Tuesday, December 27, 2011

Bongkar Perbualan Mustafa Ali Berhubung Pertemuan Dengan Pemimpin UMNO !


Berikut merupakan perbualan yang sempat dikongsi wartawan Agendadaily Roslan Bian bersama Setiausaha Agung PAS berhubung isu pertemuan Mustafa dengan Pemimpin UMNO untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menghubungi saya selepas dua jam Datuk Dr Hasan Ali adakan sidang media di rumahnya di Kuala Lumpur jam 11 pagi, Sabtu lalu.

Mustafa atau Cikgu Pa bertanya, Datuk Hasan ada buat PC ke, apa dia cerita?

Saya ketawa sambil beritahu Cikgu Pa,“Itulah Datuk, saya dah cakap hari itu, Datuk tuduh Datuk Hasan jumpa orang kat Le Meridian Hotel, sekarang Datuk Hasan pula cakap Datuk yang beria-ia nak jumpa orang UMNO,”.

Saya dengar suara Cikgu Pa ketawa.

“Sekarang, Datuk Hasan pulang paku buah keras pada Datuk, Datuk nak jawab lagi ke, kata tak nak panjang-panjangkan lagi,” pancing saya.

Cikgu Pa berselang-seli ketawa kerana ‘terkena’ lagi dengan saya selepas sidang medianya pada Khamis.

“Tak da la Lan, saya tak jawab dah la,” ujar Cikgu Pa.

Jika benar Cikgu Pa sudah tutup mulut fasal dakwaan Dr Hasan, bermakna episod kontroversi bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu dengan PAS Pusat khususnya Cikgu Pa, akan berakhir begitu saja.

Isu yang mengejutkan ahli dan penyokong PAS itu akan jadi ibarat lagu Datuk Siti Nurhaliza..."Biarlah rahsia"

Sama ada benar atau tidak Cikgu Pa memang nak jumpa orang UMNO, kini hanya beliau dan Dr Hasan yang tahu.

Sebenarnya, Cikgu Pa sudah tersilap apabila membangkitkan tuduhan pertemuan Dr Hasan, bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dengan tiga orang lain di hotel berkenaan pada bulan puasa lalu.

Ini kerana dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat PAS minggu lalu, Cikgu Pa cakap, dia sedia tutup mulut kalau Dr Hasan juga tutup mulut ekoran isu kononnya ADUN Gombak Setia itu tidak cukup undian untuk dicalonkan bertanding dalam PRU ke 13 nanti.

Dalam sidang media itu, saya bertanya Cikgu Pa kenapa dia bangkitkan dakwaan itu sedangkan hasratnya mahu kontroversi babitkan Dr Hasan dengan PAS dihentikan.

“Ini macam tikus baiki labu,” kata saya.

Menariknya, Cikgu Pa terhenti dan berfikir selepas mendengar hujah saya itu.

Merasakan dirinya ‘terkena’, Cikgu Pa berseloroh dan minta isu pertemuan Dr Hasan yang didedahkannya ditarik balik.

“Saya ikut kata Lan..hari ini dia jadi penasihat saya,” ujar Cikgu Pa seloroh tetapi nampak beliau mula kesal dengan dakwaan yang dibangkitkan itu.

Bagaimanapun, seorang wartawan lain mengeluh dan minta apa didedahkan Cikgu Pa pasal pertemuan itu jangan ditarik balik.

“Saya dah flash,” kata saya menyebabkan Cikgu Pa mula ‘pening’.

Akhirnya beliau serahkan kepada wartawan yang hadir sama ada mahu menyiarkan berita itu atau sebaliknya.

Kesannya, apabila berita itu disiarkan, Dr Hasan pula buka pekung dengan dakwaan bahawa Cikgu Pa yang nak berjumpa pemimpin tertinggi UMNO.

Dan setakat ini, Cikgu Pa terus membisu pasal dakwaan itu.

Barangkali, beliau berfikir apa yang saya kata pada sidang medianya sebelum itu memang betul.

Justeru, terserah pada Cikgu Pa mahu menjelaskan apa didakwa Dr Hasan atau beliau berdiam saja kerana kalau beliau terus menjawab, perangnya dengan Dr Hasan, mungkin lambat selesai.

Namun, perkara yang menarik untuk diteliti berhubung isu ini, apakah kesan penentangan Exco Selangor itu terhadap PAS.

Agendadaily difahamkan, PAS sebenarnya semakin tersepit kerana sudah kehilangan sokongan orang Melayu yang kecewa melihat parti itu bersekongkol dan menurut telunjuk DAP dan PKR.

Sebab itu, Dr Hasan perlu jadi pelakon utama dengan memperjuangkan Islam, Melayu dan Institusi Raja-Raja bagi menarik semula sokongan rakyat terhadap PAS.

Apapun, melihat perbalahan Dr Hasan, Mustafa dan beberapa pemimpin PAS lain dalam isu itu termasuk kecaman Dr Hasan terhadap Harakah, seolah-olah tindak tanduk Dr Hasan sebagai signal penentangan golongan ulama dalam PAS terhadap golongan yang lebih mengutamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gologan profesional ini dikatakan sudah meluat dengan Dr Hasan yang jadi duri dalam daging PAS.

Sedangkan, ada pemimpin ulama PAS bertanya Agendadaily, itu kata mereka tetapi siapa sebenarnya duri dalam daging PAS, Dr Hasan atau geng Anwarinas?

Beliau beri contoh, geng Erdogan@Anwarinas inilah yang banyak komen pasal Dr Hasan.

Mereka yang pandai-pandai cakap Dr Hasan tak cukup pencalonan, tak boleh bertanding sedangkan Majlis Syura dan PAS Pusat belum bersuara.

Pemimpin tadi setuju laporan Agendadaily sebelum ini bahawa golongan ini sudah jadi macam main enjit-enjit semut..siapa sakit naik atas.

“Mereka ini naik atas buat komen itu ini...malah saya dapat tahu mereka juga set kalau boleh Dr Hasan dipecat dari PAS kerana menolak konsep Negara Berkebajikan, tetapi anak Nik Aziz, Nik Abduh pertahan Dr Hasan habis-habisan,” kata pemimpin tadi.

Katanya, terpulang masyarakat memikirkan apa sebenarnya punca kemelut dalam PAS ketika ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan golongan yang enjit-enjit semut ini, mungkin tidak tersenarai lagi pada pilihanraya umum akan datang.

“Tetapi saya tak hairan, kalau PAS tak calonkan, PKR boleh terima mereka,” ujarnya sinis. -Agendadaily

No comments: