Friday, January 11, 2013

#KL112 : Lokasi Yang Tidak Lojik


Pelik memang pelik apabila pembangkang yang riuh pukul canang konon satu juta orang akan hadir perhimpunan mereka Sabtu ini memilih Stadium Merdeka.

Lojik akal akan berkata kalau betul angka itu sudah semestinya Stadium Bukit Jalil lebih sesuai berbanding Stadium Merdeka yang hanya mampu memuatkan 30,000 orang.

(Baca lagi Klik TAJUK ENTRI)


Bayangkan senario di pusat bandaraya jika orang seramai itu melimpah dan mencetuskan kesesakan teruk.

Mungkin mereka mengambil sikap peduli apa orang lain susah...asal matlamat mereka tercapai.

Memetik kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein  Stadium Bukit Jalil lebih "sesuai dan selamat" serta "tidak menyusahkan rakyat".

UMNO sendiri pernah mengadakan perhimpunan besar di Stadium Bukit Jalil tidak lama dulu. Segalanya berlangsung lancar dan teratur tanpa menyusahkan sesiapa.

Bagi Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Salleh, Stadium Bukit Jalil lebih sesuai dan selesa memandangkan ia mampu menampung kapasiti yang lebih besar dengan kemudahan pengangkutan awam termasuk LRT serta memenuhi keperluan dari aspek keselamatan.

Mohamad membuat saranan tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada jam 5 petang Khamis.

Namun lewat petang Khamis Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tetap berkeras mahukan Stadium Merdeka.

Terpulanglah kepada pembangkang stadium mana mahu digunakan kerana umum sudah tahu hasrat yang tersurat dan tersirat disebalik perhimpunan itu.

Semua helah pembangkang bukannya rahsia lagi atau ibarat bangkai gajah yang mustahil boleh ditutup dengan nyiru.

Berapa ramai mereka nak datang, datanglah.

Seronok juga nak tengok 100 ribu penyokong pembangkang dari Perak dan 5,000 anggota Unit Amal PAS yang digembar-gemburkan antara yang akan hadir petang Sabtu ini.

Ini juga bermakna warga kota, peniaga di ibu negara dan orang ramai yang kena berurusan di Kuala Lumpur Sabtu itu kena berdepan lagi karenah peserta yang menyertai perhimpunan tersebut.

Kali ini, pembangkang betul-betul diberikan LAMPU HIJAU oleh pihak berkuasa untuk menganjurkan perhimpunan itu.

Lagipun Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Parlimen tahun lalu membenarkan orang ramai mengadakan perhimpunan dengan peraturan lebih longgar.

Pihak penganjur telahpun mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berhubung syarat dan persediaan perhimpunan itu diadakan di Stadium Merdeka.

Polis juga meluluskan permohonan membenarkan peserta membawa sepanduk dan kain rentang.

Kedua-dua pihak juga bersetuju mematuhi 27 syarat mengikut akta itu.

Senang cakap, tiada apa perlu dirungut lagi oleh pembangkang atau NGO yang terbabit dengan perhimpunan itu.

Mereka sudah diberi ' permaidani merah'.Senang cakap mau apa lagi.

Portal Malaysiakini juga boleh menugaskan wartawan dan jurugambar kerana polis tetap membenarkan pihak itu membuat liputan tanpa pas khas dikeluarkan polis.

Tidak tahulah mengapa soal pas media pun boleh jadi isu sedangkan banyak acara lain termasuk muktamar atau mesyuarat parti pembangkang juga menetapkan kena pakai pas khas.

Bagaimanapun, disebalik keizinan perhimpunan itu, pembangkang kena bersedia berdepan tindakan jika peraturan di bawah akta Perhimpunan Aman 2011 gagal dipatuhi.

Walaupun polis memberi kebenaran dan pihak stadium juga tiada halangan, tidak bermakna pembangkang boleh lepas tangan jika ada insiden tidak diingini berlaku.

Dalam erti kata lain, berani buat, berani tanggung... –Agendadaily

No comments: