baru saja turun dari kereta mewah Mercedes E class mata belalang nombor plate DAT 55 berwarna hitam metallic.

Dari kejauhan kelihatan beberapa pemimpin Pas Kelantan yang mengiringi Nik Aziz seperti terpinga-pinga melihat sambutan dingin dan agak hambar itu. Mungkin tidak menjangkakannya sama sekali.



Selepas Nik Aziz dan rombongannya selesai bersalaman dengan hadirin, kami menyertai majlis tersebut sambil tiga rakan lain mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran mengikut kawasan DUN tempat mereka mengundi.

Semasa penulis bersama beberapa rakan melilau sana sini merakamkan gambar suasana, beberapa kali terdengar rungutan kekecewaan tetamu berikutan sambutan majlis yang suram. Suara-suara kekecewaan itu hanya terhenti seketika sewaktu Datuk Nik Aziz membuat ucapan perasmian.

Di dua sudut berhampiran kaunter urusetia kelihatan beratus-ratus beg cenderahati masih tidak terusik manakala mengikut maklumat seorang rakan yang juga urusetia majlis, masih terdapat banyak lagi beg cenderahati yang gagal diedarkan dan tersimpan di dalam kenderan mereka.



Beg cenderahati tersebut yang pada mulanya hanya diberikan kepada hadirin yang mendaftarkan diri sahaja; antaranya mengandungi buku 100 sebab kenapa mesti tolak UMNO, buletin kerajaan negeri, flyer Purnama, pamplet isu royalti minyak serta cenderati lain seperti pen dan key chain berlogo Pas, akhirnya diagih-agihkan kepada semua selepas majlis cabutan bertuah selesai pada kira-kira jam 2.10 petang.

Pihak penganjur pada mulanya agak yakin mampu menghimpunkan lebih 3,000 orang anak Kelantan yang tinggal dan bekerja di Selangor dan Kuala Lumpur untuk hadir ke majlis tersebut kemudiannya terpaksa berpuas hati dengan kehadiran hanya lebih kurang 200 orang hadirin sahaja.

Kegagalan majlis tersebut tidak dapat tidak pastinya memberi satu gambaran awal keyakinan rakyat Kelantan terhadap pemerintahan 22 tahun Pas dan Nik Aziz di Kelantan mungkin hampir sampai ke penghujungnya.

Jika gambaran awal mood pengundi luar sama seperti sambutan dingin yang diterima Nik Aziz dalam majlis temu muka 22 April dijadikan sandaran, besar kebarangkalian untuk Pas Kelantan bakal berdepan dengan masalah yang agak besar menjelang pilihanraya akan datang.

Tak mustahil situasi genting tahun 2004 bakal berulang seperti mana jangkaan ramai pihak ataupun mungkinkah pilihanraya umum kelak menjadi noktah akhir untuk Pas? Sama-sama kita nantikan.

Isu Fitnah: Shafie Afdal Akan Mengambil Tindakan Undang-Undang!



Kenyataan Media Datuk Seri Shafie:

“Saya mengikuti dengan rapat beberapa laporan di dalam media dan blog-blog tempatan yang telah mengaitkan nama saya dengan satu laporan polis oleh seorang yang bernama Noor Azman bin Azemi (No. K/P: 740214146237) No report AMPANG/007017/12 yang bertarikh 13 Mac 2012 yang mendakwa bekerja sebagai pemandu di bawah saya, dan mengaitkan saya dengan pembayaran wang yang sebegitu banyak kepada seorang artis bernama Zahida Binti Mohamed Rafik,” katanya.

“Dengan ini, saya ingin menyatakan bahawa semua yang tertera di dalam laporan polis berkenaan adalah TIDAK BENAR sama sekali dan kenyataan-kenyataan iringan oleh individu yang menyebarluaskan salinan laporan polis berkenaan adalah BERNIAT JAHAT dan BERUNSUR POLITIK semata-mata.

“Sehubungan dengan itu, saya bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa saja yang terus-terusan memfitnah saya dan mengaitkan saya dengan perkara ini.

---

Datuk Seri Shafie Afdal hari ini secara terbuka menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan bekas pemandunya, Noor Azman Azemi yang mengaitkan beliau dengan pembayaran wang dalam jumlah yang besar kepada seorang artis Zahida Rafik sejak beberapa tahun lalu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, segala maklumat yang disebutkan dalam laporan polis yang dibuat oleh Noor Azman, yang dibuat bulan lalu, adalah tidak benar sama sekali.

“Saya mengikuti dengan rapat beberapa laporan dalam media dan blog-blog tempatan yang telah mengaitkan nama saya dengan satu laporan polis oleh seorang yang bernama Noor Azman bin Azemi yang bertarikh 13 Mac 2012, yang mendakwa bekerja sebagai pemandu di bawah saya, dan mengaitkan saya dengan pembayaran wang yang sebegitu banyak kepada seorang artis bernama Zahida Binti Mohamed Rafik,” kata beliau yang juga Naib Presiden Umno.

Shafie berkata, tindakan segelintir pihak yang menyebarkan laporan polis tersebut sebagai berniat jahat yang bermotifkan kepentingan politik pihak tertentu.

Dalam kenyataannya, Shafie turut menegaskan, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang berterusan memfitnah dan mengaitkan namanya dengan isu tersebut.

Zahida sebelum ini membuat laporan polis terhadap Noor Azman yang dikatakan telah melarikan sejumlah RM200,000 wang syarikatnya setelah meminta pemandunya itu memasukkan wang tersebut dalam akaun syarikat perniagaan milik keluarganya.

Minggu lalu, Noor Azman pula membuat laporan polis mendakwa bahawa seorang menteri Kabinet menyerahkan wang sejumlah RM1.5 juta kepada Zahida.

Spekulasi itu terus meruncing apabila beberapa pemimpin parti politik pembangkang membuat sidang akhbar menyebarkan dakwaan tersebut dengan mengaitkan nama Shafie sebagai menteri terbabit yang memberikan wang beberapa kali kepada Zahida dalam jumlah yang besar.

Noor Azman, 38, yang bekerja sebagai pemandu peribadi Zahida sejak tiga tahun lalu mendedahkan skandal itu dalam laporan polis terhadap artis itu, yang menuduhnya melarikan wang RM200,00. Tuduhan Zahida terhadap Noor Azman itu dilaporkan sebuah akhbar pada 3 Mac lalu.

Mesti Tengok Video Khairy: Anak Muda Beratur Beli iPad Baru Lagi Ramai Dari Berkhemah Di Dataran Merdeka @khairykj #BNPilihanOrangMuda


Tindakan pakatan pembangkang yang sanggup memperkudakan mahasiswa untuk berkhemah di Dataran Merdeka bagi tujuan memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah amat memalukan.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata, pembangkang begitu terdesak untuk mendapat sokongan orang muda sehingga sanggup memberi janji-janji kosong yang tidak dapat dilaksanakan dan hanya memperdayakan mereka.


“Kita tengok berapa suara mahasiswa yang keluar ke Dataran Merdeka, kalau tak silap saya tak sampai lima khemah, kononnya suara mahasiswa nak hapuskan PTPTN dan menyokong pakatan pembangkang, saya rasa lebih ramai anak muda yang keluar beratur untuk beli iPad yang baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program BN Pilihan Orang Muda peringkat Wilayah Persekutuan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Bandar Tun Razak di sini, Ahad.

Perhimpunan yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut disertai Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Rizalman Mokhtar serta Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Zauyah Zainudin.

Menurut Khairy, beliau percaya rakyat khususnya golongan muda tidak akan terpedaya dengan pelbagai tipu daya pakatan pembangkang termasuk janji menurunkan harga minyak dan menghapuskan tol lebuh raya.

Jelas beliau, menerusi program transformasi yang dilaksanakan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Turun Razak, sokongan orang muda telah kembali kepada BN dan perkara tersebut telah ditunjukkan dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan sebelum ini.

“Dalam program BN Pilihan Orang Muda di Ipoh baru-baru ini kita telah berjaya himpunkan lebih 10,000 orang dan hari ini, untuk jentera Wilayah Persekutuan, kita telah himpunkan lebih 5,000 orang, kalau hendak dibandingkan dengan lima khemah di Dataran Merdeka, bila-bila masa kita dapat tawan Wilayah Persekutuan,” katanya.

Occupy Dataran: DBKL Akan Ambil Tindakan Ke Atas Mahasewel


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menyediakan kertas siasatan untuk mendapatkan perakuan Timbalan Pendakwa Raya bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap wakil mahasiswa didapati melanggar peraturan - berkumpul dan mendirikan khemah di Dataran Merdeka.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata, DBKL mempunyai bukti lengkap berhubung salah laku yang dibuat oleh kumpulan berkenaan walaupun sudah diberikan nasihat dan amaran supaya menghentikan tindakan mereka.

Menurutnya, tindakan merampas khemah yang dilaksanakan DBKL semalam dibuat setelah notis kesalahan dan tawaran kompaun atas kesalahan meletakkan barang-barang tanpa kebenaran di tempat awam yang dikeluarkan terhadap mereka tidak diendahkan.

"Pada 21 April 2012, pada jam 5.15 petang, DBKL sekali lagi mengarahkan mereka mengosongkan kawasan bagi memberi laluan kepada ambulans diraja yang diarah bertugas sempena konset pada malam itu.

"DBKL merampas barang mereka setelah mereka ingkar arah pengosongan dan barang dituntut semula pada 22 April jam 1.15 pagi oleh Mohd Fahmi Reza Mohd Zain yang mana dia telah menandatangni borang akuan tindakan sebelum barangan mereka dikembalikan. Pada masa itu, dia juga diberi maklum akan berhadapan dengan tindakan DBKL jika mereka masih berkumpul dan meletakkan barang-barang berkenaan," katanya pada sidang media di sini pagi tadi.

Pada sidang media sama, beliau turut menjelaskan situasi sebenar insiden pagi semalam yang mana tindakan rampasan dilakukan sekali lagi apabila mendapati kumpulan itu masih berkumpul di Dataran Mereka.

Penguat kuasa DBKL yang mengiringi Mohd Fahmi ke balai polis Dang Wangi, juga telah dihalang oleh seorang awam membawa kepada penahanan dua individu itu oleh pihak berkuasa.

Ahmad Fuad dalam masa sama turut menyatakan kesediaan memberi kebenaran kepada Bersih 3.0 menggunakan Stadium Titiwangsa, Stadium Badminton dan Bola Sepak Cheras untuk berhimpun, tetapi bukan di Dataran Merdeka.-SH

Occupy Dataran: Budak Degil Didakwa Kerana Halang Tugas DBKL


Seorang pelajar kolej swasta dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menghalang tugas penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.

Bagaimanapun Umar Mohamad Azmi, 23, aktivis Occupy Dataran mengaku tidak bersalah.

Umar didakwa sengaja menghalang Mohd Masran Mamat, 34, daripada menangkap dan mengiringi ketua aktivis Occupy Dataran, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 35, yang enggan mendengar arahan DBKL untuk menurunkan khemah yang mereka pasang di Dataran Merdeka.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Jalan Raja Laut di sini, kira-kira jam 8.05 pagi, semalam.

Occupy Dataran adalah sekumpulan aktivis yang menuntut Dataran Merdeka sebagai ruang terbuka dan hak rakyat untuk berbincang dan berdemokrasi.

Timbalan Pendakwa Raya, Wong Chai Sia, memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin namun, peguam Syahredzan Johan memohon ia dikurangkan kepada RM1,000.

Tertuduh seorang pelajar tahun akhir jurusan diploma dalam jurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Hulu Klang.

"Bapanya yang hadir untuk menjamin bekerja di syarikat pemasangan paip dan perlu menanggung empat orang anak serta isteri yang masih belajar," katanya.

Majistret Zaki Asyraf Zubir membenarkan Umar diikat jamin RM1,000 dan menetapkan 8 Mei untuk sebutan semula.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum RM 10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohd Fahmi Reza perlu hadir ke mahkamah untuk sebutan kes berkaitan Akta Parit dan Bangunan di bawah DBKL pada 22 Mei depan.

#bersih3 : Bersih 3.0 or Bullshit 3.0


Mau apa lagi?…Hishamuddin ‘buka pintu’ Stadium Merdeka dan Stadium Bukit Jalil untuk Bersih 3.0

Al-kisahnya Bersih & geng sudah nampak Dataran Merdeka macam Dataran Tahrir di Kaherah.Jadi tidak perlu hairan mengapa mereka mengidam sangat lokasi bersejarah di ibu negara itu untuk himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Ia dikatakan bukan sangat soal tuntutan pilihanraya bersih dan adil tetapi nawaitunya untuk mencerna senario ala-Arab Spring menjelang pilihanraya umum ke 13.

Bodoh sangat siapa yang tidak nampak angle itu dalam strategi perang saraf mereka.

Makanya tindak tanduk beberapa kerat budak kononnya anti-PTPTN berdegil berkhemah di satu penjuru dataran itu adalah sebahagian dari ‘akal’ untuk laluan ke situ pada 28 April.

Kini sama-sama kita tengok apa ceritanya ekoran perkembangan terbaru Ahad.

Agak mengejutkan bila Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya juga tidak menghalang penganjur perhimpunan aman untuk menggunakan Stadium Bukit Jalil atau Stadium Merdeka sebagai kawasan untuk berhimpun.

Namun ,katanya mereka perlu membuat permohonan kepada pihak pentadbiran stadium berkenaan terlebih dahulu.

Malah menteri itu berkata beliau sedia membantu Bersih merundingkan hal berkenaan.

"Saya yakin dengan cara kerajaan kini yang bersikap lebih terbuka terhadap isu dan bantahan yang ingin disuarakan oleh pihak tertentu dan saya harap perhimpunan aman tersebut dapat dibuat dalam keadaan yang rasional dan realistik dan bukan untuk mempolitikkan atau memecah belahkan rakyat,”katanya.

Beliau memberitahu demikian pada sidang media di Program Ceria Gagasan Anak-anak Sembrong di Perantauan (GAASP) di Bukit Kiara, di Kuala Lumpur Ahad.

Hishamuddin berkata, masyarakat perlu memandang rasional keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan Dataran Merdeka digunakan sebagai lokasi perhimpunan Bersih 3.0.


"Jadi saya harap semua pihak perlu bersikap positif mengenai pemilihan lokasi kerana kementerian sentiasa bersikap terbuka namun penganjur perlu pastikan perhimpunan dibuat mengikut setiap prosedur yang ditetapkan dan bertanggungjawab ke atasnya,” katanya.

Beliau berkata hasil pemantauan awal kementerian menunjukkan perhimpunan aman tersebut tidak memerlukan kehadiran secara keterlaluan pihak polis seperti menggerakkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) kerana ia tidak menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan.

"Sungguhpun begitu, FRU dan polis akan sentiasa dalam keadaan siap siaga 24 jam, tujuh hari seminggu... kita akan mengadakan perbincangan dan meminta persetujuan daripada kedua-dua belah pihak, dari segi apa yang nak dilakukan di lokasi perhimpunan yang sesuai dalam jangka masa yang realistik dan untuk perkara-perkara yang selamat.

"Kalau ada kehadiran polis pun hanya untuk mengalu-alukan peserta perhimpunan ke kawasan yang akan ditetapkan kelak,” katanya.

Kenyataan Hishamuddin mengenai kemungkinan Stadium Merdeka atau Bukit Jalil sebagai lokasi himpunan itu dilihat suatu keterbukaan baru kerajaan.

Semasa Bersih 2.0 penganjur berkeras hendak guna Stadium Merdeka.

Peraturan baru himpunan aman yang diluluskan oleh Parlimen tetapi tidak perhimpunan namun melarang demo jalanan.

Demo jalanan hanya akan mencetuskan masalah kepada kehidupan harian warga kota dan peniaga.

Himpunan di sebuah stadium dikatakan adalah lokasi terbaik untuk mengelak segala masalah.

Namun di tempat tertutup itu tentu sekali akan menghilangkan excitement seperti Bersih 1.0 dan Bersih 2.0 dikejar FRU,kena tembak gas pemedih mata,kena sembur air.

Itulah cerita sensasi boleh buat riuh berminggu-minggu yang puak pembangkang dikatakan harapkan sangat.

Kalau setakat perhimpunan biasa dengan jerit pekik mereka dikatakan terasa macam tak berbaloi 'pulang tangan kosong'.

Jadi memang menarik untuk melihat perkembangan terbaru ini ...bila pintu Stadium Merdeka dan Stadium Bukit Jalil sudah dibuka oleh menteri itu.

Tandatanya rakyat jelata kini tentunya apa lagi yang Bersih mahu.

Bos-bos Bersih dalam reaksi awal kata mereka perlu membincangkan tawaran terbaru ini dengan semua yang terlibat dengan penganjuran himpuan itu.

Jangan nanti sudah bagi betis…peha juga yang tetap diidamkan.

Kalau mereka tetap berdegil hendak langgar Dataran Merdeka juga...jawabnya faham-faham sendiri sudahlah.

Sumber-Agendadaily

BN Pilihan Orang Muda Gegar Wilayah Persekutuan!


Kerajaan akan melaksanakan beberapa lagi inisiatif ‘touch point’ baru, termasuk program penting yang menyentuh generasi muda, untuk terus membela nasib rakyat di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri berkata, Datuk Seri Najib Razak, dijangka membuat pengumuman mengenai perkara berkenaan dalam tempoh terdekat sebagai kesinambungan lonjakan besar transformasi yang menyaksikan pelbagai bantuan disalur kepada rakyat di bawah kepemimpinan Perdana Menteri.

Katanya, kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan dan keperluan generasi muda dalam pelaksanaan transformasi, meliputi ekonomi yang menyediakan banyak peluang pekerjaan baru, politik di mana Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dipinda serta pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, di samping memperkenalkan Dasar Belia Negara.


Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) juga memenuhi kehendak generasi muda dari segi kewujudan kerajaan yang telus, adil, bertanggungjawab, mendukung perjuangan hak asasi, serta berjaya menjadikan Malaysia diiktiraf sebuah negara membangun yang paling maju di dunia.

Malah, sebagai Menteri Pelajaran, beliau memberi jaminan sistem pendidikan negara yang sedia baik akan terus diperbaiki demi melengkapi masa depan generasi muda dengan ilmu, kemahiran dan kepakaran diperlukan.

“Semuanya kita ambil kira bersesuaian dengan cita rasa anak muda. Kita mengiktiraf suara anak muda. Sebab itu, kita lihat di atas pentas ini ada beberapa wakil orang muda yang sudah ada di Parlimen (sebagai wakil rakyat)…banyak lagi juga akan masuk Parlimen nanti, insya-Allah kerana mereka adalah `winnable candidate’.

“Justeru, kalau melihat soal kepentingan anak muda dan juga mereka yang sudah agak berusia, tentulah tidak ada pilihan lebih baik kecuali BN yang memperjuangkan nasib rakyat. Kita hendak menentukan parti kita dapat memenuhi cita rasa semua peringkat rakyat…yang muda, tua, lama dan baru,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran BN Pilihan Orang Muda Peringkat Wilayah Persekutuan 2012 di sini, semalam.


Hadir sama Pengerusi Pemuda BN merangkap Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong; Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim; dan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan.

Program itu dihadiri kira-kira 5,000 ahli Pemuda dan Puteri dari jentera parti BN seluruh Wilayah Persekutuan, termasuk Putrajaya dan Labuan.



Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan berkata, rakyat terutama generasi muda, harus menjadi benteng mempertahankan sistem hidup yang sudah dibina dan dibangunkan selama ini daripada runtuh dengan menentang habis-habisan ideologi serta budaya songsang dibawa puak pembangkang yang akan menjahanamkan negara.

Beliau berkata, pembangkang melemparkan pelbagai tohmahan, pembohongan dan bidaah terhadap kerajaan, termasuk memutarbelitkan fakta mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), serta membawa budaya kebebasan tanpa batasan agama, nilai, etika dan budaya, di samping mempersoalkan banyak peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan yang sudah diterima rakyat selama ini.

“Mereka mahu menjahanamkan negara kita. Tanggungjawab kita sebagai Pemuda BN menjadi benteng mempertahankan negara, inilah cabaran kita hadapi sekarang. Justeru, jangan kita sesekali membiarkan pembangkang menimbulkan masalah dalam negara kita,” katanya. –BH

Occupy Dataran: Hantu Pocong Jadi Simbol Protes


Sesudah khemah Occupy Dataran diangkut oleh DBKL, kumpulan yang berniat untuk memansuhkan PTPTN di Dataran semakin hilang tujuan.

Gambar di atas menjelaskan kepada kita perangai pelik kumpulan yang hendak minta mansuh PTPTN ini. Mereka bungkus mayat dan memaparkan tentang "Mahasiswa Bangkit", apa kaitan mahasiswa dengan hantu pocong?

Tidak munasabah dan tidak intelektual langsung. Adik-adik yang masih belajar di form 4 dan 5 suatu hari nanti kalau masuk universiti jangan tiru perangai pelik ini. Memalukan

-Angin Perubahan

Sunday, April 22, 2012

Ambiga Tak Layak Pimpin BERSIH 3.0 - Nasharudin


Nasharudin Mat Isa hari ini berkata Dato' Ambiga Sreenevasan tidak layak pimpin BERSIH 3.0 sebaliknya Pemimpin PAS lah yang sepatutnya menjadi barisan hadapan BERSIH 3.0.

Nasha turut berkata LGBT merupakan ancaman kepada masyarakat...

Demi masa depan dan akidah generasi muda, isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak boleh dipolitikkan sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu untuk menanganinya, kata Pengerusi Pusat Kajian Fiqh Kontemporari Nasharudin Mat Isa.

"Ini bukan sesuatu yang boleh dipolitikkan kerana ia melangkaui politik dan kita jangan hanya kejar pembangunan sehingga kita terikut dengan budaya negatif Barat," kata Nasharudin.

Bekas timbalan presiden PAS itu becakap kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja pada "Wacana Kemungkaran LGBT: LGBT Mengundang Bala Allah SWT" di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata golongan itu bagaikan satu wabak yang akan menjadi kanser dan menjadi satu penyakit parah di dalam masyarakat dengan ancaman dahsyat yang membawa kesan negatif serta boleh merosakkan fabrik sosial.

Katanya semua pihak perlu berganding bahu memastikan generasi muda bebas daripada gejala LGBT kerana mereka merupakan bakal pemimpin serta pewaris untuk mengemudi negara ini dengan akhlak yang baik serta terpuji.

Nasharudin berkata wacana seumpama itu merupakan satu gerakan bagi menyedarkan rakyat serta memastikan mereka tidak terjebak serta menyokong golongan ini.

Ahli Jawatankuasa Biro Undang-undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Mahamad Naser Disa turut berkongsi pendapat sama dengan Nasharudin agar isu LGBT, yang jelas melanggar prinsis asas agama, tidak dipolitikkan kerana ia boleh menyekat usaha untuk membela agama Islam.

"Islam adalah agama rasmi negara, saya tidak kisah sebarang kecenderungan politik, jika ada parti yang menyokong Alhamdulillah tetapi saya tidak mengaitkan diri saya dengan politik," katanya.

Mahamad Naser turut menyelar pihak yang cuba mempertahankan golongan LGBT serta memberi sokongan kepada golongan itu memperjuangkan hak bagi mendapatkan tuntutan yang mereka inginkan.

Ia seolah-olah mempopularkan golongan ini bila ada pihak yang mempertahankan mereka sedangkan golongan ini ternyata sekali pelaku orientasi seks yang dilarang di dalam undang-undang dan mencabar ketentuan Tuhan, katanya.

Wacana sehari ini dihadiri kira-kira 100 peserta daripada segenap lapisan masyarakat anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia bertujuan menyedarkan peserta tentang perlunya menolak golongan ini yang bagaikan virus berbahaya di dalam masyarakat.

PR Takut Angin Perubahan di Selangor


Tindakan Pakatan Rakyat (PR) memutuskan Negeri Selangor tidak akan menyertai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), bukti gabungan tersebut takut angin perubahan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan mencari alasan lain sememangnya cara PR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim lari dari kenyataan sebenar.

Menurutnya, keputusan terbaru PR ini bercanggah dengan pendirian Kerajaan Negeri yang memutuskan untuk menyertai PRU13 selepas enam bulan pertama, 2012.

"Ini bukti PR takut berhadapan dengan rakyat, kerana kita telah nampak angin perubahan bertiup kencang di Negeri Selangor.

"Oleh kerana sekarang sudah memasuki April dan masih belum nampak pilihan raya akan diadakan, maka Anwar mencari alasan lain untuk tidak menyertai PRU-13," katanya kepada media selepas merasmikan Program Jimat Belanja Dapur, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Anwar bahawa Negeri-negeri di bawah PR terutama Negeri Selangor berkemungkinan besar tidak menyertai PRU-13, sekiranya daftar pemilih masih diragui.

Noh berkata, beliau tidak hairan tindakan PR yang selalu menukar kenyataan untuk menyelamatkan diri kerana tindakan tersebut dilakukan untuk mengekalkan kuasa di Negeri Selangor.

"Ini semua gimik untuk menarik perhatian rakyat, dari hakikat sebenar bahawa di Selangor ini, mereka tidak dapat menahan angin perubahan ini," katanya.

Menurutnya, PR kini tidak lagi mempunyai kumpulan sokongan untuk digunakan dalam pilihan raya, ini kerana kumpulan seperti Hindraf telah sedar dan beralih sokongan.

"Golongan India kini sudah kembali menyokong BN, terbaru lebih 5,000 orang India hadir dalam program saya di Taman Sentosa," katanya.

18 April lalu, Anwar mengumumkan bahawa negeri-negeri di bawah pemerintahan PR tidak akan menyertai PRU-13 sekiranya ia diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya, biarpun perkara itu secara terperinci sudah dikemukakan ahli jawatankuasa di dalam Jawatankuasa Penambahbaikan Pilihanraya (PSC) dan dibentangkan untuk dibahaskan namun jawapan yang diterima masih hambar.

Anwar berkata, pihaknya kesal janji SPR untuk membersihkan nama daftar pengundi yang masih belum dilakukan dan terdapat usaha meneruskan cara kaedah penipuan dalam pilihan raya akan datang.

Occupy Dataran: 2 Budak Degil Di Bebaskan


Kedua-dua budak degil Occupy Dataran, yang ditahan awal pagi tadi oleh polis, telah dibebaskan petang ini.

Fahmi Reza dibebaskan sekitar jam 3 petang manakala rakannya, Umar Mohd Azmi dibebaskan sejam kemudian.

Fahmi tiba di Dataran Merdeka, tempat mereka berkhemah sejak Sabtu lalu, sekitar jam 3.30 petang.

Dengar cerita bahawa Umar sedang dalam perjalanan ke Dataran Merdeka.

Betul-betul degil punya budak!