Thursday, August 18, 2011

Khairy : Ambil Tindakan Ke Atas Pas


Ibu pejabat UMNO digesa mengambil tindakan undang-undang terhadap Pas sekiranya mereka gagal membuktikan pembabitan UMNO dalam pemeriksaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini.

Ketua Pergerakan Pemudanya, Khairy Jamaluddin berkata, tuduhan yang dilemparkan Pas bahawa UMNO mencampuri urusan JAIS adalah serius dan tindakan undang-undang wajar diambil selepas tamat tempoh tiga hari seperti yang ditetapkan UMNO Selangor.

Tegas beliau, JAIS adalah merupakan agensi di bawah kerajaan negeri yang menguruskan hal ehwal agama dan ia bukan di bawah bidang Kerajaan Persekutuan.

''Oleh itu, kita perlu membawa kes ini ke mahkamah supaya tidak ada lagi tuduhan yang tidak berasas dengan menuding jari kepada UMNO khasnya daripada Pas yang kerap menuduh tanpa sebarang bukti," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali hari ini ketika dipetik dalam laman portal pembangkang, The Malaysia Insider menegaskan, beliau tidak akan meminta maaf kepada UMNO berhubung dakwaannya bahawa ada campur tangan parti Melayu terbesar itu dalam pemeriksaan JAIS ke atas sebuah gereja baru-baru ini.

Khairy dalam pada itu menyifatkan Pas sebagai dayus kerana gagal menangani isu JAIS dan gereja dan pada masa sama, gagal mendesak kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin.

Katanya, Pemuda UMNO tetap dengan pendirian supaya laporan JAIS itu perlu diumum secepat mungkin tanpa menunggu selepas Hari Raya Aidilfitri.

kerana ia telah menimbulkan kemarahan bukan sahaja dalam kalangan penganut Islam malah Kristian.

''Oleh kerana kedayusan Pas ini, mereka cuba mencari kambing hitam lain dengan menuduh UMNO tanpa bukti.

''Namun, kita tahu pada hari ini yang tidak cekap ialah kerajaan PKR Selangor dan yang dayus kerana tidak berani mendesak penyelesaian segera kes ini merupakan Pas, dipercayai disebabkan mereka 'takut' dengan parti lain dalam gabungannya.

''Tidak perlu tunggu selepas Aidilfitri kerana saya difahamkan laporan itu telah siap dan kegagalan kerajaan negeri berbuat demikian hanya akan mengakibatkan polemik antara umat Islam dan Kristian," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

Buln puasa pun puak PAS nk tabur fitnah! Teruknya... Inikah ajaran islam pas?