Friday, February 1, 2013

0 Puluhan Laporan Polis Terhadap Guan Eng, Kenapa Ibrahim Ali Jadi Sasaran


Saya ingin membuat sedikit ulasan terhadap gesaan mantan Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman supaya segera mengambil tindakan dibawah Akta Hasutan berhubung dengan kenyataan berbentuk ugutan Dato Ibrahim Ali, Presiden Perkasa terhadap Bible versi Melayu yang menggunakan Kalimah Allah.

Saya menghormati pandangan mantan peguam negara tersebut tetapi mempunyai pandangan yang sikit berbeza dalam hal ini. Pertama, kenyataan Dato Ibrahim Ali hendaklah dilihat dalam konteks yang luas dan lebih dalam. Luas ertinya mencakupi 28 juta rakyat Malaysia dan 2 billion penduduk dunia beragama Islam. Sementara kedalaman impak isu ini merujuk kepada persoalan aqidah yang berhubung langsung dengan masalah ketuhanan umat Islam. Seperti yang diketahui atas nama keagungan Allah dan kehebatan Islam manusia Muslim sanggup melakukan apa saja hatta mengorbankan nyawa mereka.

Meletakkan kedua-dua luas dan dalamnya isu ini sudah tentu tidak semudah itu bagi kita untuk mencadangkan sesuatu tindakan seperti yang dicadangkan oleh Yang Arif Tan Sri Abu Talib itu. Dato Ibrahim Ali mempunyai sebab tersendiri berbuat demikian. Umat Islam di Malaysia pula termasuk penduduk Muslim dunia pun mempunyai sebab tersendiri untuk mengambil sesuatu tindakan atas nama kesucian Islam hingga sanggup menjadikan nyawa mereka sebagai galangannya.

Bagi saya mencadangkan tindakan dibawah Akta Hasutan terhadap Dato Ibrahim Ali adalah sesuatu yang secondary sifatnya. Yang primarynya ialah punca dan pencetus kepada isu Kalimah Allah terbaru hingga memungkinkan Dato Ibrahim Ali menyatakan bisikan keimanannya terhadap Allah dan Islam yang dicintainya. Yang primarynya juga ialah Bible versi bahasa Melayu yang menggunakan Kalimah Allah yang sudah dicetak dan diedarkan termasuk kepada orang-orang Islam di negara kita. Apakah kita boleh menutup mata kepada sumber yang menjadikan isu ini terus membara atau adakah kita sebagai seorang Muslim dan Mukmin sanggup melihat agama kita diinjak-injak dan pegangan agama generasi Muslim pengganti nanti diselimuti dengan kekeliruan aqidah.

Seperti yang dilaporkan, puluhan laporan polis telah dibuat ke atas Lim Guan Eng. Tetapi kenapa dan mengapa hanya Ibrahim Ali dijadikan sasaran.

Inilah di antara persoalan yang perlu direnungkan. Mencadangkan tindakan tegas terhadap Dato Ibrahim Ali mungkin mudah tetapi mengawal anasir-anasir pencemar aqidah yang terus bertali arus, gigih, istiqamah dan mempunyai rangkaian antarabangsa yang serba canggih tidak semudah seperti mengenakan tindakan kepada Dato Ibrahim Ali.

Fikir-fikirlah.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI KL
1 Februari 2013

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates