Thursday, November 24, 2011

DS Najib Umum Seksyen 15 AUKU Akan Dipinda Membenarkan Mahasiswa Jadi Ahli Politik!


Transformasi politik baru, Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti akan dipinda bagi membolehkan pelajar berusia 21 tahun ke atas menganggotai parti-parti politik.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, hari ini.

"Ini bagi membolehkan pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti politik dan menjadi ahli,” kata Najib semasa membentangkan usul bagi menarik balik tiga perisytiharan darurat yang berusia lebih 40 tahun, pagi ini.

Namun tegasnya, kebenaran itu hanya terhad kepada mereka yang berumur 21 tahun dan ke atas sahaja.


Terdahulu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. berkata Mahasiswa yang diberi kebebasan untuk menceburi bidang politik diyakini tidak akan mengabaikan pengajian mereka.

Beliau berkata ini kerana mahasiswa yang berpolitik mempunyai pandangan yang luas dan terbuka serta mempunyai sikap yang sihat.

"Saya aktif dalam bidang di luar akademik ketika di universiti tetapi saya juga beri tumpuan pada akademik malah ia bantu saya untuk berfikiran lebih kreatif dan kritis.

"Kalau beri kebebasan pun majoriti pelajar universiti tidak minat politik, ia sebahagian kecil sahaja. Kita boleh beri nasihat supaya kalau mereka nak terlibat dalam politik keutamaan adalah pengajian mereka," katanya.

Menurut Khairy lagi, ramai mahasiswa yang ingin menyertai perjuangan Umno tetapi disebabkan kekangan undang-undang di negara ini mereka tidak dapat merealisasikan hasrat itu.

"Kita jangan fikir bila beri mereka peluang untuk berpolitik mereka akan terus anti-kerajaan atau menentang kerajaan. Mereka ada sikap sihat untuk soal dasar kerajaan tetapi ini tidak bermakna mereka menentang kerajaan, ramai yang punyai fikiran kritis tetapi sokong kerajaan," katanya.

Rakyat Malaysia Hilang Di Indonesia Hanya Salah Faham!


Facebook dan Twitter, semalam, gempar dengan berita kehilangan seorang penyokong skuad negara ketika menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea Ke-26 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Berita Ahmad Firdaus Arham, 26, hilang tersebar di Facebook dan Twitter selepas Kedutaan Malaysia di Jakarta menerima beg pakaian dan dompetnya yang ditemui dalam stadium ketika perlawanan akhir Isnin lalu.
Namun, berita terbabit hanya salah faham dan Ahmad Firdaus sebenarnya selamat di tanah air selepas pulang dari negara berkenaan, pagi semalam.

“Saya tidak hilang...saya selamat, semua ini salah faham, sebenarnya saya dirompak ketika berada dalam tandas di kompleks Mangga 2 di Jakarta menyebabkan dompet saya hilang.

“Saya juga tidak pergi menyaksikan perlawanan Malaysia dan Indonesia itu sebaliknya ke Jakarta atas urusan kerja,” katanya yang dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak tahu bagaimana dompetnya boleh ditemui dalam stadium berkenaan tetapi mengandaikan mungkin orang yang merompaknya kebetulan menyaksikan perlawanan itu dan perkara terbabit juga sudah dimaklumkan kepada pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Menceritakan kisah sebenar, Ahmad Firdaus yang juga pembantu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Jamu Mak Dara berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam Sabtu lalu.

“Saya kemudian ke balai polis, namun pegawai di situ memberitahu saya masih mempunyai pasport dan tidak perlu membuat laporan berhubung kehilangan dompet.

“Ini hanya salah faham dan saya terkejut apabila nama saya heboh diperkatakan di Facebook dan Twitter kononnya hilang di Jakarta,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia di Jakarta, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan yang dihubungi semalam, mengesahkan perkara itu dan bersyukur Ahmad Firdaus kini selamat berada di tanah air.

Sumber: HM

Panas Nurul Izzah Dibelasah Dalam Dewan Rakyat! Malu Siot!!


Tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang berterusan mahu mempolitikkan isu pembelian kapal selam mendapat pengajaran bermakna di Dewan Rakyat semalam, apabila beliau 'dibelasah' Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Ahmad Latiff Ahmad.

Abdul Latiff yang tidak senang dengan pelbagai tuduhan tidak berasas Nurul Izzah walaupun isu tersebut telah dijelaskan berulang kali berkata, kontrak perolehan setiap kementerian dibuat mengikut prosedur yang sama, tetapi kenapa hanya kementerian itu menjadi mangsa.

"Ini bukan komisen, semua yang berkait dengan pembelian termasuk kos latihan kepada kru kapal selam di Perancis tertera dalam kontrak. Bodohlah kerajaan kalau selepas kontrak tersebut sudah diberi kepada Syarikat Peri Mekar kemudian kita beri lagi komisen Yang Berhormat,'' tegasnya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 peringkat jawatankuasa kementerian itu, di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Latiff menegaskan perkara tersebut telah diterangkan berulang kali menerusi jawapan lisan tetapi Nurul Izzah tidak hadir dalam Dewan.

''Berbuihlah mulut kalau kita nak bercakap benda yang sama berulang kali. Yang Berhormat apa yang saya katakan adalah benar, benar, benar dan benar belaka.

"Kalau Yang Berhormat rasa kerajaan kita ini bodoh sangat nak bagi komisen suruhlah peguam dari Perancis itu sapina. Bukan setakat Menteri Pertahanan, sapina saya pun tiada masalah," tegasnya.

Dalam pada itu beliau mengesahkan wujud gangguan seksual oleh seorang komandan sebuah kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Ledang, Johor, ke atas seorang pelatih wanita pada pertengahan Oktober lalu.

Beliau berkata, tindakan tatatertib serta-merta telah diambil ke atas komandan tersebut selepas siasatan mendapati aduan mangsa berasas dan selepas ini, tindakan undang-undang pula akan menyusul.

"Kes ini masih lagi dalam siasatan polis Tangkak tetapi di peringkat kementerian, kita telah menukar komandan ini dengan serta-merta. Pada masa yang sama dia tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang mengikut perkhidmatan dalam tentera," katanya menjawab pertanyaan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka).

Like father like daughter, ada mata tapi buta, ada hati mati. Kan dah dapat pengajaran yang bermakna!

Sidang DUN Perak Panas Dengan 'Pelacur Politik" dan ' Katak"


Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang memasuki semalam, Rabu, panas dan kecoh apabila pihak kerajaan dan pembangkang bertegang leher gara-gara wakil rakyat pembangkang menggunakan kata-kata "pelacur politik" dan "katak" semasa perbahasan.

Timbalan Yang Dipertua DUN Datuk Hee Yit Foong yang mempengerusikan persidangan meminta Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) yang membahaskan Belanjawan 2012 negeri supaya menarik balik kata-kata berkenaan kerana ia menghina golongan wanita termasuk ibu dan nenek kepada wakil pembangkang berkenaan.

"Ia menghina (kaum) wanita, tarik balik, kalau tidak saya putuskan jangan berbahas... ibu dan nenek Yang Berhormat juga kaum wanita," katanya pada persidangan DUN di Ipoh.

Namun, Nga enggan menarik kenyataan itu dan berkata beliau tidak menuduh sesiapa dan juga tidak menyebut nama tertentu bagi membayangkan maksud "pelacur politik" dan "katak" itu.

"Adakah saya tuduh sesiapa? Siapa makan cili dia terasa pedas... saya tidak cakap sesiapa tapi kenapa Timbalan Yang Dipertua terasa sangat?" katanya.

Keengganan Nga menarik balik kenyataan itu menyebabkan Datuk Hamidah Osman (BN-Sungai Rapat) dan Dr Wan Nooashikin Wan Noordin (BN-Kampung Gajah) bangun lantas mendesak dengan keras supaya wakil rakyat itu berbuat demikian.

Hee memutuskan persidangan ditangguhkan lima minit seperti dicadangkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan disokong Hamidah untuk menenangkan keadaan.

Bernama melaporkan penangguhan itu bagaimanapun tidak meredakan keadaan kerana sebaik persidangan bersambung semula, Nga meneruskan perbahasannya serta masih enggan menarik balik kenyataannya walaupun diberi peluang sebanyak tiga kali oleh Hee.

Tan Sri Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) bangun lalu berkata: "Kami di sebelah sini dengar perkataan yang dikeluarkan iaitu "pelacur politik". Saya mahu bertanya kepada sidang ini adakah perkataan ini dibenarkan di sini? Jika tidak diizinkan ia perlu ditarik balik."

Beliau berkata jika wakil rakyat Pantai Remis tidak mahu tarik balik perkataan itu, Timbalan Yang Dipertua dewan boleh "menghalau" Nga daripada persidangan hari ini dan cadangan itu disokong Jamaluddin Mohd Rdzi (Bebas-Behrang).

Berikutan keengganan Nga menarik balik kata-kata berkenaan, Hee akhirnya mengarahkan Nga keluar dewan kerana menggunakan perkataan menghina serta mencela anggota DUN di samping berkata beliau tidak memberi peluang kepada mereka yang biadap.

Beberapa wakil rakyat pembangkang terutama V.Sivakumar (DAP-Tronoh) bangun membantah keputusan itu dan mendesak Hee yang keluar dewan kerana mengatakan "adakah wakil pembangkang minat pelacur, jika betul saya boleh bawa".

Nga pula kekal ditempatnya enggan mematuhi arahan Hee.

Yang Dipertua Datuk R.Ganesan, yang kemudiannya mengambil alih sesi persidangan menggantikan Hee, berkata Nga telah menimbulkan keadaan haru-biru dengan mengeluarkan perkataan "pelacur politik" serta "katak" malah enggan menarik balik selepas diberi banyak peluang.

Bertindak tegas, Ganesan mengarahkan Nga keluar dewan dan meminta Datuk Hamdi Abu Bakar (BN-Pengkalan Baru) meneruskan sesi perbahasan Belanjawan 2012 negeri menyebabkan wakil pembangkang itu akhirnya akur dengan arahan keluar dewan.

Selain Nga, wakil rakyat pembangkang lain iaitu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) turut meninggalkan persidangan sebagai tanda protes terhadap keputusan dewan.

Tak de Hal la... Yuna Pulangkan Semula Trofi AIM Yang Di Menanginya!


Penyanyi Yuna mengesahkan kontroversi mengenai penarikan balik trofi Lagu Terbaik menerusi Penakut yang dimenangi di Anugerah Industri Muzik 18 (AIM18) baru-baru ini.

Penyanyi yang popular dengan lagu Dan Sebenarnya itu mengesahkan menerusi laman Twitter miliknya.

"Ya ia benar. Tetapi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyukai lagu tersebut," ujarnya.

Terdahulu, akhbar pada Rabu melaporkan, berlaku kesilapan pada pemilihan pemenang bagi kategori itu sehingga Penakut dinobatkan sebagai lagu terbaik secara keseluruhan walaupun ia tidak memenangi dalam kategori Lagu Pop Terbaik pada anugerah itu.

Turut dilaporkan, anugerah itu akan diserahkan kepada komposer Edry Abdul Halim dan Anuar Zain menerusi lagu Sedetik Lebih yang memenangi dalam kategori Lagu Pop Terbaik.

Difahamkan, pihak penganjur iaitu RIM dan AIM akan mengadakan sidang akhbar khas di Hotel Maya pada Khamis bagi menjelaskan kekeliruan itu.

Yuna dalam satu mesej lain di laman Twitter memberitahu dia tidak mahu menjawab sebarang pertanyaan dan memohon supaya ia diajukan kepada pihak penganjur.

Pada anugerah itu, Yuna menggondol tiga anugerah iaitu Persembahan Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu (Penakut) dan Anugerah Kembara atas pencapaian cemerlangnya di Amerika Syarikat selain Lagu Terbaik (Penakut).

Abang tabik Yuna... Selambe je pulangkan balik trofi yang dimenanginya... Tak kalut pon! 


Kalau pakatan pembangkang dah riuh satu dunia ni! hehehe!

Wednesday, November 23, 2011

Masalah Banjir, Rakyat Kelantan Tuntut Kerajaan Negeri Tunaikan Janji!


Lebih 100 penduduk di taman perumahan Thirteen Avenue Garden di Kubang Kerian meminta Kerajaan Negeri menunaikan janji dengan menyediakan longkang secepat mungkin berikutan kawasan itu masih digenangi air setiap kali musim tengkujuh.

Kira-kira 30 unit rumah di kawasan perumahan itu akan dinaiki air setiap kali hujan lebat tidak sampai sehari dan walaupun Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) berjanji sebelum ini untuk mengatasi masalah itu tetapi sehingga kini ia masih tidak tertunai.

Seorang penduduk yang ditemui, Hasnah Abd Razak, 51, berkata, beliau sekeluarga resah setiap kali hujan kerana kawasan itu pasti akan digenangi air sehingga menyukarkan urusan seharian dan kenderaan terpaksa dipindahkan ke tempat selamat setiap malam. “Bagi mengelak barangan dalam rumah rosak penduduk terpaksa menempah pangkin kayu untuk meletakkan tilam, peti ais, almari dan sebagainya supaya tidak rosak apabila rumah dinaiki air.

“Masalah ini berlarutan sejak empat tahun lalu dan walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk melaporkan kepada pihak berwajib namun sehingga kini ia masih berlaku. Penduduk tidak dapat tidur lena setiap kali musim banjir kerana bimbang barang-barang tidak sempat diselamatkan,” katanya.

Kebanyakan pemilik kediaman di perumahan itu sanggup membeli pangkin mencecah RM1,400 bagi meletakkan barangan berharga seperti peralatan elektrik kerana setiap kali hujan lebat air pasti akan memasuki rumah yang akan merosakkan barangan berkenaan jika tidak dipindahkan.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat ketika mengulas masalah itu berkata, pihaknya prihatin dengan situasi dialami penduduk terbabit setiap kali musim tengkujuh. “Pihak kami akan segera menghantar pegawai terbabit supaya parit atau longkang dapat disediakan secepat mungkin. Diharapkan penduduk bersabar dulu kerana ia akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

PAS hanya pandai tabur janji... tapi untuk melaksanakannya jangan harap lah! Jadi jangan lah terpedaya dengan janji-janji manis mereka!

Rakyat Malaysia Hilang Di Indonesia!


Kedutaan Malaysia di Jakarta baru memaklumkan bahawa, seorang penyokong rakyat Malaysia hilang selepas menonton final bola sepak di stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Nama :Ahmad Fidaus bin Arham.
IC No. :850512055293.

Hanya beg baju and walet sahaja di temui.

Sama-samalah kita doakan agar beliau di temui semula dalam keadaan yang selamat. Amin.

Update: *Maklumat tidak rasmi menyatakan beliau telah ditemui...

Pra Olimpik: Syria Mendahului Malaysia 2-0

Keputusan terkini kelayakan olimpik London 2012 Malaysia menentang Syria siri zon Asia berkeputusan Syria mendahului Malaysia 2-0.

Ternyata pemain Malaysia masih keletihan setelah berhempas pulas menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno kemarin.

Malaysia 0 - Syria 2

Selepas ini Harimau Muda akan bertemu pasukan Bahrin pula di Stadium Bukit Jalil.

Aku beharap sokongan kepada Harimau Muda tidak berhenti di sini! Teruskan Gila Bola! Malaysia Boleh!

Kedudukan Terikat Di Separuh Masa Pertama Malaysia VS Syria

Keputusan terkini kelayakan olimpik London 2012 Malaysia menentang Syria siri zon Asia masih terikat tanpa sebarang jaringan.

Walaupun tidak dapat menurunkan beberapa tongak utama namun skuad Harimau Muda mempamerkan semangat juang yang tinggi dan berjaya melakukan beberapa serangan yang berbisa kepada Syria.

Ini perlawanan kedua bagi kedua pasukan.

Malaysia 0 - Syria 0

Walaupun Harimau Muda kecil tapi berjiwa besar! Malaysia Boleh!

Perlawanan Kelayakan Olimpik 2012 - Malaysia Vs Syria


Ayuh kita berikan sokongan padu kepada skuad Harimau Muda!!

Setelah kita berbangga dengan kejayaan Malaysia mengekalkan pingat emas bolasepak sukan sea. Pasukan kita akan berhadapan pula dengan Syria dalam perlawanan kelayakan Olimpik di london 2012. Perlawanan ini penting kerana ini perlawanan pertama di tempat sendiri setelah kalah kepada Jepun 2 – 0 di Stadium Tosu, Fukuoka, Jepon.

Kita mesti menang perlawanan atau sekurang-kurangnya memberikan saingan yang hebat kepada Syria. Sebenarnya tidak mustahil untuk Malaysia, yang penting kena teruskan momentum dan semangat sepertimana ketika Sukan Sea. Nampaknya bolasepak Malaysia makin meningkat dan terus meningkat. Kita kena kekalkan prestasi ini dan jangan mudah khayal dengan kejayaan yang diperolehi.

Diharapkan keputusan perlawanan malam ini berpihak kepada kita. Dengan sokongan 28 juta rakyat Malaysia yang kini makin ghairah dengan kejayaan pasukan bolasepak Malaysia.

Malaysia Boleh!

Isu Lynas, Pembangkang Hanya Mahu Menimbulkan Provokasi - Khairy


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menganggap bahawa isu Lynas yang hangat diperkatakan di Kuantan sehingga ke hari ini sudah tidak timbul.

Pendirian yang dibuat oleh mereka sebelum ini hanya merupakan langkah berjaga - jaga agar pihak Kerajaan tidak meminggirkan soal keselamatan rakyat.


Menurut kata Ketua Pergerakan UMNO Malaysia, YB Khairy Jamaluddin, mereka membangkitkan isu tersebut sekiranya ada ancaman kepada keselamatan rakyat.

"Setelah mendapat taklimat berserta segala maklumat mengenai projek Lynas ini, ianya tidak membawa masalah yang besar dan tidak mengancam keselamatan orang ramai. Jadi, sudah tidak timbul lagi isu ini," kata beliau ketika ditemui di PWTC baru - baru ini.

Isu berkaitan pembinaan kilang Lynas ini telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh dan dihangatkan lagi sejak tragedi yang melanda Fukushima awal tahun ini.

Pihak Pembangkang di Pahang telah mempergunakan kenyataan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sebelum ini bagi menimbulkan provokasi yang kononnya mereka juga turut membantah pembinaan kilang tersebut.

Dengan kenyataan terbaru ini, adalah diharapkan agar pihak Pembangkang di Negeri Pahang ini tidak sewenang - wenangnya menyalah tafsirkan pendirian sayap UMNO itu bagi kelebihan politik mereka semata - mata.

Sumber: Badan Perhubungan UMNO Pahang

Kerajaan Selangor Mahu Roboh Surau!


Surau An-Nur Shahiroh, bakal di robohkan untuk buat tempat parking.

Penduduk rumah pangsa kos rendah Indah Court di Jalan PJS 11/7a, membuat bantahan kerana mereka tidak bersetuju dengan tindakan pemaju membina surau ganti di tingkat empat, bangunan tempat letak kereta yang akan dibina di bekas tapak surau terbabit.

Surau yang dibina penduduk dengan kos RM93,000 itu akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembinaan tiga blok kondominium 30 tingkat dan 10 unit rumah kedai serta pejabat di kawasan berhampiran.

Penaung surau, Datuk Shaiful Nizam Abdullah, berkata tindakan itu tidak wajar kerana ia dibina hasil wang yang dikeluarkan oleh penduduk sendiri selain sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekitar 1997.

“Saya tidak faham mengapa pemaju dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) begitu mudah hendak merobohkan surau yang kami bina dengan duit sendiri.

“Lebih menghairankan, jika hendak menaik taraf Indah Court, mengapa pula surau ini dirobohkan?
“Kami bina surau ini bukan secara haram tetapi selepas kelulusan MPPJ. Lagipun, tidak sesuai jika surau dibina di atas lot parkir kerana ia menyusahkan penduduk untuk beribadah dan membuat kenduri.

“Begitu juga jika berlaku kematian, pasti sukar untuk mengurus jenazah,” katanya selepas bersemuka dengan pemaju dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hannah Yeoh Tseow Suan di kawasan berkenaan.

Inilah nasib orang melayu apabila DAP berkuasa! MB Selangor hanya boneka DAP!

Bubar Dun... Khalid Ibrahim Pening Rupanya!


Keputusan kerajaan PKR Selangor enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika parlimen dibubarkan sebelum Jun 2012 bagi membolehkan pilihanraya umum ke 13, jelas bertentangan keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, “ keputusan awal majlis berkenaan adalah ‘kalau bubar, bubar serentak, kalau tidak, tidaklah,”

Maksudnya, pembangkang akan membubarkan DUN yang dikuasai mereka secara serentak jika dipersetujui majlis selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan parlimen.

“Kalau bubar, semua negeri (dikuasai pembangkang) bubar. Itu keputusan awal Majlis Presiden. Kalau kita setuju, kita bubar serentak, kalau tidak, maka tidaklah,” katanya kepada Agendadaily ketika ditemui di lobi Parlimen Selasa.

Beliau diminta mengulas kenyataan Khalid bahawa DUN Selangor tidak akan dibubarkan jika Parlimen dibubarkan awal sebelum Jun tahun depan.

Saifuddin berkata, keputusan atau membubarkan DUN serentak akan ditentukan Majlis Presiden yang diwakili PKR,DAP dan PAS.

Justru itu katanya, beliau tidak tahu menahu kenapa Khalid membuat keputusan enggan membubarkan DUN Selangor dengan syarat-syarat tersebut.

Menjawab kemungkinan hanya akan diadakan pilihan raya peringkat Parlimen sahaja, Saifuddin berkata, itu adalah prerogatif Perdana Menteri.

Ditanya, sama ada pembangkang setuju atau tidak dengan kemungkinan itu, Saifuddin sambil seloroh berkata, “Bila berlaku (pilihan raya parlimen sahaja), kita bincanglah,”.

Bagaimanapun, cadangan kerajaan PKR Selangor itu dilihat PAS sebagai tindakan yang boleh memberi kesan negatif kepada pembangkang.

Ahli Jawatankuasa PAS, Nasaruddin Mat Isa berkata, jika DUN Selangor mengadakan pilihan raya negeri berasingan selepas Parlimen dibubarkan, Barisan Nasional boleh memberi tumpuan khusus untuk menawan semula Selangor.

“Jika pilihan raya hanya diperingkat negeri, seluruh jentera BN akan tumpu pada negeri. Ini menyulitkan pakatan dalam satu segi,” katanya.

Menurut Nasaruddin, beliau berpandangan adalah lebih baik Selangor turut mengadakan pilihan raya serentak dengan parlimen dan negeri-negeri lain.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berpendapat, jika Najib umumkan hanya pilihan raya peringkat Parlimen sahaja, ia satu langkah bijak jika BN tumpu ambil alih negeri dikuasai pembangkang.

“Buatlah berasingan. Untung apa. Saya setuju, untungkan BN,” katanya.

Selain itu katanya, BN ada alasan untuk balun pembangkang kerana mahu bazirkan wang dengan buat pilihan raya negeri berasingan dengan parlimen.

Sementara itu, MCA mencabar kerajaan negeri PKR-DAP-PAS untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pemudanya Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, pembangkang sebenarnya tidak bersedia menghadapi BN dan cuba sedaya upaya untuk mengelak daripada mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum.

"Adakah anda semua bersedia menghadapi Barisan Nasional pada pilihan raya negeri? Keengganan anda berbuat demikian menunjukkan anda sama ada tidak bersedia untuk menghadapi BN dan anda telah gagal memenuhi janji-janji pilihan raya.

"Dengan demikian, anda tahu bahawa anda tidak dapat bertanding dalam pilihan raya serentak," kata beliau dalam kenyataan, semalam.

Katanya jika kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor sesungguhnya bersedia menghadapi calon BN dan Bebas dalam pilihan raya, mereka tidak payah mempolitikkan untuk menangguhkan pilihan raya negeri sebagai taktik terhadap lawannya.

"Penangguhan akan membazirkan wang pembayar cukai dan menyebabkan kesulitan penyediaan logistik," kata Wee sambil menambah bahawa ia akan juga mengambil masa dengan penyediaan logistik oleh Suruhanjaya Pilihan, anggota keselamatan dan parti politik dan calon.

Selain itu, parti-parti politik dan calon akan menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan untuk berkempen di mana sumber-sumber itu lebih baik digunakan untuk membantu rakyat.

"Bagi mereka yang bekerja, belajar atau tinggal di luar negeri atau negara, mereka terpaksa pulang dua kali untuk mengundi di kawasan pilihan raya mereka.

"Dengan itu, jika kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor tidak hiraukan wang pembayar cukai, sekurang-kurangnya pertimbangkan individu yang terpaksa datang dari jauh dua kali yang melibatkan kos pengangkutan tambahan hanya untuk pergi mengundi," kata Wee.

Ambil kira sebab dan alasan di atas, Khalid kena fikir semula keputusannya enggan bubar DUN Selangor kecuali beliau mahu tunjuk kuasanya lebih dari Datuk Seri Anwar Ibrahim atau majlis presiden PR.-Agendadaily

Harimau Muda Dapat Ganjaran RM30,000 Seorang


Skuad Harimau Muda kendalian jurulatih Ong Kim Swee yang memenangi pingat emas Sukan SEA di Jakarta akan menerima ganjaran RM30,000 seorang daripada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah.

Berita itu diumumkan pengurus skuad negara Datuk Hamidin Mohd Amin, Selasa malam.


"Selepas perlawanan menentang Indonesia semalam, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah bersetuju mengurniakan RM30,000 seorang bagi setiap pemain di atas kejayaan gemilang mereka itu," katanya.

Dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Isnin, skuad bawah 23 tahun negara itu menewaskan pasukan tuan rumah, Indonesia 4-3 menerusi sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Bernama melaporkan, Hamidin berkata skuad itu juga akan dihantar ke Sydney, Australia mulai pertengahan bulan Disember bagi menjalani latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab terkemuka di sana.

"Selepas mesyuarat teknikal FAM sebentar tadi, kami telah bersetuju untuk menghantar skuad kendalian Ong Kim Swee ini untuk ke Austalia dan Alhamdullilah Majlis Sukan Negara (MSN) turut menerima dan menyokong hasrat kami ini," katanya.

Sementara itu, beliau berharap peminat bola sepak datang beramai-ramai untuk menyokong Skuad Harimau Muda pada perlawanan kelayakan pra-Olimpik menentang Syria di Stadium Nasional Bukit Jalil, rabu malam ini.

Beliau berkata setakat ini penjualan tiket bagi perlawanan agak mengecewakan dengan hanya 2,000 tiket telah dijual.

Tiket bagi perlawanan itu dijual dengan harga RM40 (Grandstand) dan RM20 (Terbuka).