Friday, March 22, 2013

0 Nasib MB Selangor Yang Suka Tampil Solo

KERAJAAN Selangor menjaga kebajikan anda sehingga akhir hayat - begitu bunyi promosi di papan iklan di Persiaran Sukan, di jalan strategik di persekitaran Stadium Shah Alam ini. Dalam papan iklan itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditampilkan dengan imej mesra, penyayang dan prihatin sedang dikerumuni oleh sekumpulan kanak-kanak.

Bulan lalu di papan iklan yang sama, Abdul Khalid yang juga tampil solo dengan berbaju Melayu cuba digambarkan sebagai seorang pemimpin yang peka dengan kebajikan rakyat. Dalam iklan itu, disenaraikan lapan program pujaan kerajaan negeri. Menurut iklan itu, lebih 4 juta rakyat Selangor mendapat manfaat termasuk program ikonik mereka iaitu bekalan air percuma yang melibatkan peruntukan RM477 juta.

Abdul Khalid, dengan stail pemerintahan beliau yang tersendiri selalu ditampilkan secara solo. Begitu juga dalam banner ucapan terima kasih yang satu masa dipasang di merata-rata lokasi di Shah Alam hanya menampilkan gambar Khalid tersenyum.

Memang Khalid mahu digambarkan sebagai seorang pentadbir yang berjaya. Citra seperti itu penting bagi memberi gambaran PKR sebagai pengemudi pakatan pembangkang mampu ke Putrajaya. PKR mahu digambarkan sebagai parti yang tidak kering pemimpin berkaliber.

Sejak kebelakangan ini dan menjelang pilihan raya umum, Abdul Khalid memang dilihat tambah agresif mahu ditampilkan secara solo sebagai seorang Menteri Besar yang berjaya. Mungkin dalam aspek lain dan sebagai satu strategi, beliau tahu hanya itulah modal utama untuk meraih undi rakyat terutama pengundi di DUN Ijok.


Kerana ketidaktentuan nasib beliau di Ijok, Abdul Khalid sendiri disebut-sebut akan 'diselamatkan' ke DUN lain. Selain Bukit Melawati yang juga masih di kawasan Parlimen Kuala Selangor, DUN yang dianggap selamat yang diincar ialah Bukit Lanjan (Elizabeth Wong) bahkan Bukit Antarabangsa yang kini disandang oleh pesaing beliau, Azmin Ali.

"Tapi masalah utamanya ialah tiada orang yang mahu memberikan tempat," kata seorang pemimpin PKR Kuala Selangor yang melihat Abdul Khalid gagal memainkan peranan sebagai seorang pemimpin parti.

Beliau yang masih tegar dengan perjuangan PKR meramalkan peluang Abdul Khalid di Ijok hanya 50:50. Pengaruh dan kuasa sebagai MB tidak memberikan beliau kelebihan untuk menawan hati masyarakat di Ijok. Kedudukan beliau dan aura seorang MB tidak dirasai oleh masyarakat Ijok.

"Orang Ijok lebih mengenalinya sebagai seorang Menteri Besar bukan ADUN. Beliau tak berapa perform sebagai wakil rakyat walaupun beliau seorang Menteri Besar," tambah pemimpin PKR itu yang memberi contoh antara kegagalan Abdul Khalid atau wakilnya ialah tidak hadir dalam majlis-majlis kenduri-kendara dan kematian penduduk.

Kegagalan paling ketara ialah peranannya sebagai pengemudi PKR cabang Kuala Selangor. Cabang Kuala Selangor tidak berfungsi dengan baik kerana diurus oleh orang-orang pilihan Abdul Khalid. Seperti Abdul Khalid, sebahagian besar orang-orang beliau adalah orang baharu, mengamalkan pentadbiran ala korporat dan tidak faham lenggok politik.

Mewakili

"Kalau ada program, ajak orang dia sahaja bukan orang parti. Dari segi jentera parti, memang tidak berfungsi. Mungkin beliau mahu mengharapkan jentera Pas, kalau begitu susahlah nak menang," dakwa pemimpin itu lagi yang menyifatkan dirinya mewakili suara akar umbi.

Alasannya, kebanyakan jentera parti PKR Ijok ialah orang India. Tidak banyak orang Melayu mahupun Cina di Ijok yang mahu menjadi aktivis PKR. Aktivis dari kaum India yang dominan menghidupkan jentera parti. Kumpulan inilah yang pada Pilihan Raya Umum 2008 bekerja siang dan malam mahu menumbangkan BN.

Kumpulan itu kini telah berpecah-pecah. Tambah merumitkan jentera Abdul Khalid nanti ialah jika BN menampilkan calon dari kaum India. DUN Ijok secara tradisinya memang dikhususkan kepada MIC. Penyelaras DUN Ijok sekarang ini juga adalah daripada MIC yang disebut-sebut bakal menjadi calon.

Mungkin sebab itu Abdul Khalid kini semakin kerap menggunakan kad muslihat yang ada pada seorang Menteri Besar iaitu kuasa meluluskan geran tanah. Lagipun masalah tanah adalah antara isu utama di kebanyakan kawasan di daerah Kuala Selangor, yang sebahagiannya pula melibatkan orang India.

Berulang kali Abdul Khalid menguar-uarkan kejayaannya menyelesaikan masalah kepemilikan tanah ini. Yang terakhir Selasa lalu (12 Mac) iaitu genap lima tahun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar. Apabila beliau mengumumkan lebih 10,000 masalah berhubung pemilikan tanah berjaya diselesaikan.

Tindakan Abdul Khalid menggunakan kad muslihat secara agresif ini membimbangkan jentera BN. Dalam fikiran jentera BN, pastilah pengundi India yang menjadi penentu kalah menang calon di DUN Ijok akan berpatah balik kepada pakatan pembangkang.

Tetapi realitinya tidak begitu. Benar, masalah dapat diselesaikan tetapi bukan semua kerana masalah kepemilikan tanah di Kuala Selangor begitu kompleks. Selain ada kumpulan penduduk yang permohonan belum diluluskan, banyak yang tidak berpuas hati walaupun geran sudah dalam tangan mereka.

Contohnya kumpulan yang memohon sekian hektar tanah tetapi yang diluluskan lebih kecil kerana masalah teknikal. Ini belum lagi permohonan penduduk lain yang juga merasakan permohonan mereka berhak dilayani segera.

Jadi dalam keadaan sekarang, Abdul Khalid tidaklah dalam kedudukan selamat walaupun telah menggunakan kuasanya selaku Menteri Besar.

Dalam pada itu jentera BN khususnya UMNO yang telah melalui pengalaman getir kini lebih agresif menggempur kawasan-kawasan kelabu seperti di Ijok ini. Walaupun gerakan BN disifatkan belum maksimum tetapi telah memeningkan jentera Abdul Khalid.

'Ya, memang kita nampak ada perubahan cara orang UMNO dan BN bekerja. Saya rasa jika mereka terus bekerja keras menggempur kawasan-kawasan tertentu, kita akan menghadapi cabaran berat," kata seorang pemimpin PKR tempatan.

Realitinya Abdul Khalid tidak mempunyai banyak pilihan. Satu-satunya tapak politik yang beliau ada ialah di Ijok. Mahu tidak mahu, kerjaya politik beliau akan dipertaruhkan di situ.

Dalam masa sama, PKR dan pakatan pembangkang juga menghadapi dilema. Jika berpindah ke kawasan lain akan dianggap pengecut. Jika tetap bertahan di Ijok dan kalah bermakna kehebatan beliau sebagai seorang Menteri Besar yang dibangga-banggakan itu tidak ada ertinya. Bayangkan pula citra yang terpaksa ditanggung jika seorang MB, orang terbaik dalam kalangan mereka kecundang di lubuknya sendiri.


-Utusan

0 comments:

 

POLITIK HARIAN Copyright © 2013 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates