Sunday, January 27, 2013

1 1000 Penduduk Berdemo Dihadapan Pejabat Ronnie Liu Tuntut Tunaikan Janji Potongan Cukai Pintu

Hampir 1,000 penduduk di Pandamaran di sini menuntut kerajaan negeri Selangor menunaikan janji untuk melaksanakan pengurangan 20 peratus cukai pintu rumah kediaman dan harta komersil sebanyak 10 peratus seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

Ketua Pemuda MCA Klang, Datuk Ching Eu Boon berkata desakan itu dibuat melalui borang tuntutan yang telah diedarkan di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lepas.

Beliau berkata dalam tempoh dua hari ini, pasukannya yang terdiri daripada beberapa anggota parti dan sukarelawan telah mendaftarkan hampir 1,000 nama penduduk yang masih belum menerima 'imbuhan' itu.

"Kami berjanji akan membawa semua tuntutan yang tidak dipenuhi oleh kerajaan Selangor ke mahkamah. Kami pada masa ini menumpukan untuk mendaftar nama penduduk yang tidak mendapat sebarang potongan dalam cukai pintu mereka dan ibu tunggal yang masih tidak mendapat elaun mereka.

"Kami harap dapat merekodkan sekurang-kurangnya 5,000 penduduk (di Pandamaran) kerana tanpa bukti, perkara ini tidak boleh dibawa ke mahkamah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kira-kira 300 penduduk Pandamaran turut mengadakan demonstrasi aman di lokasi berhampiran pejabat Exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu yang terletak di situ.

Ching berkata kumpulan penduduk itu akan diwakili oleh peguam Kamarudin Ahmad yang menawarkan khidmatnya secara percuma.

Beliau berkata sudah sampai masanya rakyat memilih parti yang tepat untuk mentadbir Selangor berikutan tindakan kerajaan negeri yang didakwa memperdayakan rakyat untuk meraih undi daripada mereka.

"Barisan Nasional (BN) tidak sewenang-wenangnya membuat janji yang tidak boleh ditunaikan tetapi apabila kami memberi (janji) ia akan dilaksanakan, tidak seperti Pakatan Rakyat dan Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) yang mendakwa manifesto mereka bukan satu perjanjian," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pandan Perdana di sini, Lim Ah Cai menyifatkan kerajaan negeri sebagai pemerintah yang tidak berperikemanusiaan kerana hanya tahu menabur janji.

"Mereka ini mulut sangat manis. Sewaktu pilihan raya umum lepas, macam-macam mereka janji, tetapi apa yang terlaksana, satu pun tiada. Saya berharap kerajaan BN berjaya membantu kita dan kembali memerintah Selangor. Apa yang penting kita mesti tolak pakatan (pembangkang)," katanya.

-Bernama

1 comments:

Daengselili said...

Mohon pautkan saya disini, saya sedia pautkan blog tuan/encik/cik di

http://daengselili.blogspot.com/

♥ Daengselili

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates