Tuesday, November 29, 2011

Teks Ucapan Penuh Tan Sri Muhyiddin, Timbalan Presiden UMNO #PAUMNO



“MENUNJANGI SURVIVAL BANGSA: SUATU JIHAD”

DI MAJLIS PERASMIAN SERENTAK PERSIDANGAN PERWAKILAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2011

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

YB Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil

Ketua Pergerakan Wanita

YB Sdr. Khairy Jamaluddin

Ketua Pergerakan Pemuda

YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin

Ketua Pergerakan Puteri

YB Naib-Naib Presiden UMNO

YB Setiausaha Agung UMNO

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi

Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri

Saudara-saudari sidang perwakilan dan para pemerhati sekalian.

1. Marilah kita dahului dengan sembah tahmid ke hadrat Allah S.W.T. dan selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat kita bersama-sama berhimpun pada malam yang bersejarah ini untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bagi tahun 2011.

2. Perhimpunan tiga sayap penting parti UMNO ini adalah kemuncak manifestasi suara akar umbi umat Melayu yang mahu melihat perjuangan bangsa diperkasa, kesucian agama dibela, kedaulatan pertiwi dipertahan dan keutuhan parti UMNO sebagai gerakan pembela umat Melayu yang tiada galang-ganti ini diperkukuh dan diperteguhkan. Inilah perhimpunan terbesar umat Melayu yang mengangkat suara keramat rakyat dari segenap ceruk desa dan kota, dari segenap lapisan warga, untuk dijadikan suluhan, panduan dan sempadan dalam melayari bahtera di samudera perjuangan meninggikan agama, memartabatkan bangsa, mendaulatkan nusa dan menobatkan siasah parti UMNO yang tercinta.

Kesatuan kita ini ibarat kata pepatah Melayu:

Bulat Air kerana Pembetung

Bulat Manusia kerana Muafakat

Kata seia kata sepakat

Setuju sependirian setuju sependapat

Kata dibulati kata bertepati

Janji termeteri, kejayaan dinikmati

3. Maka dalam semangat Maal Hijrah, marilah kita perkukuhkan kesatuan hati sesama kita, marilah kita semarakkan muafakat yang membawa berkat, supaya terpancar darinya sinar azimat yang menyuluh lorong-lorong perjuangan kita. Demikianlah ajaran junjungan besar kita Rasulullah s.a.w. yang membentuk kesatuan Ansar dan Muhajirin, yang mendamaikan permusuhan ‘Auz dan Khazraj.

4. Sesungguhnya, harapan umat Melayu terhadap UMNO tinggi menggunung. Sebagai parti yang tertubuh atas semangat kental perjuangan, UMNO memikul amanah besar untuk terus membela kesucian agama, menjulang maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara. Di atas jemala UMNO, terhimpun sejuta harapan dan cita-cita umat Melayu yang mahu melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang bermaruah, bermartabat dan merdeka jiwanya.

Kuasa Politik Melayu Goyah, Fitnah Terhadap UMNO

Saudara dan Saudari Sekalian,

5. Langit tidak selalunya cerah, laut tidak selalunya tenang. Tsunami politik yang melanda ketika Pilihanraya Umum 2008 dilihat oleh banyak pihak sebagai titik mula perubahan lanskap politik yang ketara di negara kita. Barisan Nasional kehilangan majoriti dua per tiga di Parlimen. Kedudukan UMNO dan parti-parti komponen BN tidak sekuat dahulu. Kuasa politik Melayu semakin goyah.

6. Tidak semena-mena timbul persepsi bahawa UMNO tidak lagi mampu untuk membela nasib orang Melayu. Malah, pelbagai tuduhan liar dilempar kepada UMNO. Ada yang kata UMNO tidak berbuat apa-apa untuk orang Melayu selama 54 tahun memerintah; UMNO parti rasis; UMNO pemuflis negara; UMNO anti-demokrasi; malah ada yang mengatakan UMNO adalah ibu segala kejahatan. Na’uzubillahi min zalik.

7. Segala fitnah terhadap UMNO ini ibarat api yang memamah setiap helaian jasa dan bakti UMNO. Malah, dalam zaman fitnah yang menggila ini, pemimpin nombor satu kita tidak terkecuali daripada menerima percikan api fitnah. Hinggakan keheningan mengerjakan ibadah haji pun diganggu oleh kilang-kilang fitnah yang bekerja lebih masa. Kepada YAB Presiden, usah resah, usah gelisah, usah gundah, usah gulana. Teruskan perjuangan. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, ke lautan sama direnangi. La takhaf wa la tahzan innallāha ma’ana.

8. Sesungguhnya, percikan api fitnah mereka menyambar dan merebak ke segenap sudut kehidupan, menyemarak sentimen kebencian. Matlamat penyebar fitnah jahat ini amat jelas - hilangkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin utama UMNO dan meruntuhkan harapan orang Melayu terhadap parti keramat ini. Tujuan mereka tidak lain hanya mahu merampas kuasa politik.

Tembelang Pembangkang

9. Pada masa yang sama, parti-parti pembangkang mengambil kesempatan atas hakisan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 2008 untuk menunjukkan tembelang mereka yang sebenar. Parti DAP tanpa segan silu membuat kenyataan demi kenyataan menghina Islam dan orang Melayu. Daripada soal kedudukan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, segala-galanya cuba dipertikai dan dirobek satu demi satu oleh parti DAP.

10. Kemenangan DAP di Pulau Pinang dan kejayaannya mendominasi kerajaan pembangkang di Selangor, dan sebelum itu di Perak, seolah-olah memberikan lesen paling besar kepada parti paling rasis ini untuk menyerlahkan sikap cauvinis melampau. Mereka langsung tidak menghormati institusi Raja-raja Melayu, menghina pegawai-pegawai kerajaan yang majoritinya berbangsa Melayu, mencerca pasukan keselamatan dengan penghinaan yang keterlaluan, mempertikai institusi penguatkuasaan, menjatuhkan wibawa institusi kehakiman dan memperkuda sekalangan orang Melayu dengan tujuan mendapatkan kuasa bagi diri mereka sendiri.

11. Tembelang DAP untuk menubuhkan sebuah negara republik dengan mengetepikan nilai, sejarah dan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan semakin jelas kelihatan. Masakan tidak, mereka berani mencadangkan supaya jawatan Perdana Menteri dipilih secara langsung dalam pilihanraya tanpa perlu dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong. Apa maknanya ini? Maknanya, sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembangaan yang kita amalkan selama ini sudah tidak sesuai lagi dengan tembolok mereka untuk melahap kuasa.

12. Ketika umat Islam bangkit bersatu mempertahankan akidah umat daripada diruntuhkan oleh kumpulan yang berniat jahat, DAP dan konco-konconya, bertubi-tubi mempersenda umat Islam. Semakin nyaring suara umat Islam membela kesucian agama, semakin ghairah mereka menjalankan dakyah jahat ke atas umat Islam atas nama kebebasan beragama. Agenda mereka yang sebenar ialah ingin melihat perpecahan di kalangan umat Islam dan melaga-lagakan umat Islam dengan bukan Islam.

13. Parti DAP ini tidak pernah melihat apa-apa kebaikan yang ada pada orang Melayu dan Islam. Bagi DAP, walaupun ia mendakwa ia parti demokratik pelbagai kaum, ironinya dari dahulu hingga sekarang DAP hanya dipimpin oleh kelompok tertentu daripada satu kaum sahaja. Atau lebih tepat lagi, dari keluarga tertentu dalam kelompok tertentu dari kaum tertentu sahaja. Namun kita yakin dan percaya DAP tidak mewakili keseluruhan suara kaum itu.

14. Hari ini kita dengar DAP sedang giat memancing orang Melayu untuk menyertai parti itu. Mereka ditawarkan jawatan dalam parti dan dijanjikan menjadi calon dalam pilihan raya. Jika menang, mereka berpeluang dilantik sebagai ahli Exco atau Menteri Besar di negeri-negeri tertentu. Ganjarannya tampak sungguh lumayan.

15. Namun, orang Melayu mesti berwaspada. Jangan sampai terpedaya dengan muslihat jahat DAP. Tujuan sebenar parti paling rasis ini bukanlah untuk memberi kuasa kepada orang Melayu, jauh sekali menyerahkan kepimpinan parti itu kepada orang Melayu. DAP hanya mahukan si Melayu yang malang ini menjadi kuda tunggangan yang kerjanya sekadar menjaga kepentingan cauvinis DAP. Orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP adalah pengkhianat bangsa. Janganlah jadi pembelot seperti Si Kitol. Janganlah jadi seperti tikus membaiki labu. Janganlah jadi seperti Pak Kaduk, menang sorak, kampung tergadai. Janganlah sudah terhantuk, baru terngadah. Jangan sampai nasi menjadi bubur. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. DAP sudah pasti bukanlah parti untuk orang Melayu dan Bumiputera.

16. Begitulah juga dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). PKR ini ketandusan agenda untuk orang Melayu dan Islam. PKR sebuah parti ultraliberal yang tiada asas moral dalam perjuangannya. Jika tidak, masakan orang yang sedang dibelenggu krisis kredibiliti yang serius terus diangkat memimpin parti itu secara tidak demokratik. Mana mungkin kedudukan agama, bangsa dan negara boleh dijaga oleh PKR jika yang diangkat menjadi pemimpin pun bergelumang dengan masalah kredibiliti.

17. Ringkasnya, PKR sebuah parti yang amat tenat. Hampir kesemua pengasas parti ini telah meninggalkan parti dan menyokong UMNO. Sudahlah tiada matlamat perjuangan yang jelas, retak dalam parti itu juga sedang menunggu belah. Masing-masing sedang menilik nasib Ketua Umum mereka. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Yang mahu terus timbul, mereka menggunakan pelbagai cara untuk menyucikan Ketua Umum mereka. Yang petah berceramah menggunakan pentas Islam untuk menjaja pelbagai konsep fikah – daripada fiqh maqasid kepada qazaf – semata-mata untuk membela Ketua Umum mereka. Bagi yang berfikiran ultraliberal, mereka mengambil kesempatan atas kemelut moral yang berlaku untuk mewajarkan pelbagai amalan yang bertentangan dengan budaya masyarakat Timur atas nama kebebasan. Mutakhir ini, pemikiran pluralisme agama yang amat mengelirukan umat Islam juga cuba dimurnikan oleh golongan ini semata-mata untuk mewajarkan pemikiran Ketua Umum mereka yang semakin bercelaru.

18. Walaupun satu pihak dalam PKR menggunakan hujah agama manakala satu pihak lagi menggunakan hujah ultraliberal melampau, matlamat mereka cuma satu, iaitu mempertahankan Ketua Umum mereka. Dari satu segi, PKR dulu, kini dan selamanya tidak pernah berganjak daripada tujuan penubuhannya, iaitu mempertahankan seorang individu. Untuk itu syabas kita ucapkan kepada PKR, walaupun sebenarnya:

Hisap rokok dalam kelambu,

Terbit asap menjadi abu

PKR umpama golok kayu

Tetak tak lut gadai pun tak laku.

19. Lain pula halnya dengan PAS. Suatu ketika dahulu, PAS begitu komited dengan agenda mendirikan negara Islam. Bagi mereka, Islam adalah ghayah atau matlamat dan PAS adalah wasilah atau alat untuk mencapai matlamat. Mereka begitu komited sehinggakan sanggup menuduh sesiapa sahaja yang tidak menyokong perjuangan parti itu sebagai kafir. Malah, UMNO dikatakan parti taghut kerana tidak menyokong agenda negara Islam acuan PAS. Akibatnya, umat Islam berpecah dan berbalah sesama sendiri lantaran fatwa songsang PAS.

Saudara dan Saudari Sekalian,

20. Mutakhir ini, tak semena-mena PAS sudah tidak lagi memperkatakan tentang matlamat menubuhkan negara Islam. Tatkala sekali-sekala terpacul perkataan negara Islam dari mulut pemimpin PAS, berpakat-pakat pemimpin PKR dan DAP mengecam PAS. Bagi mereka, negara Islam bukanlah matlamat pakatan politik yang mereka bentuk.

21. Anehnya, PAS tidak pula mengatakan PKR dan DAP sebagai parti taghut. Jauh panggang dari api, PAS sebaliknya mengangkat kedua-dua parti itu sebagai rakan sekongkol dan sekedudukan mereka. Negara Islam sudah tidak ada lagi dalam kamus politik PAS. Ternyata, tsunami politik yang melanda dalam pilihan raya umum lalu telah menghanyutkan istilah negara Islam dari kamus politik PAS. Bagi PAS, dalam menghadapi lanskap politik baharu ini, sokongan DAP dan PKR lebih penting berbanding mempertahankan prinsip perjuangannya sendiri.

22. Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS Ganti UMNO seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan UMNO kerana UMNO tiada galang-ganti. Yang sebenarnya berlaku ialah DAP Ganti PAS. DAP bercakap mengenai Islam, PAS mengiyakan sahaja. Pemimpin DAP menyebut dua tiga patah ayat al-Qur’an walaupun salah, PAS mempertahankan. Pemimpin DAP menggelar dirinya Khalifah Umar Abdul Aziz, PAS memberi pengiktirafan. Pemimpin DAP berceramah, penyokong PAS bertakbir. Tetapi apabila PAS menyebut tentang Negara Islam, pemimpin DAP lah yang pertama sekali mengecam PAS. Dan apabila dikecam, PAS diam seribu bahasa. Apa maknanya ini? Maknanya, DAP lah yang memberi definisi kepada Islam yang dianuti oleh PAS. DAP lah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan PAS?

23. Untuk menutup kegagalan mereka mempertahankan kesucian Islam, PAS mengemukakan agenda Negara Berkebajikan. Kini, mereka mengatakan konsep Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang ada hanyalah Negara Berkebajikan. Malang bagi PAS kerana setelah puluhan tahun memperjuangkan negara Islam, tetapi akhirnya mengatakan konsep negara Islam tiada dalam al-Quran. Maknanya, selama ini PAS membohongi umat Islam dengan perjuangan palsu mereka.

24. Walau apa pun, kita hendak bertanya kepada PAS. Negara Berkebajikan bagaimana yang mereka ingin wujudkan? Yang kita tahu, bekalan air bersih pun tidak mampu mereka sediakan kepada rakyat Kelantan. Bukankah air adalah keperluan rakyat paling asas yang mesti dipenuhi oleh mana-mana kerajaan. Justeru, kita nak katakan kepada PAS, kalau bekalan air bersih pun tak dapat disediakan, janganlah simpan angan-angan hendak wujudkan Negara Berkebajikan. Selesaikan dahulu masalah air di Kelantan, kemudian barulah bercakap soal Negara Berkebajikan.

25. Sebenarnya PAS bukanlah beriya-iya benar hendak mewujudkan Negara Berkebajikan. Mereka sendiri pun tak faham apa maksud Negara Berkebajikan. Slogan Negara Berkebajikan hanyalah helah politik PAS untuk menutup kelemahan sendiri kerana tergadainya matlamat untuk mendirikan negara Islam. Apa yang penting bagi PAS, slogan Negara Berkebajikan boleh diterima oleh DAP.

Keresahan Melayu

Saudara dan Saudari Sekalian,

26. Perkembangan mutakhir ini semakin meresahkan orang Melayu. Mereka tertanya-tanya apakah nasib masa depan umat Melayu di tanah air sendiri. Terbangunkah ekonomi Melayu dan Bumiputera jika apa sahaja usaha untuk membantu mereka dianggap sebagai rasis dan berpilih kasih? Apakah orang Melayu dan Bumiputera akan mendapat bahagian yang adil dalam pengagihan kekayaan? Wujudkah peluang-peluang ekonomi untuk orang Melayu dan Bumiputera dalam dunia yang semakin kompetitif?

27. Bagaimana dengan peluang pendidikan untuk anak-anak Melayu dan Bumiputera? Masihkah boleh mereka bergantung harap kepada biasiswa daripada kerajaan? Apakah ada ruang untuk mereka membangunkan potensi diri dalam rancangan pembangunan modal insan negara? Bagaimana pula dengan peluang-peluang pekerjaan untuk mereka? Selain itu, apakah kedudukan istimewa agama Islam akan terus terjamin? Terbelakah agama Islam jika serangan bertubi-tubi kepada institusi-institusi Islam berterusan? Terpeliharakah kesucian Islam jika parti seperti DAP lebih berpengaruh mentakrifkan Islam?

28. Seterusnya, orang Melayu bertanya, akan kekalkah kuasa politik Melayu jika pembangkang terus melakukan serangan demi serangan terhadap institusi-institusi Melayu? Mampukah UMNO untuk membela nasib umat Melayu? Mampukah UMNO untuk terus bersuara mewakili mereka seperti dahulu? Mampukah UMNO untuk terus memenuhi harapan orang Melayu? Atau adakah UMNO akan terus terperangkap dalam psikologi politik pasca-tsunami 2008 yang meresahkan orang Melayu?

UMNO Adalah Jawapan Kepada Keresahan Melayu

29. Sebenarnya, jawapan kepada persoalan-persoalan ini ada pada kita semua. Sebagai ahli UMNO, sebagai pemimpin UMNO, kita semua memikul amanah besar untuk terus membela agama, bangsa dan negara yang menjadi asas dan matlamat perjuangan UMNO.

30. Hakikatnya, UMNO telah bangkit daripada rempuhan tsunami 2008. Kita tidak pernah menyerah kalah kepada tujahan kuasa politik pembangkang yang ingin merobek segenap sudut perjuangan UMNO dalam membela orang Melayu. Ketika umat Melayu resah memikirkan apakah ada pembelaan terhadap mereka dalam sektor ekonomi, kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO tanpa rasa apologetik telah menubuhkan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Presiden selaku Perdana Menteri. MTAB bertanggungjawab untuk memastikan penyertaan orang Melayu dan Bumiputera dalam sektor ekonomi terus diperkasa. Lantaran itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) juga ditubuhkan untuk menyelaraskan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi yang semakin kompetitif.

31. Terkini, YAB Perdana Menteri telah pun melancarkan Program Transformasi Ekonomi Bumiputera dengan memberi tumpuan kepada tiga fokus strategik iaitu, (i) pengukuhan pendidikan serta pembinaan keupayaan Bumiputera; (ii) pembaharuan instrumen dasar dan rasionalisasi sistem penyampaian; dan (iii) penumpuan kepada pemerolehan, penciptaan dan pembangunan perniagaan berskala besar. Tiga fokus strategik ini diharapkan dapat melonjakkan pencapaian Bumiputera dalam bidang ekonomi. Selain itu, penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi akan terus dipertingkatkan melalui pelbagai projek pemula di bawah Program Transformasi Ekonomi dan juga melalui Program Transformasi Luar Bandar. Semua ini adalah kesinambungan daripada usaha-usaha yang telah dilakukan UMNO selama ini dalam perjuangan mengangkat martabat ekonomi Bumiputera.

32. Begitu juga ketika orang Melayu resah memikirkan sama ada pendidikan anak-anak mereka akan terus terbela, pemimpin UMNO tegas mempertahankan hak pelajar Melayu dan Bumiputera yang berkelayakan untuk mendapatkan biasiswa dan lain-lain bantuan pendidikan daripada kerajaan. Terbaru, kita telah menubuhkan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera untuk membantu anak-anak Bumiputera mendapatkan pembiayaan pendidikan. Dengan dana sebanyak 500 juta ringgit, kita mensasarkan 12,000 pelajar Melayu dan Bumiputera akan menerima manfaat dalam tempoh 5 tahun akan datang. Semua ini adalah manifestasi komitmen UMNO untuk memastikan anak-anak Melayu dan Bumiputera yang cemerlang dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan berjaya dalam kehidupan.

33. Yakinilah, sebagai parti yang bertanggungjawab, UMNO akan terus membela hak anak-anak Melayu dan Bumiputera untuk mendapatkan segala bantuan pendidikan yang layak bagi diri mereka. Pada masa yang sama, atas dasar keadilan, kita juga tidak menafikan hak anak-anak kaum-kaum lain untuk mendapat kemudahan yang sama. Inilah prinsip al-‘adl wal ihsan yang ditekankan dalam agama kita.

34. UMNO juga akan terus mempertahankan institusi-institusi agama dari terus dipersenda dan diperleceh. Kedudukan Raja sebagai Ketua Agama akan dijunjung. Kewibawaan institusi mahkamah syariah, agensi penguatkuasa agama dan undang-undang Islam akan terus dibela. Pendidikan Islam akan diperkasakan lagi. Kerajaan Pusat komited untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri dari segi pembangunan infrastruktur, kurikulum, latihan guru dan sebagainya. Bantuan akan diberikan kepada semua sekolah agama melangkaui batas ideologi politik. Ini adalah keikhlasan UMNO untuk memastikan pendidikan Islam terus bermartabat di negara kita.

35. Fokus kepada pendidikan Islam adalah selari dengan pendekatan wasatiyyah UMNO, iaitu sederhana dan berimbang, dalam melakukan lonjakan terhadap Islam dan hubungannya dengan pembangunan dan ketamadunan. Al Quran memberikan asas tentang ummatan wasata sebagai strategi terbaik membangunkan Islam, bukannya pendekatan ekstrem yang hanya terpancar dengan retorik dan kenyataan-kenyataan yang umum sifatnya dan tidak memberi kesan kepada pembangunan institusi dan sistem.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Baqarah ayat 143:

وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا لِّتَڪُونُواْ شُہَدَآءَ عَلَى

ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدً۬ا‌ۗ



Yang bermaksud:

Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.

36. Dengan pendekatan wasatiyyah ini kita seimbangkan pembangunan rohani dan pembangunan fizikal, antara tuntutan fardhu ‘ain dan fardhu kifayah. Kedua-duanya adalah dituntut oleh Islam. Dalam konteks ini, Islam harus diberi makna yang luas. Ianya bukan sahaja satu sistem kepercayaan, tetapi juga cara hidup yang mencakupi segenap segi kehidupan. Al-Quran dalam Surah Al-Asr menyebutkan إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ yang memberi maksud orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang melakukan amal soleh. Ertinya, syi’ar Islam tidak hanya terpancar melalui amalan ritual semata-mata, tetapi juga melalui amal soleh dan pembangunan yang membawa kesejahteraan hidup manusia.

37. Inilah komitmen UMNO. Kita mengambil pendekatan seimbang dan bijaksana supaya umat Melayu diperkasa dan Islam dimartabat. Ini jugalah tekad politik UMNO dalam memastikan umat Melayu semakin maju dan berwibawa dalam segala bidang dan lapangan.

38. Namun sebagai parti tunjang di dalam Barisan Nasional, UMNO telah membuktikan komitmen mensejahterakan rakyat merentasi batas kaum. Dengan konsep perkongsian kuasa, UMNO telah membuktikan keikhlasannya memimpin dalam kepelbagaian bangsa dan kelainan agama. Sebagai contoh, sewaktu kita memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru, walaupun kita dikritik hebat, hakikatnya limpahan nikmat turut sama dikongsi oleh semua kaum. UMNO tetap sedar bahawa bagi meneruskan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara, realiti landskap politik negara yang majmuk sifatnya mesti dipelihara. Jangan kita tanamkan kebencian kepada kaum-kaum lain. Jangan kita lemparkan kehinaan kepada agama-agama lain. Jangan kita titipkan prasangka kepada budaya-budaya lain. Kita bukan rasis seperti DAP.

Pilihanraya Umum Ke-13

Saudara dan Saudari Sekalian,

39. Saya mengambil sedikit masa untuk menyentuh tentang persoalan-persoalan yang berlegar di benak fikiran orang Melayu, tentang beberapa isu yang amat penting kepada kelangsungan mereka, supaya generasi muda dan sayap-sayap parti memahami apakah psikologi dan minda Melayu yang kita hadapi hari ini. Sesungguhnya, kita sedang berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihanraya umum ke-13 adalah ibu segala pilihanraya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan terlepas ke tangan orang lain?

40. Sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas dari genggaman kita? Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat orang Melayu hilang kuasa di bumi sendiri?Jawapannya tentu sekali tidak.

41. Ayuh, gerakkan seluruh kekuatan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO untuk menjadi benteng parti. Datuk Seri Shahrizat, Pergerakan Wanita adalah srikandi UMNO. Pengaruh wanita amat kuat dalam masyarakat. Setiap undi wanita amat penting kepada UMNO. Perkukuhkan gerakerja Jalinan Rakyat. Perhebatkan aktiviti Skuad Sayang dengan pendekatan yang tersusun dan teratur. Kajian sikap mesti tepat, penyelarasan dan kerjasama dengan kepimpinan bahagian mesti mantap.

42. Saudara Khairy, andalah panglima perang paling muda dalam UMNO. Gerakkan barisan pemudamu, jadilah benteng UMNO yang kukuh. Turun ke akar umbi, dekati dan selamilah aspirasi generasi seangkatan denganmu. Persiapkan hulubalang pemuda untuk bertarung dalam peperangan yang paling perit dalam sejarah parti kita. Bersedialah dengan kekuatan mental dan fizikal. Biar putih tulang, jangan putih mata!

43. Landskap politik kini adalah milik orang muda. UMNO komited untuk memberikan keyakinan, kepercayaan dan ruang kepada generasi muda. Kepada pemimpin-pemimpin UMNO, berilah laluan kepada generasi muda untuk sama-sama mencurahkan bakti kepada parti. Bimbinglah mereka. UMNO tidak akan menjadi parti yang kekal selama-lamanya tanpa dokongan orang muda.

44. Datuk Rosnah, Puteri adalah permata UMNO. Pimpinlah Puteri dengan kesatuan hati dan matlamat. Dalam kelembutan Puteri, serlahkan peranan anda untuk membawa golongan wanita muda ke pangkuan UMNO. Bingkaslah untuk menarik sokongan rakyat kepada parti. Perhebatkan program Puteri di segenap peringkat. Kembalikan kegemilangan Puteri sebagai sayap tempat bernaung remaja dan wanita muda untuk bersama-sama mencorak hala tuju Negara. Laksanakan peranan anda dengan berkesan supaya parti kita menjadi lebih kuat.

45. Atas segalanya, kitalah yang menentukan kekuatan parti kita. Jika kita bersatu hati (wahdatul qalb), bersatu minda (wahdatul fikr), bersatu amal (wahdatul amal) dan bersatu matlamat (wahdatul hadf) parti kita akan kuat. Ketepikan perbezaan dan persengketaan. Lemparkan segala sifat tercela jauh ke lautan hitam. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Yakinlah, perjuangan ini adalah jihad untuk agama, bangsa dan negara. Jihad untuk keadilan. Jihad untuk pertahan hak. Percayalah, pilihanraya umum nanti mempunyai makna yang cukup dalam kepada kelangsungan kita. Pilihanraya ini adalah medan jihad dan saudara-saudari adalah para mujahid dan mujahidah.

46. Calon adalah senjata parti untuk menang. Berilah sepenuh keyakinan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya. Yang penting, calon kita mesti berkaliber, berpendidikan, berwibawa, berjiwa rakyat, bersih, jujur, amanah, tinggi moralnya dan diterima oleh rakyat. Akurlah dengan keputusan pucuk pimpinan. Berilah sokongan padu kepada setiap calon. Gerakkan jentera untuk membantu mereka.

47. Tumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada parti dan pemimpin. Marilah kita bersatu menjayakan agenda transformasi yang dibawa oleh YAB Presiden. Pendekatan berani YAB Presiden dalam memperkenalkan transformasi politik, dalam menunjangi perubahan, perlu disambut oleh segenap lapisan ahli-ahli UMNO.

48. Pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabo. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan ‘mandikan’ calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan main belakang. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan. Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihanraya. Ingat, pilihanraya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihanraya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti.

49. Sebagai sebuah organisasi, UMNO tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan. UMNO bukanlah malaikat. Kita insaf dan sedar. Kita sentiasa mengorak langkah melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadai prinsip perjuangan.

50. Dalam perjuangan ini, UMNO tidak boleh bersendirian. Ajaklah, serulah, panggillah, pujuklah seluruh umat Melayu untuk bersama kita. Raih setiap sokongan dan keyakinan seluruh persatuan Melayu, gabungan Melayu, badan-badan ekonomi, sosial, pendidikan, agama, belia, budaya untuk bersama kita di bawah panji UMNO dalam mempertahankan survival umat Melayu. UMNO melihat seluruh organisasi Melayu sebagai pejuang. Mereka ada sumbangan dan peranan yang besar. Ajaklah penyokong pembangkang yang sudah hilang kepercayaan kepada perjuangan parti mereka yang sia-sia untuk bersama-sama kita. Demi kelangsungan umat Melayu, marilah kita bersatu. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Ali Imran Ayat 103:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَا‌ۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَہۡتَدُونَ



Yang bermaksud:

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.

51. Gendang perang sudah dipalu. Langkah pendekar sudah disusun. Bangunlah! Berjuanglah! Pergilah ke seluruh 222 Parlimen, 576 Dewan Undangan Negeri dan 7470 Pusat Daerah Mengundi. Jangan ada yang tertinggal, tersisih dan tercicir. Jangan ada satu pun yang terlupa. Raih setiap undi di setiap kawasan. Ingat, walaupun satu undi ianya akan menentukan kemenangan kita.

52. Beri tumpuan kepada masalah rakyat. Rasai denyut nadi mereka. Dengar rintihan dan keluhan mereka. Bantulah mereka. Kita adalah mata, telinga dan suara rakyat. Paling utama, kita mesti bertanggungjawab. Lunaskan tanggungjawab moral kita sebagai pejuang UMNO dengan membantu rakyat.

53. Membujur lalu melintang patah, jangan hanya dilaungkan tapi buktikan kita tidak rela membiarkan pembangkang terus menghina perjuangan parti kita. Kita tidak akan berganjak walau seinci daripada memastikan rakyat tidak diperdaya dan diperalatkan.

Patah sayap bertongkat paruh,

Patah paruh bertongkat siku,

Patah siku bertongkat dagu,

Patah dagu bertongkat kuku.

54. Medan perang di hadapan kita. Kita tiada banyak pilihan. Maralah ke hadapan dengan semangat kental Tariq bin Ziyad, panglima muda yang menakluki Andalusia. Ketika menyeberangi Selat Gibraltar dengan bilangan tentera yang kecil, Tariq berkata kepada tenteranya:

“Dengarlah semua! Ke mana kamu semua dapat lari? Lihat apa yang menanti kamu. Lautan di belakang dan musuh di hadapan. Pada diri kamu semua hanya tinggal keikhlasan dan kesabaran ... Musuh di hadapan sedang menanti dengan pasukan tentera dan peralatan yang lengkap ... Ingat, perlindungan daripada pihak musuh hanyalah pedang-pedang di tangan kamu. Sekiranya pasukan kita lambat mencapai kemenangan, peluang keemasan untuk terus hidup akan hilang. Ketakutan yang melanda pihak musuh berganti menjadi berani untuk menentang pihak kita. Oleh itu, berjuanglah bersungguh-sungguh bagi mempertahankan nyawa kamu”.

55. Ayuhlah srikandi UMNO! Ayuhlah hulubalang UMNO! Ayuhlah permata UMNO! Rapatkan saf perjuangan parti! Berdiri teguhlah di belakang YAB Presiden parti. Bangkitlah pertahankan kelangsungan umat Melayu! Bangunlah menjulang panji perjuangan! Maralah tewaskan musuhmu di hadapan. Pastikan kemenangan milik kita!

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011.

Sekitar Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011 #PAUMNO


Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011 bertempat di Dewan Merdeka PWTC.








Taklimat Presiden Buka Tirai Perhimpunan Agung Umno 2011 #PAUMNO


Perhimpunan Agung Umno 2011 membuka tirainya hari ini dengan taklimat daripada Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak, antara agenda utama yang dinanti-nantikan kira-kira 5,447 anggota perwakilan yang hadir.

Majlis taklimat presiden yang akan diadakan secara tertutup pada sebelah petang membolehkan Najib menyampaikan amanat beliau yang dianggap amat penting kerana dijangka menyentuh persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Perdana Menteri pada 20 Nov lepas telah menyampaikan amanat berbeza kepada anggota pergerakan Pemuda dan Puteri, yang julung kali diadakan dalam sejarah perhimpunan itu.

Juga penting hari ini akan menyaksikan majlis perasmian serentak perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 9 malam.

Muhyiddin sebelum itu turut dijadualkan untuk menyempurnakan majlis penutupan Forum Antarabangsa bertema "Transformasi Politik, Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global" yang berlangsung sejak semalam.

Seramai 5,447 perwakilan akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno kali ini yang terdiri daripada 2,627 perwakilan dari 191 bahagian di seluruh negara, 944 perwakilan Wanita, 942 Pemuda dan 934 Puteri.

Turut hadir seramai 58 delegasi luar yang mewakili 23 parti politik dari 20 buah negara, terdiri daripada enam wakil dari Parti Komunis China, 11 dari Parti Mamafisoa, Madagascar, tiga dari Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (Fatah) dan dua dari Persidangan Tetap Parti Politik Amerika Latin dan Caribbean, Coppal.

Kesemua 74 Kelab Umno Luar Negara masing-masing menghantar seorang wakil.

Seramai 1,540 petugas media dari 83 agensi, 74 agensi tempatan dan sembilan antarabangsa telah mendaftar untuk membuat liputan pada perhimpunan kali ini.

-Bernama

Khairy: Pertandingan Pidato Politik Mekanisme Pencarian Pemimpin Muda #pidatopemudaBN


Pertandingan Pidato Politik Piala Perdana Menteri anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) boleh dijadikan medan mencari bakat pemimpin muda, kata Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kejayaan penganjuran program yang julung kali diadakan, dengan penyertaan ramai peserta muda pelbagai kaum, mendorong program itu untuk dijadikan acara tahunan BN.

"Ini merupakan satu program mencari bakat, yang saya rasa penting dalam BN dan cara yang paling berkesan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertandingan akhir program itu di Pusat Dagangan Dunia Putra Selasa.


Khairy, yang juga Ketua Pemuda Umno, berpendapat ciri utama seorang pemimpin adalah menjadi penghujah paling berkesan.

Beliau berkata penglibatan ramai generasi muda dalam program itu menunjukkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada Khamis lalu bagi membolehkan mahasiswa menyertai parti politik adalah tepat.

"Kita telah buktikan melalui pertandingan ini bahawa mereka sedia untuk bersama kita dan tidak ada sebab untuk kita sekat kemahuan mereka," katanya.

Pertandingan akhir pidato politik hari ini menyaksikan 12 peserta berpidato setelah melalui peringkat zon di seluruh negara sejak 13 Nov lalu.

Johan dimenangi Mohd Syamsul Salleh, 25, yang membawa pulang RM5,000 beserta piala iringan manakala naib johan menjadi milik Mohd Noorfirdaus Che Aman, 22, yang menerima RM3,000 dan piala iringan serta tempat ketiga Azmi Ismail, 39, yang mendapat RM1,000 beserta piala iringan.

-Bernama

Pilihanraya Ke-13 Paling Getir! #PAUMNO


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata beliau diarahkan oleh President Umno dimana naib-naib presiden untuk mengadakan sidang media bersama bagi menjelaskan taklimat presdien yang telah disampaikan kepada para perwakilan sebentar tadi..



Menurut beliau pada kali ini Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyampaikan pesanan kepada perwakilan bahagian supaya jangan memandang ringan atau mudah pada pilihanraya umum akan datang kerana ia adalah pilihanraya paling getir, Presiden meminta wakil bahagian dan akar umbi supaya bekerja kuat untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional.

Katanya lagi, selesaikan segala masalah dalaman jika ada... kerana pilihana umum ini paling luar biasa, Presiden meminta wakil bahagian dan akar umbi berikan kerjasama dan memupukkan semangat perpaduan kerana Barisan Nasional perlu menang dengan selesa.

Difahamkan Perhimpunan Agung Umno 2011 ini berkemungkinan besar adalah perhimpunan terakhir sebelum PRU 13 yang dijangkakan akan diadakan pada bila-bila masa tahun hadapan.

Politik Harian/Bro Jinggo

MP Pembangkang Bacul ! Tunjuk Perasaan Keluar Dewan !


Ahli parlimen pembangkang keluar dewan hari ini bagi membantah tindakan kerajaan berkenaan rang undang-undang perhimpunan aman untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa terpilih.

Ahli parlimen berkenaan juga bertindak demikian bagi membantah keputusan yang dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang hanya membenarkan ahli parlimen kanan pembangkang untuk berbahas.

Macam budak kecik lah MP Pembangkang ni, sikit-sikit keluar dewan... lebih baik jangan jadi ahli Parlimen kalau macam ni! Orang lain ramai lagi yang layak jadi Ahli Parlimen!

DS Najib Tiba DI Majlis Taklimat Presiden (Tertutup) Sempena Perhimpunan #PAUMNO

Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Razak, tiba di Majlis Taklimat Presiden (Tertutup) Sempena Perhimpunan.

Selanjutnya selepas ini...

Shamsul Dinobat Sebagai Juara Pidato Pemuda BN! #pidatopemudaBN

Cikgu Shamsul dari Negeri Johor hari ini di nobatkan sebagai Juara Pertandingan Pidato Pertandingan Pidato Politik Piala Perdana Menteri 2011.

Selanjutnya selepas ini...

Majlis Ramah Mesra Pemuda Mendapat Sambutan Padu! #PAUMNO

Gambar ini amat ditakuti oleh puak pembangkang kerana inilah perbezaan diantara sokongan diantara kesemua Ketua Pemuda Parti!

Jika dilihat pada gambar ini langsung tiada ruang kosong, kerusi terlebih dari ahli pergerakan.. Tidak bro! Tidak seperti sambutan hambar kongres PKR terdahulu!!

Seluruh perwakilan berkumpul di sini menyatakan sokongan padu kepada Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin.

Selanjutnya selepas ini...

Pertandingan Akhir Pidato Pemuda BN Penuh Debaran

Juri

Pertandingan Pidato Pertandingan Pidato Politik Piala Perdana Menteri 2011 sampai kemuncaknya apabila berlangsungnya peringkat akhir hari ini. 

Para peserta dilihat ada yang bersemangat dan penuh debar walaupun berjaya melangkah ke pentas akhir. Tidak di nafikan kesemua peserta peringkat akhir mempunyai bakat yang baik dan bakal mengongcang pentas politik tanah air.

Kehadiran barisan penal juri hari ini membuatkan para peserta bertambah gugup nampaknya.. Juri professional, terdiri daipada Khairy Jamaluddin Ketua Pemuda Umno, Datuk Saifuddin Abdullah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Pengacara, Datin Norjuma Habib.

Senarai peserta akhir
1) Azri Zahier Bin Azmi
2) Zairul Hisyam Bin Zainal
3) Azmi Bin Ismail
4)Amuutha Valli A/P Nadarajah
5)Jufazli Bin Shi Ahmad
6)Mohd Syamsul Bin Salleh
7)Mohammad firdaus Bin mohamad
8)Mohd Fadhuni Bin Abd Ghani
9)Anies Suzana Binti Ahmad
10)Tai Zee How
11)Muhammad Faiz Bin Hashim
12) Chua Hock Kuan

Pertandingan akhir berlansung di Tanjung Lounge, Riverside Restaurant PWTC, bermula dari jam 9.00 pagi tadi. Juga terdapat cabutan bertuah kali ini, hadiah istimewa menanti penonton adalah Galaxy Tab!

Kandungan Blackberry Messenger (BBM) : Khairul Fahmi (Apex) Cabar Kemukan Bukti Yang Kukuh!


Pada pendapat aku Shida ni yang terhegeh-hegeh kat apex! hidung tak mancung pipi tersorong-sorong! dah tu langsung tak de maruah sanggup hantar gambar mereka kepada media untuk mencari publisiti murahan! dah tu pakai baju tak cukup kain, sampai nampak lurah buah dada! memalukan umat saja!

Penjaga gawang gol skuad Harimau Muda, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apex hari ini mencabar mana-mana pihak yang menyebarkan kandungan Blackberry Messenger (BBM) yang memburuk-burukkannya agar tampil membuktikan kebenaran mereka.

Apex yang dihubungi oleh sebuah lama blog hiburan terkenal, Oh! Bulan, lewat tengahari tadi berkata, memang benar beliau mengenali Shida Harmi, namun perkenalan dan hubungan antara mereka tidak lebih dari sekadar kawan biasa.

“Andai kata dakwaan tersebut adalah betul, sila tampil ke hadapan dan tunjukkan bukti kukuh,” tegas Khairul Fahmi.

“Saya memang mengenali Shida Harmi. Dia bukannya skandal seperti yang diperkatakan oleh orang lain, sebaliknya dia hanya kawan biasa.

“Saya mengenali Shida sekitar awal tahun ini, kalau tak silap bulan March. Ketika itu, saya masih belum bertunang lagi. Gambar itu pula diambil semasa kami karaoke,” jelas Apex panjang lebar kepada blog hiburan tersebut.

Apex melahirkan rasa kesalnya dengan cubaan pihak-pihak tertentu yang cuba mencalarkan reputasinya ketika dirinya cuba memberikan fokus 100 peratus terhadap latihan dan perlawanan skuad bimbingan Ong Kim Swee itu yang akan datang.

“Saya kesal apabila diri ini kerap dikaitkan dengan pelbagai kontroversi yang tidak henti-henti. Sesetengah orang di luar sana tidak henti-henti mencari kesalahan saya.

“Kalau cerita seperti ini keluar, memang tak menang tangan saya nak jawab panggilan telefon. Apa pun, saya perlu fokus kepada perlawanan akan datang. Game makin dekat ni!,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut hairan tentang bagaimana gambar-gambar tersebut boleh jatuh ke tangan media dan yakin bahawa ia bukanlah dihantar oleh Shida Harmi sendiri.

“Saya tak pasti macam mana gambar ini boleh sampai ke pihak media. Tapi, saya tak rasa Shida sengaja buat macam ni, nak syak sesiapa pun tak boleh. Saya perlu hubungi dia terlebih dahulu sebab nak siasat dengan lebih jelas,” katanya lagi kepada laman web yang sama.

Walaupun dihimpit pelbagai kontroversi yang tidak enak didengar, Apex tetap menjanjikan persembahan yang terbaik di setiap perlawanan agar semangat Harimau Muda sentiasa tersemat di kalangan peminat bola sepak tanahair.

Berita terdahulu: Khairul Fahmi (Apex) Diugut Dedah Aksi Ranjang

Media Diminta Patuhi Etika Dalam Perhimpunan Agung UMNO #PAUMNO


KUALA LUMPUR, 22 Nov – Petugas media yang akan mula berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 diminta untuk mematuhi etika kewartawanan dalam membuat liputan sepanjang persidangan tersebut.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mahukan para wartawan bertanggungjawab dan menunjukkan tahap profesionalisme dalam membuat laporan.

“Untuk perhimpunan agung ini saya merayu kepada saudara-saudara kalau ada perkara-perkara yang dibangkitkan bersifat rasis tidak perlulah dilaporkan. Ini bukannya bermakna kita mahu menyekat tetapi adakalanya pembahas terlupa dan laporan tersebut akan menyinggung perasaan; ini adalah untuk mengelakkan perkara-perkara yang boleh mengguris perasaan orang lain,” katanya.



Terang beliau, sebelum ini Perhimpunan Agung UMNO pernah disiarkan secara langsung tetapi ia menimbulkan masalah kerana tidak semua pihak dapat menerimanya.

“Kita tahu apa yang berlaku dan semua pihak berhak bercakap tentang kepentingan bangsa atau kaum masing-masing tetapi apa yang penting adalah semasa penggulungan oleh Presiden sendiri,” katanya.

Jelas beliau, realitinya parti-parti politik di Malaysia adalah berasaskan kaum jadi kewibawaan wartawan dalam membuat liputan penting bagi menghasilkan berita yang boleh membawa perpaduan dan kebaikan.

“Biarpun kita berasaskan perkauman dalam parti politik tapi Barisan Nasional adalah parti terbaik kerana semua keputusan dibuat bersama malah sejak pilihan raya pertama tahun 1955 sampai hari ini tak ada mana-mana anggota kompenan pernah gunakan lambang masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung bermula 29 November ini hingga 3 Disember depan.

Dilaporkan sebanyak 83 buah agensi media, dengan 74 tempatan dan 9 agensi antarabangsa yang melibatkan seramai 1,540 wartawan telah berdaftar ke Perhimpunan Agung UMNO 2011.

Berikut adalah Etika Media Sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011

ETIKA SEMASA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2011

1. Perhimpunan Agung UMNO 2011 akan berlangsung mulai 29 November 2011 sehingga 3 Disember 2011 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

2. Sehubungan itu, pihak tuan diingatkan untuk mematuhi peraturan – peraturan membuat liputan serta kod etika berpakaian semasa majlis tersebut, sepertimana berikut :-

2.1 Ketika lagu Negaraku dinyanyikan, petugas media tidak dibenarkan melakukan sebarang pergerakan sebagai menghormati lagu kebangsaan kita.

2.2 Pergerakan petugas media perlu tertib agar tidak menganggu perjalanan Perhimpunan Agung UMNO.

2.3 Petugas media tidak dibenarkan menghalang pandangan dan membelakangkan pentas Ahli Majlis Tertinggi, kawasan tetamu khas dan para perwakilan.

2.4 Petugas media yang terlibat dalam persiapan pemasangan kamera dan peralatan teknikal di dalam dewan – dewan persidangan (Dewan Merdeka / Dewan Tun Dr. Ismail / Dewan Tun Hussein Onn) dan bilik sidang media hendaklah dibuat sebelum ketibaan VIP atau sebelum majlis bermula untuk proses jaringan keselamatan oleh pihak keselamatan.

2.5 Hanya petugas media (wartawan) yang memakai tag nama khas yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat UMNO sahajadibenarkan membuat liputan di dalam dewan–dewan persidangan (Dewan Merdeka / Dewan Tun Dr. Ismail / Dewan Tun Hussein Onn) sepanjang Perhimpunan Agung UMNO.

2.6 Hanya petugas media (jurufoto / jurukamera / krew) yang dibekalkan bip khas (warna biru) yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat UMNO sahaja yang dibenarkan membuat liputan di dalam Dewan Merdeka sepanjang Perhimpunan Agung UMNO.

2.7 Manakala petugas media (jurufoto / jurukamera / krew) yang dibekalkan bip khas (warna merah) hanya dibenarkan membuat liputan di luar Dewan Merdeka sepanjang Perhimpunan Agung UMNO serta sewaktu Majlis Perasmian dan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO (Dewan Merdeka / Dewan Tun Dr. Ismail / Dewan Tun Hussein Onn).

2.8 Ketika Majlis Taklimat Presiden (Majlis tertutup) semua petugas media (jurufoto / jurukamera) hanya dibenarkan membuat ‘photo opps’ untuk lima minit pertama di dalam dewan Merdeka dan selepas itu, semua petugas media tidak dibenarkan sama sekali berada di dalam dewan tersebut.

2.9 Hanya petugas media yang memakai tag nama khas yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat UMNO sahaja dibenarkan memasuki dan menggunakan kemudahan yang disediakan di dalam pusat Media (Bilik Mawar).

2.10 Kod etika berpakaian

Lelaki : Baju kemeja
Baju batik lengan panjang
Baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok
Berseluar panjang (slack)
Berkasut kulit

Tidak dibenarkan: Baju T
Kemeja tanpa kolar / berlengan pendek
Seluar jeans
Seluar pendek
Pakaian ketat dan kurang sopan
Selipar / kasut sukan

Wanita : Baju kurung atau kebaya labuh
Blouse berlengan panjang
Skirt panjang (di bawah paras lutut)
Sari berlengan dan pakaian kebangsaan kaum-kaum lain
Berseluar slack panjang
Lain-lain pakaian yang kemas dan sopan

Tidak dibenarkan : Baju T
Baju tanpa lengan
Seluar jeans
Seluar pendek
Pakaian ketat dan menjolok mata
Selipar / kasut sukan

Nota : Hanya Baju T berkolar yang mempunyai logo agensi atau media terbabit sahaja dibenarkan

3. Kegagalan mana-mana petugas media mematuhi peraturan-peraturan membuat liputan serta kod etika berpakaian yang ditetapkan akan menyebabkan mereka tidak dibenarkan membuat liputan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO. -umno-online

Kongres PKR Di Sabotaj! Banyak Kerusi Dari Ahli PKR



Ahli PKR yang tak sampai 2000 yang hadir di Kongres PKR


Sambutan hambar ketika Kongres PKR baru-baru ini... lebih banyak kerusi dari ahli PKR, sewaktu amanat penutup Punahsihat parti PKR... Jelas membuktikan Ahli PKR sudah meluat dengan pembohongan Anwar Ibrahim...


Walaupun wakil dari Seluruh Malaysia termasuk sabah dan sarawak,tetapi masih kelihatan masih ada banyak kerusi kosong.

Mungkin juga kerana tersebarnya video seks Anwar menyebabkan ramai yang boikot kongres tersebut!



Kehadiran yang menghampakan buat Saifuddin meroyan sakan dalam ucapannya dan siapakah agaknya wakil rakyat PKR tak hadiri yang di maksudkan itu?

Terdahulu, setiausaha agung Saifuddin Nasution dalam ucapannya dengan berang menempelak wakil rakyat tertentu parti itu yang tidak dapat menghadirkan diri ke program berkenaan.

"Saya kecil hati sebab ada wakil rakyat yang tak dapat datang. Kita tak boleh jadi wakil rakyat, ahli parlimen atau apa sekalipun tanpa platform parti.

"Ada 365 hari setahun, bloklah tiga hari untuk kongres. Apa alasan tak dapat datang? Tak ada duit?

"Kalau PKR nak mulakan budaya baru, mulakan sekarang. Tak ada tempat untuk oportunis dalam parti," katanya lagi.

Anwar is DEAD!!

Monday, November 28, 2011

Khairul Fahmi (Apex) Diugut Dedah Aksi Ranjang


Setelah pulang terjulang sebagai wira negara membantu skuad Harimau Muda membaham Garuda di bumi sendiri, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apex terus menjadi buruan gadis, tidak terkecuali yang seorang artis baru, Shida Harmi.

Dalam perkembangan terbaru penjaga gawang gol Harimau Muda ini, blog hiburan terkenal tanahair, Rotikaya.com menyiarkan beberapa keping gambar yang menunjukkan keintiman antara Apex dan Shida Harmi yang dikirim oleh seseorang yang dipercayai rakan rapat artis itu atau Shida Harmi sendiri.

“Kami amat pasti penghantar e-mail yang kami (dan beberapa rakan media lain) terima ini merupakan kenalan rapat atau mungkin Shida Harmi sendiri,” kata pemilik laman web tersebut.

Menghangatkan lagi kontroversi, Rotikaya.com juga menyiarkan dua paparan ‘screenshot’ Blackberry Messenger (BBM) yang dirujuk kepada perbualan antara Apex dan Shida Harmi di mana terkandung unsur

pertengkaran dan ugutan.


Dalam perbualan di BBM tersebut, Shida seolah-olah cuba mengugut Apex untuk mendedahkan kepada umum kononnya mereka pernah tidur bersama.

“Klu I nk sebar kan dri dlu lah cik fahmiiiii.. Pk la skik.. Sb kan u dh wat palat gini, kutuk2 I sume, Cite psl u? Cite psl pe? Bukan I cite btul ke? Yg u cakap I dok meroyan tergile2 kan u nape? U nak i tunjuk bukti yg pena tdo dgn u? I got all d prove..dun u eva play wit me,” kata Shida, merujuk kepada BBM tersebut.

Blog hiburan itu juga percayai bahawa gambar dan perbualan BBM antara Apex – Shida Harmi itu berlaku pada sekitar Ogos 2011, ketika kisah tentang pertunangan Apex dan bekas tunangnya, Elia, sedang sebok diperkatakan ramai.

Khairul Fahmi putus tunang dengan Elia dan kemudiannya digosipkan menjalin hubungan mesra dengan seorang artis, Dahlia Teck, selain dikaitkan dengan watak sampingan, Shida Harmi.

Apex juga telah dilanda kontroversi apabila pihak tertentu telah mengirimkan beberapa keping gambar beliau dan beberapa gadis-gadis seksi ketika menyambut hari lahir Dahlia Teck di sebuah restoran eksklusif di Bukit Bintang di sini sejurus sebelum berlepas ke Jakarta bagi menghadapi kejohanan Sukan Sea di Jakarta.

Berikut adalah beberapa keping gambar Apex dan Shida Harmi yang tersiar di laman blog Rotikaya.com hari ini.





-Mynewshub.my