Thursday, February 14, 2013

Pemuda UMNO Mahu Bela Nasib 240,000 Orang Muflis


Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sedang berusaha untuk mendapatkan ‘kelonggaran’ kepada 240,000 individu berstatus muflis dari pelbagai sektor di negara ini untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Sohaimi Shahadan menegaskan usaha itu perlu dilakukan kerana terdapat sebahagian besar yang diisytihar muflis adalah golongan muda berumur di bawah 40 tahun.

Sohaimi memberitahu sidang media di pejabatnya dekat Selayang petang Rabu, satu forum akan diadakan bagi mencari penyelesaian kepada isu tersebut.

Forum tersebut bertajuk Muflis@Bankrap Anda Masih Ada Peluang Kedua’ akan dijadikan platform kepada pihak terbabit mengupas masalah itu dan mencari satu formula terbaik untuk di bawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membawa perubahan kepada Akta Kebankrapan 1967.

Katanya, “forum itu dijangka akan mencapai satu kesepakatan mengenai bagaimana status muflis individu terbabit dan mencari jalan untuk memberi ‘kelonggaran’ menjalani kehidupan seperti biasa.”

Menurut Sohaimi, “forum ini akan diadakan pada 18 Februari ini di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), akan menghimpunkan beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan Bank Negara Malaysia serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO).”

Beliau yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia berkata, “berdasarkan maklumat yang dikumpul sejak 18 Disember lalu, terdapat lebih 1,000 maklumbalas termasuk pendapat serta pandangan berhubung isu berkenaan dan menerusi forum itu nanti, pelbagai persoalan mengenainya akan cuba diselesaikan.”

Katanya, “berdasarkan rekod, pihaknya mendapati, ramai yang bankrap disebabkan pinjaman sewa beli kenderaan iaitu sekitar 26 peratus, pinjaman perumahan (12 peratus),hutang (21 peratus), pinjaman persendirian (13 peratus) dan pinjaman perniagaan sebanyak 11 peratus.”

Pada forum tersebut beberapa orang panel yang arif mengenai isu ini dijemput untuk mengupas permasalah tersebut, antaranya Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan serta Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua, Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Sohaimi menyeru orangramai turut serta di dalam perbincangan forum dan memberikan pandangan kerana hasil maklumat akan dibawa kepada pengetahuan pihak berkuasa.

“Saya yakin, akta baru akan diperkenalkan dalam masa terdekat ini untuk lebih memberikan lebih ruang kepada orang bankrap mendapat peluang kedua,”  katanya.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya boleh melayari blog www.muflis-peluangkedua.blogspot.com atau facebook dan twitter Muflis Peluang Kedua atau menghubungi sekretariat di talian 017-7157171.

-Agendadaily

No comments: