Thursday, January 31, 2013

Zaid Ibrahim Bersara Sepenuhnya Dari Politik


Bekas Presiden Kita, Datuk Zaid Ibrahim seperti dilaporkan FMT telah membuat keputusan untuk bersara dari dunia politik dan kembali ke dunia perniagaan.

“Ya, saya berundur dari politik untuk fokus terhadap perniagaan. Tetapi saya akan terus menulis, saya akan terus beri idea dan cadangan tentang politik,” katanya kepada FMT semalam.

Pada November tahun lalu, Zaid memberitahu pemberita bahawa beliau sanggup bertanding di bawah tiket pakatan pembankang di mana-mana kerusi kawasan bandar, namun kini beliau telah berubah pendirian dengan menyatakan tidak berminat untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ditanya lanjut apakah kini beliau akan terus menyokong Pakatan Rakyat atau sudah beralih kepada Barisan Nasional (BN), beliau menjawab: “Saya akan menyokong sesiapa yang melakukan perkara betul untuk negaranya”

Zaid yang sebelum ini memiliki firma guaman terbesar di Malaysia telah meninggalkan firma guamannya untuk menjadi menteri pada zaman pemerintahan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun jangka hayat politiknya tidak panjang kerana selepas seketika beliau meletakkan jawatan dalam kabinet dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta bertanding mewakili parti itu dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor pada tahun 2010 tetapi tewas.

Zaid kemudiannya mencetuskan kontroversi di dalam PKR apabila beliau membuat keputusan untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden menentang Azmin Ali.

Beliau bagaimanapun membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding dengan alasan ia adalah satu pertandingan yang tidak adil dan penuh dengan manipulasi.

Beliau kemudiannya meletakkan semua jawatan dalam PKR dan mengambil alih kepimpinan Parti Kesejahteraan Rakyat (KITA).

Jangka hayat politikknya dalam KITA ternyata tidak lama apabila berlaku perselisihan faham antara beliau dengan beberapa orang pemimpin negeri.

Beliau akhirnya mengumumkan perletakan jawatannya sebagai presiden tetapi kekal sebagai ahli biasa.

Dan hari ini, beliau memutuskan untuk bersara sepenuhnya dari politik.

No comments: