Tuesday, January 17, 2012

2 Ugutan Pelajar USM Serius, Motif Hasut! Bom Helikopter DS Najib


Penuntut tahun empat Universiti Sains Malaysia (USM) yang ditahan kerana menulis kenyataan berbaur ugutan di laman sosial ‘Facebook’, disiasat secara menyeluruh membabitkan setiap aspek.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, siasatan dilakukan kerana polis beranggapan kenyataan penuntut itu adalah serius berikutan mengandungi motif menghasut serta menimbulkan kemarahan pihak lain.

“Pelajar tahun empat pengajian kejuruteraan universiti itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) semalam (Ahad).

"Siasatan dilakukan seluruh aspek memandangkan pengetahuan kejuruteraan serta rangkaian hubungan pelajar itu perlu dinilai bagi memastikan keseriusan motif kenyataan itu dilakukan," katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang semalam.

Menurutnya, walaupun penuntut itu mengakui tindakan mengemas kini status di laman Facebook miliknya itu hanya gurauan, namun polis tidak boleh mengambil mudah isu berkenaan kerana ia melibatkan pemimpin negara, yang sekali gus mampu boleh menyebabkan suasana porak peranda.

Bagaimanapun dia dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkannya mengambil peperiksaan akhir semester yang sedang berlangsung.

“Kita menyiasat kes ini di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu untuk mengenal pasti tujuan pelajar terbabit berbuat demikian, sama ada benar gurauan ataupun tidak.

"Kes ini akan disiasat di bawah seksyen ini sehingga kita dapat penemuan hasil siasatan. Jadi setakat ini kita benarkan dia menghadiri peperiksaan pada hari ini (semalam) dengan jaminan polis. Kita juga tidak mahu mengganggu dia mengambil peperiksaan,” katanya.

Ayub berkata, penuntut itu akan disiasat jika diperlukan selepas tempoh satu bulan dan akan dipanggil untuk membantu siasatan pada bila-bila masa jika polis memerlukannya.

Beliau turut mengesahkan tiga laporan polis dibuat terhadap penuntut itu berkaitan kenyataannya itu.

“Pengguna laman sesawang dan sosial dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya mengemas kini dengan maklumat berbaur ugutan atas alasan bergurau kerana ia boleh mengakibatkan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang sekiranya didapati mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Penuntut USM kampus kejuruteraan di Nibong Tebal ditahan polis semalam untuk diambil keterangan berhubung tindakannya membuat kenyataan berunsur ugutan menerusi laman sosial Facebook.

Dalam statusnya itu, penuntut berusia 24 tahun mengajak pihak lain meletakkan bom pada helikopter yang akan dinaiki Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatannya ke kampus itu minggu depan.

Antara yang ditulis penuntut itu ialah "Najib datang ke kampus... mari bom helikopter beliau."

Sementara itu, Naib Canselor USM, Datuk Dr Omar Osman dalam kenyataannya berkata, USM memandang serius kes pelajar yang meletakkan kenyataan tidak sewajarnya yang boleh mengancam keselamatan dalam media sosialnya.

“USM menghargai tindakan pihak berkuasa dan akan bekerjasama serta menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang negara. USM tidak akan berkompromi dengan perbuatan seperti ini.

“Pelajar, warga universiti dan semua pihak dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati serta sedar implikasi terhadap apa yang diletakkan di dalam media sosial apatah lagi apabila ia boleh mengancam keselamatan individu, masyarakat dan negara walau atas apa alasan sekali pun,” katanya.-Sinar Harian

2 comments:

Anonymous said...

Patut tak payah bagi jaminan polis biar dia miss satu semester baru dia sedar jangan buat main-main hal berhubung dengan pemimpin negara... buat pengajaran bagi semua. dia tu budak universiti tahun 4 bukan takde otak punya budak. takan benda macam nie dia tak tahu boleh main main boleh gurau-gurau ker tidak? apa dia ingat unit UTK dok ikut PM kehulu kehilir tu saja seronok2 ker? Jangan lah PDRM pun bermain politik nak jaga hati ker apa ker...kalau mahasiswa cakap kasi lepas.. cuba kaki busuk cakap, bouncer club cakap sure kena duduk atas ais oooo.... Esok semua cakap bila kantoi..oh saya gurau jer encik polis..maafkan saya yer.. kena speed trap maaf encik gurauan jer....

Anonymous said...

belajor dah tahap u. tapi bodoh tahap international. xtau bezakan antara gurauan dgn serius. budak camni nak kena tindakan tatatertib..

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates