Wednesday, January 30, 2013
Pemecatan Ustaz Nasha Untuk Alih Isu Kalimah Allah
Pemecatan YB Ustaz Nasharudin Mat Isa oleh Majlis Syura Ulama PAS dibuat pada 13 Januari yang lalu. Berita mengenai pemecatan hanya diumumkan oleh Setiausaha Majlis Syura, Ustaz Nik Zawawi beberapa hari yang lalu. Terdapat jarak masa yang agak panjang di antara keputusan yang dibuat dengan tarikh pengisytiharan yang dibuat. Jarak masa yang agak panjang ini menyebabkan berbagai-bagai spekulasi boleh dibuat.
Bagi saya pengumuman tentang pemecatan itu bertepatan dengan tarikh Lawatan Kemanusiaan YAB Perdana Menteri dengan Ustaz Nasharudin yang menjadi salah seorang ahli rombongan mempunyai muslihat tersendiri.
Antaranya ialah untuk mengalihkan pandangan umum dan persepsi masyarakat mengenai isu Kalimah Allah yang masih terawang-awang dan belum ada jalan keluarnya di pihak Pakatan.
Di satu pihak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP Karpal Singh cuba mengekalkan keputusan Majlis Presiden Pakatan pada 8 Januari yang membenarkan penggunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam, sementara di pihak Majlis Syura Ulama PAS dengan sokongan padu oleh kumpulan ulama PAS tidak berganjak menolak penggunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam seperti yang diputuskan dalam mesyuarat 13 Januari. Pertembungan yang nyata di antara keputusan Pakatan Rakyat dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS itu begitu merisaukan pimpinan tertinggi Pakatan.
Sementara itu ahli dan penyokong PAS di peringkat akar umbi kini mendesak supaya keputusan muktamad dibuat oleh Pakatan Rakyat. Kegagalan mengemukakan satu jawapan yang decisive akan mengakibatkan bencana terhadap Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 nanti.
Sebagai langkah “damage control” pemecatan Ustaz Nasharudin terpaksa digunakan sebagai isu yang akan mengalihkan perhatian rakyat dan ahli parti diperingkat akar umbi yang kini berkobar-kobar untuk melihat isu aqidah yang boleh membawa kepada syirik dan kekufuran ini diberikan penegasan dan keputusan.
YB Dato Dr Hasan Mohamed Ali
29 Januari 2013
Labels:
Hasan Ali,
Nasharudin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment