Saturday, January 28, 2012

Pemuda UMNO Selar Anwar Sokong Zionis


Pemuda Umno hari ini menyelar Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan “rejim zionis Israel” selepas ketua pembangkang itu dikatakan menyokong semua usaha melindungi keselamatan Israel.

Pengerusi Biro Antarabangsa dan Aman Pemuda Umno Datuk Ahmad Zaki berkata rakyat Palestin yang harus diberikan perlindungan, dipertahankan dan disalurkan bantuan kemanusiaan selepas dizalimi Israel.

Beliau berkata kenyataan Anwar menunjukkan sikap menyokong dan mengampu “rakan-rakan tertentu” beliau yang kebanyakan daripada mereka berdiri teguh di belakang rejim Zionis.

Anwar dalam temubual dengar Wall Street Journal baru-baru ini berkata beliau menyokong “semua usaha untuk melindungi Israel”, kenyataan itu turut disiarkan dalam media arus perdana yang dikuasai Umno.

Tetapi akhbar perniagaan antarabangsa itu menulis bahawa Anwar hanya akan membuka hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu jikalau ia menghormati aspirasi rakyat Palestin.

“Adakah PKR kini bersetuju dan menyokong serangan ke atas Gaza selama ini, atas dasar menjaga keselamatan Israel?” tambah Ahmad Zaki.

Malaysia secara konsisten menolak untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel walaupun hubungan komersial wujud antara syarikat-syarikat swasta di dua negara itu.

Permusuhan Israel dengan negara Islam di Timur Tengah merupakan isu utama bagi majoriti Melayu Islam di Malaysia.

No comments: