Sunday, February 24, 2013

Datum Jelatek: Penduduk Akan Hantar Memorandum


KUALA LUMPUR: Kira-kira 500 penduduk menyertai perhimpunan secara aman bagi membantah projek kondominium mewah Datum Jelatek bernilai RM1.2 bilion yang dijadual siap pada tahun 2016.

Menurut Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek Salleh Samad demonstrasi bertujuan menolak projek ini daripada diteruskan oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di atas tanah yang pernah didiami oleh orang Melayu.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang dalam proses mengumpul tandatangan penduduk kawasan itu untuk menghantar memorandum kepada kerajaan negeri Selangor sehingga projek tersebut dihentikan dengan kadar segera.

"Langkah seterusnya kita akan menghantar memorandum, sekarang ni kita sudah mula ambil tandatangan penduduk. Kita akan hantar kepada pihak PKNS, MPAJ, kerajaan negeri, dan juga tuanku Sultan Selangor."

Selain itu juga Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) yang diwakili oleh Datuk Shohaimi Shahdan juga akan turut membantu badan bertindak ini dalam menyampaikan maklumat sebenar kepada penduduk.

"Kita di pihak GPRS akan edar risalah-risalah tentang maklumat sebenar Datum ini dan pembongkaran apa yang berlaku kepada penduduk taman Keramat ini," ujar beliau dalam sidang media selepas sesi bantahan di sini hari ini.

Datum Jelatek sebelum ini diuar-uarkan sebagai projek pembangunan semula kawasan perumahan kos rendah di Jalan Jelatek, selepas kesemua penduduk yang rata-ratanya orang Melayu telah dipindahkan dengan memberi pampasan yang kecil.

Namun kini difahamkan projek tersebut "bertukar" menjadi cadangan pembinaan empat bangunan eksklusif setinggi 45 tingkat yang merangkumi pejabat, hotel dan pusat membeli-belah yang disasarkan untuk golongan berpendapatan tinggi dan korporat.

Harga minima seunit rumah berkenaan bernilai RM700,000 dan ternyata ia tidak mampu dimiliki oleh penduduk kawasan tersebut.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu kenyataannya sebelum ini mempertahankan tindakan pihaknya menjual kondominium mewah pada harga tinggi sebagai keperluan untuk menarik pelabur asing.

Beliau turut mengesahkan bahawa unit-unit kondominium dan ruang niaga di Datum Jelatek dibeli oleh pelabur Singapura.

"Semua orang nak bantah. Kalau nak buat cantik, nak beli murah, siapa nak buat?" kata beliau apabila ditanya pemberita tentang relevannya pembinaan kondominium berkenaan di kawasan kepadatan penduduk terdiri dari kaum Melayu.

Sementara itu Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin memberitahu pihaknya akan membantu Badan Bertindak Datum Jelatek dengan menyediakan perkhidmatan guaman untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang.

"Saya punya pandangan dari sudut undang-undang, kita mahukan laporan EIA dibuat. Laporan EIA ni berkenaan alam sekitar yang melibatkan penduduk.

"Saya difahamkan apabila projek ini dibangunkan, kiri kanan kondominium ini akan dibina jalan empat laluan dan tentunya rumah teres berdekatan tapak ini akan dirobohkan.

"Dari segi kaveat, saya punya pandangan bahawa penduduk sekitar mempunyai kepentingan dan saya fikir mereka boleh masukkan kaveat. Bukan sahaja kaveat tetapi kita boleh masukkan injuksi. Saya juga akan berunding dengan Salleh untuk kita melantik mana-mana syarikat guaman mewakili badan bertindak ini," ujar beliau.

Antara badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat yang turut serta dalam Bantahan Projek Datum Jelatek hari ini adalah Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) dan Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo.

AntaraPos

No comments: