Tuesday, February 12, 2013

Hasan Ali - PAS Kini Berada Di Persimpangan…


Gesaan bekas Timbalan Presiden PAS, YB Ust Nasharudin Mat Isa baru-baru ini supaya PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dan terus berjuang bersendirian bukan perkara baru. Sebelum ini pun terutama selepas DAP menunjukkan belang sebenar mereka mengenai Islam telah menimbulkan berbagai reaksi terutamanya di kalangan ahli dan penyokong akar umbi PAS.

Rata-ratanya marah dan bosan dengan cara pimpipan PAS menangani tindakan-tindakan DAP yang tidak pernah bersetuju dengan apa sahaja tindakan PAS yang ada hubungkait dengan Islam. Bahkan lebih dari itu sebarang langkah yang di ambil oleh PAS hatta yang tidak secara langsung mempunyai gambaran atau warna-warna Islam pun ditentang habis-habisan oleh DAP.

Hampir dalam semua insiden PAS dilihat akur dan menyerah kalah hingga termasuk terpaksa mengorbankan dasar-dasar asasi perjuangan. Berbagai alasan diberi semata-mata untuk menjaga kesatuan komponen parti dalam Pakatan dalam mengejar cita-cita menawan Putrajaya.

Situasa yang ada sekarang menunjukkan PAS sedang berada di satu persimpangan “T”. PAS mesti memutar steering sama ada memutar ke kanan atau ke kiri. Memutar ke kanan ertinya balik kepangkal jalan menjunjung dasar perjuangan asal parti yang telah disuburkan buat sekian lamanya melalui taburan dan bajaan keringat, airmata dan darah. Membeluk ke kiri pula bermakna terus bersekongkol dengan petualang-petualang dan musuh-musuh Islam dan Bangsa Melayu.

PAS terus diperalatkan demi mencapai tujuan tersembunyi yang kini mula terserlah di kalangan pimpinan DAP dan PKR. Negara sekular republik dengan amalan fahaman liberalisme barat kemungkinan besar akan menjadi ideologi negara apabila mereka berjaya menguasai Putrajaya.

Ustaz Nasharudin dan pimpinan ulamak serta sebahagian pimpinan pemuda sememangnya memahami tektik DAP, PKR dan elemen parasit dalam PAS. Ahli dan penyokong bawahan yang selama ini merelakan diri mereka jatuh bangun bersama Parti Islam ini sedar apa yang sedang berlaku. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa lantaran pimpinan parti dikuasai oleh golongan parasit yang diketahui menjadi proksi kepada DAP dan PKR.

Pilihan yang ada yang masih terbuka luas kini ada di tangan mereka. Pertama, dari bawah mendesak pimpinan PAS mengambil langkah menyelamat parti dari terus menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR serta yang lebih penting menyelamatkan maruah Islam dan kesucian perjuangan dengan keluar dari Pakatan Rakyat.

Kedua, jika opsyen pertama gagal, ahli dan penyokong parti tidak mempunyai banyak pilihan melainkan tanpa ada syak dan ragu tidak memberi undi kepada mana-mana calon Pakatan Rakyat sebaliknya memilih calon-calon Islam Melayu yang benar-benar dapat memartabatkan Islam diluar daripada Pakatan Rakyat.

Di dalam kepala pengundi-pengundi Islam Melayu di negara ini perlu tertanam keyakinan dan semangat kental mempertahankan kuasa politik Islam Melayu sebagai penyelamat kepada survival Islam Melayu di bumi Malaysia ini.

Saya melihat saranan di atas mungkin lebih praktikal daripada apa yang pernah dikemukakan termasuk gesaan Ust Nasharudin yang terbaru itu.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, KL
11 Februari 2013

No comments: