Monday, October 8, 2012

0 Anak VIP Ditahan Dalam Satu Pesta Seks Dan Dadah Di Selangor


Tujuh pelajar kolej swasta adalah antara 32 orang yang ditahan dalam satu pesta seks dan dadah di sebuah rumah kedai di Jalan SS21/39, Damansara.

Lebih mengejutkan dalam serbuan pada pukul 3 pagi itu, kesemua yang ditahan iaitu 27 lelaki dan lima wanita adalah berketurunan Melayu dan dipercayai turut membabitkan beberapa anak orang kenamaan (VIP).

Mereka yang berusia antara 19 dan 26 tahun itu dipercayai menyewa premis di tingkat tiga bangunan yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari Balai Polis Damansara dengan bayaran RM500 semalam.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Petaling Jaya bersama anggota dari Balai Polis Damansara dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya diketuai Asisten Supritendan Mohd. Nazri Daud.

Polis bertindak membuat intipan dan serbuan di premis tersebut setelah menerima aduan orang awam yang curiga dengan aktiviti dijalankan kerana sering mendapati individu menaiki kereta mewah berkunjung ke situ pada waktu malam dan pulang pada sebelah pagi.

Mereka juga curiga kerana mendengar muzik kuat dimainkan dalam premis tersebut, manakala cermin tingkap ditutup dengan kertas minyak bagi mengelak ia dapat dilihat dari luar.

Mohd. Nazri berkata, setelah membuat intipan selama tiga hari, polis akhirnya bertindak menyerbu premis itu pada pukul 3 pagi ini.

"Kami terpaksa memecah jeriji pintu kerana ia berkunci sebelum boleh masuk ke dalam premis membuat pemeriksaan.

"Sebaik sahaja dapat masuk, kami dapati 27 lelaki dan lima perempuan Melayu berusia 19 hingga 26 tahun dalam keadaan khayal," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam premis juga menemukan dua set peralatan muzik, kondom yang sudah digunakan dan dadah jenis ketamin.

Mohd. Nazri berkata, siasatan lanjut mendapati tujuh daripada remaja yang ditahan merupakan pelajar kolej swasta, manakala 16 orang iaitu 14 lelaki dan dua wanita positif mengambil dadah jenis amphetamine dan THC.

Katanya, premis berkenaan sudah dua bulan digunakan untuk penganjuran aktiviti muzik, pesta seks dan dadah dengan mengenakan bayaran sewa RM500 semalam.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kami menemui 25 biji pil ekstasi seberat 10 gram dalam sebuah kereta Perodua Myvi dan 250 pil Eramin 5 serta 90 biji lagi pil ekstasi dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung yang ditahan memberitahu, dia bersama rakan-rakan mengetahui mengenai pesta diadakan di premis itu melalui laman sosial Facebook.

"Kami mengetahui mengenai pesta ini melalui Facebook 'sehari bersama kawan-kawan'. Kami dikehendaki membayar RM55 seorang kepada penganjur untuk menyertai pesta yang biasanya bermula pukul 8 malam hingga 8 pagi," katanya.

Difahamkan, premis berkenaan digunakan untuk penganjuran pesta muzik, seks dan dadah sebanyak dua hingga tiga kali seminggu dan pengunjung pulang pada pukul 8 pagi iaitu waktu orang ramai keluar bekerja bagi mengelak aktiviti tersebut dikesan.

Sumber: Utusan

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates