POLITIK HARIAN: Pemuda Bincang Isu Transformasi Politik, PRU Pada Perhimpunan Agung Umno #BNPilihanOrangMuda

Thursday, November 24, 2011

Pemuda Bincang Isu Transformasi Politik, PRU Pada Perhimpunan Agung Umno #BNPilihanOrangMuda



Pergerakan Pemuda Umno akan membincangkan isu berkaitan transformasi politik dan persiapan menghadapi pilihan raya umum pada Perhimpunan Agung Umno 2011 yang akan bermula Selasa depan, kata ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin.

"Semangat kita tinggi untuk membincangkan dua isu tersebut pada perhimpunan nanti," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Pemuda Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari Khamis.

Khairy berkata rakyat seharusnya lebih menghayati dan menyokong transformasi politik yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia merangkumi langkah-langkah yang boleh mengukuhkan lagi demokrasi negara.

Beliau berkata Pemuda BN membuat ketetapan menyokong konsep 'calon boleh menang' yang ditekankan oleh Perdana Menteri.



"Kita juga harap konsep ini diterima oleh semua dan tidak ada mana-mana pihak yang akan pertikaikan pemilihan calon oleh kepimpinan parti komponen dan juga pengerusi BN sendiri," katanya.

Khairy juga menyambut baik pindaan terhadap Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi membolehkan mahasiswa berumur 21 tahun ke atas menyertai parti politik.

"Ini salah satu permintaan Pemuda di mana satu kebebasan politik diberikan kepada mahasiswa. Saya gembira kerana hala tuju yang dibawa selama ini sudah nampak hasil apabila program transformasi politik itu selari dengan generasi muda dan tuntutan zaman," katanya.

Sementara itu, Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN turut mengumumkan slogan rasmi Pemuda - 'BN Pilihan Orang Muda' bagi pilihan raya akan datang.

"Kita cari slogan yang segar bagi menghormati kebebasan dan hak yang ada pada orang muda untuk pilih kerajaan akan datang," katanya.

-Bernama

1 comment:

abu idris said...

arrayah.info - Tanggungjawab Berdakwah, Pelajar Perlu Masuk Parti Politik Islam