Tuesday, January 29, 2013

Singkir Nasha Umpama Tolak Undi Melayu


Penyingkiran Nasharudin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama PAS bakal mengundang kemerosotan pengundi Melayu kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) nanti, kata Pengerusi Sekretariat Ilmuan Malaysia (ILMU) Dr Fadlan Mohd Othman.

Beliau membayangkan sebahagian besar penyokong Nasharudin akan terus mempertahankan tindakan berani tokoh yang dihormati itu dalam mengingatkan PAS kembali kepada asas perjuangan parti.

"Bagi saya Ustaz Nasharudin mempunyai keperibadian yang hebat, maksudnya tokoh yang hebat.

"Jadi tokoh yang hebat ini kalau digugurkan, sebenarnya merupakan satu kerugian yang besar kepada PAS. Walaupun saya orang luar bukan dari PAS, saya tidak boleh bagi tunjuk ajar tetapi saya rasa ini adalah satu keputusan yang kurang bijak dibuat apatah lagi penyokongnya pun akan ikuti Ustaz Nasharudin tambahan lagi apa yang dibuat oleh Ustaz Nasharudin mempunyai alasan yang kukuh." katanya kepada Antarapos.

Fadlan berkata sepanjang perkenalannya dengan Ahli Parlimen Bachok itu, beliau tidak pernah nampak perkara sangsi yang dibuat oleh Nasharudin dalam usaha untuk menyatupadukan kaum majoriti dalam negara iaitu Melayu.

"Kesayangannya (Nasharudin) terhadap PAS dalam erti kata mahu PAS kekal pada landasan yang asal.

"Jadi merujuk kepada pengguguran beliau daripada Majlis Syura, saya rasa ini adalah satu perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku dan buat kerana Ustaz Nasharudin ini adalah seorang yang benar-benar nampak keikhlasannya untuk menyatupadukan dua kumpulan Melayu (Umno-PAS) bersatu," katanya.

Malah beliau berkata mungkin keikhlasan Nasharudin telah disalahertikan oleh pihak yang mempunyai kepentingan peribadi sehingga mempengaruhi tindakan untuk menyingkir bekas Timbalan Presiden PAS itu dari Majlis Syura.

"Walaupun dia daripada PAS tetapi dia sanggup pergi ke Umno dan berbincang dan kebanyakan apa yang dibuatnya mungkin bertepatan dengan garis panduan yang dibuat tetapi mungkin terdapat individu dari parti yang tersalah diberi nasihat oleh orang-orang di sekeliling mereka," tambahnya.

Penyingkiran Nasharuddin ikut prosedur?

Malah beliau menyifatkan PAS akan menjadi contoh parti yang tidak bertanggungjawab sekiranya menyingkirkan Nasharudin daripada Majlis Syura PAS tanpa mengikut prosedur yang betul.

"Saya tidak pasti apakah proses yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS untuk menggugurkan Ustaz Nasharudin. Kalau Ustaz Nasharudin dipanggil memberi amaran dan sebagainya, saya rasa itu tidak ada masalah. Jadi kalau ada amaran dan sebagainya dulu itu perlu didahulukan.

"Tetapi kalau tindakan itu dibuat tanpa memberikan amaran kepada tuan badan, tidak diberikan peluang untuk menjelaskan, saya rasa itu adalah perkara yang tidak patutlah," katanya.

Untuk rekod, keanggotaan Nasharudin dalam Majlis Syura Ulama PAS telah digugurkan pada 13 Januari lalu.

Perkara ini ditegaskan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Nik Muhammad Zawawi Saleh.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali memaklumkan bahawa pemecatan Nasharudin ekoran 'kerap tidak hadir ke mesyuarat' dan 'mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian parti'.

Nasharudin sebelum ini juga telah beberapa kali menyertai rombongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk misi kemanusiaan luar negara dan pertemuan dengan pemimpin negara Arab yang mencetuskan rasa tidak senang dikalangan ahli PAS.

Menurut sumber dalaman PAS sebelum ini dipetik sebagai berkata, ada ura-ura untuk "menendang" keluar Nasharudin dari PAS sepertimana yang dilakukan terhadap bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Hasan Ali tahun lalu.

Tindakan PAS menyingkirkan Nasharudin ini turut dilihat sebagai cara untuk mengurangkan respon negatif dalaman yang sering dikaitkan dengan keputusan bersama rakan komponen Pakatan Rakyat, DAP dan PKR.

-AntaraPos

2 comments:

lijitra said...

awat dia seorang saja ka calon melayu.calon melayu lain yg lebih baik dari dia pun ramai lagi la.blogger ni memang ngok.

maie1958 said...

ini melayu pembelot dan dah mula seronok berkawan dengan lanun2 melayu pemalas berlagak nabi....lebih baik suruh dia terjun klcc dari terus membodohkan melayu islam!!!!!!