Friday, September 30, 2011

DS Najib: Kerajaan Tidak Mansuhkan Kuota Bumiputera


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan bahawa kerajaan akan memansuhkan kuota untuk bumiputera dengan menegaskan bahawa apa yang dinyatakan ketika berucap pada Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu adalah sebaliknya.

“Saya kata jangan terlalu bersandarkan kuota. Tenaga bumiputera mesti lebih berdikari dan sanggup berusaha dengan orang lain supaya ia akan jadikan kita lebih dihormati. Saya tak sebut sama sekali kuota dimansuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn, petang ini.

Najib yang juga Presiden UMNO turut memaklumkan bahawa anggota MT sebulat suara menyokong keputusan kerajaan untuk memansuhkan dua undang-undang baru dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

“Berhubung dengan cadangan kerajaan untuk memansuhkan beberapa enakmen termasuk ISA, MT menyokong sepenuhnya langkah yang akan diambil dan berpendapat bahawa ini adalah pelengkap kepada proses transformasi yang telah bermula dengan Transformasi Kerajaan (GTP), ekonomi (ETP) dan sekarang transformasi politik (PTP).

“Ini menunjukkan bahawa kita mempunyai agenda yang begitu komprehensif dan menyeluruh untuk membawa negara kita menjurus kepada sebuah negara yang bukan saja maju dalam bidang ekonomi tetapi juga dapat menjadi sebuah negara yang sejajar dengan negara-negara lain dalam mengamalkan demokrasi yang dikatakan moden dan progresif”.

Dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia pada 15 Sept lalu, beliau berkata kerajaan akan memansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan Akta Hukuman Buang Daerah 1959 serta mengkaji semula lain-lain Akta termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Dalam masa yang sama beliau turut mengulas berkaitan permohonan maaf Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memohon maaf kepada kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan rakyat negeri Johor kerana menyinggung perasaan baginda berhubung satu kenyataan yang didakwa memburukkan negeri Johor.

“Kita sudah ada recordingnya dan perkara ini amat sukar bagi dia nak nafikan. Saya percaya kalau dia boleh nafikan maka dia tak akan minta maaf jadi sekarang dia dah minta maaf, bererti bahawa itu satu pengakuan bahawa dia telah terlajak dari segi kata-katanya dan dia telah tarik balik kenyataannya,” katanya.

Jelasnya, banyak pihak yang telah mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang itu untuk memohon maaf dan apabila permohonan maaf telah dibuat bermakna dia telah terima bahawa dia telah melakukan kesilapan.

Turut hadir dalam sidang media tersebut, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib-naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan Datuk Seri Shafie Apdal selain Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Bendahari Datuk Seri Ahmad Husni Hanazdlah dan Ketua Pergerakan Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil serta Pemuda Khairy Jamaluddin. – MediaUMNO

Karnival Kerjaya Pemuda BN Di Perak Tawar Lebih 5,000 Peluang Pekerjaan


Di atas permintaan rakyat, Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) sekali lagi bakal mengadakan BN Youth Job Fair 2011 dengan menyaksikan negeri Perak sebagai destinasi ke lima penganjuran karnival tersebut.

Pengerusi Sekreatariat Pekerja Muda Pergerakan Pemuda BN, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, karnival ini bakal berlangsung pada 1 dan 2 Oktober akan datang bertempat di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh.

Karnival yang mendapat kerjasama Pusat Kerjaya Perak Amanjaya, akan disempurnakan oleh Menteri Besar sendiri, Datuk Seri Dr. Zamry Abdul Kadir.

“Karnival yang diberi nama ‘Perak Amanjaya Job and Career Fair 2011’ ini akan dibuka kepada pengunjung bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam. Ianya bakal menawarkan lebih daripada 5000 peluang pekerjaan daripada lebih 600 majikan yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat korporat dan institut-institut pengajian tinggi (IPT) di mana sebahagian besarnya daripada negeri Perak itu sendiri.

“Sudah pastinya karnival ini menjanjikan peluang pekerjaan yang menarik dan mengikut semua peringkat kelulusan bermula dari PMR/SRP hingga peringkat tertinggi. Golongan muda haruslah mengambil peluang ini untuk mendapatkan masa hadapan yang lebih baik serta memperbaiki taraf ekonomi diri,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Jelas beliau lagi menyedari kehendak masyarakat, Pemuda BN merasa bertanggungjawab untuk membantu menjadi pemudahcara kepada golongan muda di negeri Perak khususnya dalam membantu mengurangkan statistik pengangguran di negeri tersebut.

Pelbagia program turut diatur sebagai pengisian karnival antaranya bengkel kewartawanan, bengkel forografi dan taklimat kerjaya yang akan diberikan oleh Azhar Sulaiman, Noh Hujan dan YM Tengku Faris.

“Saya menyeru kepada orang ramai agar datang beramai-ramai ke karnival ini dan buatlah persediaan yang sepatutnya seperti menyediakan dokumen lengkap dan berpakaian kemas kerana temuduga terbuka turut diadakan,” katanya lagi.-MediaUMNO

SHEB Pemuda UMNO Lancar Van Pelbagai Guna Untuk Masyarakat


Pemuda UMNO menerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandarnya (SHEB) hari ini menempa sejarah apabila melancarkan van pelbagai guna yang pertama di negara ini dalam usaha memberikan khidmat kepada masyarakat.

Pengerusi SHEB, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata van serbaguna bergerak itu adalah untuk mempelbagaikan fasiliti khidmat terhadap masyarakat terutama kepada penduduk bandar.

Menurut beliau van serbaguna itu yang diubahsuai dan dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan kemudahan canggih akan memberi dimensi baru dalam aspek penyediaan perkhimatan kepada masyarakat.

“Antara keistimewaan van ini ialah boleh bertindak sebagai ambulan ehsan, klinik bergerak kemudahan internet Wifi 4G, Outdoor Tv project, bilik gerakan, pusat temuduga serta ruang papan iklan.

“Van ini juga boleh digunakan untuk pentas politik seperti tempat untuk ceramah, pendaftaran ahli serta pengundi, pusat operasi dan pusat pengedaran.

“Selain itu, dari sudut perubatan, van bergerak ini juga menyediakan makmal perubatan diagnos yang pertama di negara ini yang mana akan memberi ruang kepada orang ramai untuk membuat pemeriksaan jantung, kencing manis dan sebagainya lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di PWTC, di sini, hari ini.

Tengku Azman yang juga Ketua Pemuda UMNO Bukit Bintang seterusnya menambah pelbagai program telah diatur dan sehingga hari ini, sebanyak 15 program akan diadakan dalam masa terdekat di sekitar Lembah Klang.

“Khidmat kita tidak statik dan tidak akan berada setempat sahaja sebaliknya akan pergi ke kawasan tertentu dalam menyediakan khidmat kepada orang ramai menerusi kemudahan yang ada pada van bergerak SHEB ini.

“Justeru, kita mengharapkan orang ramai dapat menggunakan kemduahan yang diseiakan ini untuk kepentingan bersama. Dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib yang begitu prihatin terhadap rakyat dengan merealisasikan van bergerak SHEB hari ini,” katanya. -MediaUMNO

Kudos to Tengku Azman and Pemuda Umno Malaysia!

DS Najib Lancarkan Van Serbaguna SHEB

DS Najib Lancarkan Van Serbaguna SHEB


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan van serbaguna Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda UMNO pada majlis yang berlangsung di perkarangan Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Najib, yang juga Presiden UMNO, turut masuk ke dalam van untuk melihat pelbagai peralatan dan kemudahan canggih yang disediakan bagi kemudahan masyarakat bandar.



Beliau kemudian menurunkan tandatangan pada badan van serbaguna yang mempunyai pelbagai fungsi termasuk sebagai klinik, bilik gerakan pilihan raya, pusat internet, pentas ceramah khas dan pusat temu duga.

Ia turut berfungsi sebagai medium untuk mempromosikan Barisan Nasional dan mendekatkan gagasan itu dengan masyarakat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Najib selepas itu mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di ibu pejabat UMNO.

Terdahulu, Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat di surau Jumaat Ar-Rahman, PWTC.

Guan Eng Pohon Maaf Kepada Sultan Dan Mahu Saman Bernama!


Jika Manoharan boleh digantung keahliannya kerana menyatakan akan mengubah bendera Malaysia, apa pula tindakan terhadap Lim Guan Eng yang telah menyinggung hati Sultan?

Jika tiada apa-apa tindakan terhadap Guan Eng, ini membuktikan DAP parti double standard. Parti anak-beranak Lim Kit Siang!

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memohon maaf kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar kerana menyinggung perasaan baginda berhubung satu kenyataan yang didakwa memburukkan negeri Johor.

Lim berkata beliau memohon maaf sepenuhnya kepada baginda dan rakyat negeri Johor.

Berikut adalah kenyataan sidang akhbar Guan Eng di Pulau Pinang hari ini.

Sebagai rakyat Malaysia yang setia kepada Raja dan negara, patik ingin memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, atas rasa tersinggung DYMM Tuanku terhadap kenyataan berikutan dengan Johor yang telah dibuat oleh patik.

Dan juga kepada rakyat jelata Johor di bawah naungan DYMM Tuanku atas perkara yang sama.

Patik tidak berniat untuk memburukkan Johor atau mana-mana negeri atas apa-apa sebab dan alasan sekali pun.

Dalam laporan media, DYMM Sultan Johor juga bertitah bahawa Baginda tidak mahu diseret ke dalam arena politik. Patik bersetuju dengan titah DYMM Sultan Johor.

Saya merasakan bahawa saya telah disalah lapor oleh media massa yang dikawal oleh Barisan Nasional.

Saya akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk menentukan kebenaran tentang di mana saya membuat ucapan saya, apa yang sebenarnya yang diperkatakan, bagaimana ia dikatakan dan dalam konteks apa kenyataan itu dibuat.

Setakat ini, selain daripada pita rakaman yang disiarkan oleh TV3, tidak ada sebarang laporan media tentang apa yang saya katakan di Singapura atau di Australia. Saya mempunyai akses untuk pita rakaman wawancara saya dengan Radio Australia. Saya masih sedang mencari pita rakaman tentang apa yang saya katakan di Singapura yang dibuat secara peribadi dalam satu sesi tertutup.

Saya telah pun mengarahkan peguam-peguam saya untuk memfailkan saman di mahkamah, ke atas semua media massa kawalan BN bermula dengan Bernama.

Macam biasa orang buat salah mana nak mengaku salah! Bukti pembohongan Guan Eng telah kami rakamkan.. Klik di sini...


Pelik... Guan Eng pohon maaf lepas tu nak saman BERNAMA? dia faham ke tak bahasa melayu??


Saman jangan tak saman!

Sebar Fitnah : Malaysian Insider Mohon Maaf Kepada Tajudin



Portal berita pro pembangkang The Malaysian Insider hari ini mengemukakan permohonan maaf terhadap bekas Pengerusi Eksekutif Malaysia Airlines (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli kerana penerbitan berita tanpa fakta dan berunsur fitnah.

Malahan di ketahui umum bukan sekali dua portal pro pembangkang ini menyiarkan berita berbentuk fitnah... Dan tidak hairanlah Malaysian Insider lebih suka memainkan sentimen provakasi.

Syarikat The Malaysian Insider Sdn. Bhd., Ketua Pegawai Eksekutifnya Jahabar Sadiq dan wartawan Shazwan Mustafa Kamal menyerahkan surat kenyataan itu menerusi peguam mereka George Miranda di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Harminder Singh Dhaliwal di dalam kamar.

Turut hadir peguam Lim Kian Leong yang mewakili Tajudin.

Di luar mahkamah, Miranda memberitahu pemberita bahawa kesemua pihak menandatangani surat kenyataan maaf itu dan selain kenyataan tersebut, beberapa terma lain turut dibincangkan tetapi tidak boleh didedahkan.

Melalui surat tersebut ketiga-tiga pihak menyatakan kekesalan mereka di atas segala kesulitan yang dialami Tajudin berikutan tersiarnya berita berkenaan.