Thursday, February 9, 2012

0 Air Free ? Kerajaan Pakatan Selangor Tipu


Kerajaan negeri Selangor janganlah berbangga dengan pemberian 20 meterpadu air percuma sejak kira-kira 40 bulan mereka memerintah Selangor sebaliknya menunaikan janji agar semua rakyat Selangor menikmati pemberian air percuma ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kassim berkata Menteri Besar dan kerajaan negeri jangan terlupa pengguna dengan kod 17 bagi kondominium berjumlah 765 blok dan kod 18 rumah pangsa dengan jumlah 643 rumah pangsa seluruh Selangor yang menggunakan meter pukal.

“Berdasarkan rekod jika semua kod 17 dan 18 ini berhijrah ke meter individu, akan ada pertambahan 350,000 akaun baru. Jika sebelum ini, Menteri Besar menyatakan bahawa seluruh rakyat Selangor menerima pemberian air percuma, bagaimana pula dengan 1.4 juta rakyat Selangor yang tinggal di rumah pangsa dan kondominium ini.

“Ini bermakna kerajaan Selangor berhutang dengan rakyat Selangor yang tidak mendapat kupon air percuma (meter pukal) adalah RM167,580,000 (dengan anggaran 350,000 x RM11.40 x 42 bulan). Saya difahamkan setakat ini hanya 35,000 orang sahaja yang mendapat kupon ini sedangkan 1.4 juta penduduk tidak dapat nikmat air percuma ini,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO Selangor sebentar tadi.

Tambahnya, ini merupakan satu penganiayaan kerajaan pakatan kepada rakyat.

“Mereka hanya pandai berjanji sebaliknya gagal dalam menunaikan janji-janji mereka, akhirnya rakyat yang menderita”, katanya.

Dalam masa yang sama, kajian Kerajaan Persekutuan menunjukkan Lembah Klang akan mengalami krisis air yang serius menjelang tahun 2014.

Masalah kekurangan bekalan air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka berlaku dengan kelewatan penyiapan Loji Air Langat 2.

“Data di Selangor menunjukkan sejak 2005, penggunaan air oleh rakyat Selangor meningkat sebanyak 3.5 peratus dan dijangka, kadar ini akan bertambah setiap tahun dengan pertambahan bilangan penduduk, industri dan lain-lain. Kita yakin dengan pembinaan Loji Langat 2 ini akan dapat menambah kapasiti bekalan air bersih sebanyak 1130 JLH dan dapat menampung bekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kita perlu sedar, pembinaan Loji Langat 2 amat diperlukan bagi mengelakkan Loji Rawatan Air Sungai Langat dan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih beroperasi melebihi waktu dan terdedah kepada kerosakan loji,” ujarnya yang juga ADUN BN yang memantau isu air Selangor.

Sehubungan dengan itu, tegas beliau langkah menghalang pembinaan bagi rawatan di Hulu Langat ada kaitan dengan politik.

“Politik penindasan yang sewewang-wewangnya memperjudikan kebajikan rakyat Selangor. Hakikatnya, mereka (pakatan pembangkang) mengamalkan politik didahulukan, rakyat di kesampingan projek negeri untuk kroni”, jelas beliau.-Media Umno

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates