Friday, December 30, 2011

Zalim ! Dua Beradik Dirantai Di Tandas, Dibiar Lapar


Apalah salahnya anak-anak ini? Seharusnya bapa lah yang jaga anak beri makan minum anak, bukan layan anak macam binatang.

Kenapa lah si bapa begitu kejam melakukan penderaan kepada anak-anak ini... bayangkan sekiranya perkara buruk berlaku, mungkin anak-anak ini akan mati dalam keadaan yang terseksa... singkatnya akal fikiran sibapa...

BUTTERWORTH - Tindakan pantas seorang jiran melaporkan kepada polis selepas mendengar tangisan kanak-kanak meminta makanan berjaya menyelamatkan dua beradik daripada terus menjadi mangsa dera bapa mereka di Taman Mawar, Jalan Raja Uda di sini kelmarin.

Sebaik ditemui dua beradik itu, kakak berusia 6 tahun dan adik lelakinya berumur 2 tahun berada dalam keadaan lemah kerana seharian tidak menjamah makanan.


Lebih malang, kaki masing-masing mengalami kecederaan akibat dirantai dalam tempoh yang lama di dalam bilik air rumah kedai setingkat yang didiami bersama bapa berusia 40-an, seorang buruh di taman berkenaan.

Siasatan polis dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara (SPU) yang bergegas menyelamatkan dua beradik berkenaan mendapati mereka telah diperlakukan sedemikian rupa hampir sebulan lalu oleh bapa mereka setiap kali dia keluar bekerja.

Manakala ibu mereka seorang warga negara Thailand dikatakan telah menghilang diri sebaik berpisah dengan bapa mereka awal November lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengadu memaklumkan dia mendengar tangisan anak jirannya itu sejak jam 6 petang kelmarin.

“Pengadu memaklumkan dia terdengar suara meminta tolong dari dua beradik terbabit yang kadang kala diselang seli dengan tangisan mengadu kelaparan.

“Namun pengadu tidak dapat membantu mereka kerana rumah itu dikunci dari luar serta dua beradik terbabit tidak dapat bergerak kerana dirantai,” katanya.

Menurutnya, polis terpaksa memecah masuk ke dalam rumah berkenaan sebelum menyelamatkan dua beradik berkenaan termasuk memotong mangga dan rantai yang mengikat kaki dua beradik malang itu.

“Dua beradik itu terpaksa duduk di atas kerusi plastik kerana bapa mereka menggunakan mangga bagi memastikan dua anaknya tidak dapat melepaskan diri.

“Selepas dibebaskan, dua beradik berkenaan dihantar mendapatkan rawatan ke Hospital Seberang Jaya dan kini berada di bawah jagaan JKM SPU,” katanya.

Menurutnya, bapa dua beradik itu kemudiannya ditahan pada jam 8.45 malam kelmarin sebaik dia sampai di rumahnya dan perintah tahanan reman telah dikenakan selama empat hari ke atasnya untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak.

Sementara itu Pengarah JKM Pulau Pinang, Zulkifli Ismail yang dihubungi berkata, pihaknya perlu menunggu keputusan laporan perubatan dari hospital terlebih dahulu sama ada dua beradik berkenaan didera atau diabaikan.

“Sepanjang proses siasatan yang dijalankan oleh pihak polis, kanak-kanak itu akan berada di bawah seliaan pihak kita sehingga ditemui waris terdekat untuk diserahkan.

“Keputusan menempatkan mereka di rumah perlindungan hanya akan dibuat selepas semua proses itu dilalui atau mereka tidak mempunyai waris untuk dipelihara,” katanya. -Sinar Harian

No comments: