Tuesday, October 9, 2012

Kerjasama PAS-DAP Bercanggah Dengan Kehendak Islam


Perjuangan politik PAS kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata Sasterawan Negara Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.

Beliau berkata apa yang dilakukan oleh PAS sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana PAS sepatutnya memimpin dalam memperjuang Islam.

Shahnon yang juga anggota PAS seumur hidup berkata adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama PAS dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.

"Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan PAS," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Beliau yang juga bekas anggota Parlimen Sik berkata dasar PAS sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP.

DAP sebelum ini telah menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini seperti yang dimahukan PAS. Shahnon yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik bukanlah seperti kerjasama PAS dan DAP sekarang kerana ketika itu Islam yang memerintah dan memimpin kaum-kaum berkenaan.

Terdahulu itu, beliau menghadiri perasmian pameran 'Shahnon Ahmad dalam Media, Persidangan Kebangsaan Shahnon Ahmad dalam Sastera, Budaya, Media' dan pelancaran buku serta prototaip e-novel "Mahabbah" di Universiti Sains Malaysia di sini.

Menyentuh e-novel 'Mahabbah', Shahnon berkata ia mengenai perjuangan seorang tua yang sudah tidak mempunyai kuasa tetapi ada hati yang kuat untuk menyatu padukan orang Melayu menerusi doanya kepada Allah.

Katanya e-novel itu turut melambangkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum tetapi bersatu walaupun masing-masing berpegang kepada cara tersendiri untuk hidup damai dan harmoni. -Bernama

1 comment:

Zalee said...

Klau nk bersatu padu tk payah sertai UMNO.Apa dh lupa bila Madey melarang Ku Li dn pengikut2ny menyrtai UMNO.Dh tk ingat apa kata Hishamudin slps DSAI kluar penjara.Org Melayu berpecah belah ada lh cerita UMNO utk menakut kn org2 melayu.Mereka lbh suka rakyat br pcah blah krn snang mereka me laga2kn.Itu cara UMNO nk hidup.