Friday, February 10, 2012

Pemuda Umno Selangor Mahu Polis Siasat Kes Pasir


Pemuda Umno Selangor hari ini mahu polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan laporan penulis blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin berhubung penglibatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam skandal perlombongan pasir.

Ketua Pemuda Umno Selangor Ungku Mohd Salleh Ungku Abdul Jamal dalam laporan polisnya berkata, di dalam blog tersebut terdapat pendedahan penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam Selangor oleh dua Adun, yang merujuk kepada Adun Batu Caves Amiruddin Shari dan Adun Sri Muda Shuhaimi Shafiei.

Katanya, isu ini harus dipandang serius memandangkan terdapat unsur jenayah rasuah dan berharap kes ini dapat disiasat secepat mungkin.

“Tujuan laporan polis ini dibuat untuk memastikan tindakan serta siasatan rapi dilakukan oleh pihak polis terhadap kesahihan artikel

ini,” katanya dalam satu laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam di sini petang tadi.
Semantara laporan kepada SPRM akan dikemukakan pihaknya Isnin ini.

Raja Petra dalam blognya semalam mendakwa Adun PKR Shuhaimi dan Amiruddin terbabit dalam rasuah untuk meraih kontrak industri pasir di Selangor.

Beliau mendakwa mempunyai rakaman telefon Shuhaimi yang meminta RM50,000 daripada seorang ahli peniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai SC, selain mendedahkan bukti Shuhaimi dan Amiruddin yang menggunakan kuasa sebagai ahli lembaga pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh SC untuk mendapat kontrak melombong pasir.

Walau bagaimanapun, Shuhaimi dan Amiruddin dalam sidang media pagi tadi menafikan penglibatan mereka termasuk Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dalam skandal itu dan menganggap Raja Petra cuba untuk memfitnah mereka.

‘Siasat semula kes Patrick Wong’

Sementara itu, Ungku Mohd Salleh yang ditemui pemberita diluar IPD Shah Alam berkata pihaknya turut menggesa polis menyiasat semula motif kematian ahli perniagaan Datuk Patrick Wong Kie Yik sama ada kemungkinan ia terlibat dengan kes pembunuhan.

Raja Petra dalam blognya juga mendakwa kematian bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia itu mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan pasir membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor.

Katanya, ia berdasarkan pertemuan antara beliau dengan mendiang di United Kingdom pada Oktober 2009 atau sebulan sebelum kejadian itu, di mana Patrick telah berjanji untuk mengumpul maklumat mengenai penyelewengan pasir.

Jelas Raja Petra, beliau percaya tiga perompak bersenjata parang yang memecah masuk rumah mendiang di Bukit Bandaraya, Bangsar, adalah pembunuh yang diupah oleh pihak yang terbabit dalam penyelewengan pasir kerana bimbang isu rasuah tersebut didedahkan Patrick.

Dalam kejadian pada 19 November 2009, Patrick, 57, yang ketika itu berada dalam bilik komputer dilaporkan maut apabila terjatuh daripada balkoni, ketika cuba menyelamatkan diri selepas panik melihat dua daripada tiga perompak menyerbu tingkat atas rumahnya.

Bagaimanapun, anak perempuan dan lelaki Patrick yang masing-masing berusia 18 dan 25 tahun serta pembantu rumah tidak diapa-apakan, sebaliknya perompak hanya melarikan dompet mangsa berisi USD300 (RM1,018) dan telefon bimbit milik anak perempuan mendiang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar hari ini meminta Raja Petra mengemukakan bukti dakwaannya bagi membantu polis kerana siasatan pihaknya setakat ini tidak menunjukkan sebarang kaitan pembunuhan itu dengan isu pasir.-FMT

No comments: