Saturday, February 16, 2013

Sejarah Penyingkiran PAS Dari BN & Agenda Penyatuan Umat


Banyak versi yang diberitahu kepada rakyat oleh pimpinan PAS dan UMNO mengenai kerjasama PAS bersama Barisan Nasional hinggakan kedua-duanya menjalin kerjasama politik menghasilkan Kerajaan Campuran Perikatan dari tahun 1973 – 1978.

Isu ini kali terakhir disentuh oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed setelah isu ini ditimbulkan semula dengan versi yang berbeza. Pimpinan PAS mempunyai satu versi dan pimpinan UMNO pula mempunyai satu versi yang lain. Kedua-dua versi tersebut mempunyai perbezaan yang nyata. Dari sudut nadanya satu pihak menyalahkan satu pihak yang lain.

Isu ini perlu diberi perhatian istimewa khususnya mereka yang meminati perjalanan politik tanahair. Isu ini juga mempunyai pertalian langsung dengan masyarakat Melayu Islam kerana sejarah sama ada putih atau hitam yang telah terpahat mengenai kerjasama politik antara PAS dengan UMNO mempunyai implikasi yang sangat besar dan luas dalam konteks umat Melayu Islam di negara ini.

Pimpinan PAS memberitahu rakyat bahawa kerjasama yang terjalin yang disangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari itu adalah berpunca daripada UMNO/BN. UMNO melihat pimpinan PAS menggunakan sepenuhnya ruang dan peluang kerjasama tersebut untuk melebarkan sayap politiknya dan tidak banyak membantu membangun negara.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed memberi versi yang lebih detail dalamana PAS juga dikatakan ketika itu hilang kekuatan dan berada dalam keadaan terumbang-ambing hingga akhirnya berpecah sehingga wujudnya parti serpihan seperti Berjasa.

Kecelaruan pimpinan PAS yang sedemikian rupa ketika itu menyebabkan sukar bagi parti yang bergabung dengan UMNO itu untuk memberi perhatian kepada usaha membina negara. Sebaliknya pimpinan PAS ketika itu lebih banyak memberi tumpuan kepada hal-hal politik bagi menyelesaikan masalah dalam parti itu.

Antaranya termasuklah pertembungan dua pemimpin utama iaitu Dato Asri dan Dato Mohamad Nasir. Pertembungan tersebut akhirnya mengakibatkan kekalahan PAS dalam PRU ketika itu dan akhirnya untuk menyelamatkan keadaan perintah daururat terpaksa dikeluarkan di Kelantan.

Sementara pimpinan PAS terutamanya Mursyidul Amnya Dato Nik Aziz Nik Mat pula meletakkan sepenuh kesalahan keribaan UMNO dengan mengatakan bahawa UMNOlah yang bertanggungjawab menendang PAS keluar daripada Perikatan. Alasan PAS bahawa UMNO telah mengkhianati asas-asas perjanjian yang dipersetujui bersama sebelum kerjasama politik tersebut dapat direalisasikan.

Sehingga ini versi Tun Dr Mahathir kelihatan lebih menjurus kepada sebab musabab dan beliau telah memberikan sedikit perincian terhadap perpecahan politik itu. Di pihak PAS apa yang dinyatakan oleh Dato Nik Aziz dan oleh pimpinan yang lain sebelumnya nampak begitu longgar. Pimpinan PAS perlu mengemukakan butiran lanjut terhadap peristiwa tersebut bagi membolehkan rakyat biasa membuat penilaian masing-masing.

Adalah menjadi satu tanggungjawab moral bagi pimpinan tertinggi PAS menjelaskan perkara ini dengan memberikan fakta yang jelas dengan perincian kronologinya mengenai dakwaan PAS tentang penyingkiran tersebut.

Setakat yang saya dimaklumkan sebelum ini oleh beberapa pimpinan tertinggi PAS sendiri yang tidak pernah ditimbulkan secara terbuka, versi Tun Mahathir lebih menepati realiti yang berlaku ketika itu.

Sebaik sahaja PAS mengemukakan kronologi dan perincian insiden getir itu, dicadangkan supaya diadakan satu pasukan penilai untuk membuat penilaian kepada kesahihan fakta yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak PAS dan UMNO. Pasukan penilai tersebut mungkin boleh dianggotai oleh mereka yang berwibawa mewakili golongan cendikiawan, profesional, pakar sejarah, agamawan dan penganalisa politik. Pasukan penilai kemudiannya akan membentangkan episod sebenar kepada rakyat.

Fakta yang sahih amat diperlukan. Selama ini pimpinan PAS enggan menerima pelawaan UMNO untuk menjalin perpaduan mahupun untuk mewujudkan sebarang bentuk kerjasama politik kerana tidak mahu kononnya jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali setelah pernah dikhianat oleh UMNO. Atas sebab itulah PAS selamanya menganggap UMNO sebagai parti yang tidak mempunyai kredibiliti dan boleh dipercayai hingga menyebabkan UMNO menjadi musuh politik nombor satu bagi PAS.

Saya masih berharap agar insiden yang pernah berlaku pada tahun 1978 itu dapat dirungkaikan dan diselesaikan dengan kadar yang segera berdasarkan semangat ukhuwwah dan mahabbah sesama Muslim seperti mana yang dituntut oleh Al-Quran dan Sunnah. Penyelesaian ini adalah penting demi kemaslahatan perpaduan dan kesatuan umat Melayu Islam di negara kita.

Perpaduan dan kesatuan umat juga amat penting demi survival dan masa depan Islam serta nasib bangsa Melayu di negara kita sendiri yang bakal ditentukan melalui PRU ke 13 nanti.

Walaupun masa tidak menyebelahi kita tetapi dengan ruang dan peluang yang masih ada rakyat Islam Melayu perlu bersatu untuk bersama-sama menagih fakta sebenar serta perinciannya mengenai isu yang dibincangkan daripada pimpinan tertinggi PAS.

Setakat apa yang telah diberi oleh mereka tidak memungkinkan rakyat Islam Melayu membuat pendirian yang teguh atas tapak yang kukuh untuk menyokong atau menolak Pas atau UMNO dalam PRU ke 13 akan datang.

Menyorot kata-kata pemikir Islam, demi untuk Islam dan demi untuk melebarluaskan syiarnya umat Islam tidak perlu mencari-cari berbagai dalih dan berselindung di sebalik dalih-dalih itu untuk menolak gagasan penyatuan umat Islam. Saya amat optimistik bahawa perpaduan masyarakat Islam seperti yang dituntut oleh Al-Quran dan Sunnah itu begitu tinggi martabatnya dan mengatasi segala-galanya.

Bagi saya apa yang berlaku adalah imbasan-imbasan keangkuhan dan kesombongan untuk mempertahankan pandangan dan pendapat masing-masing sedangkan pandangan dan pendapat itu dalam bentuk apa pun masih terbuka kepada unsur-unsur penolakan dan ketidaksetujuan. Sementara perintah Allah SWT dalam hal ini berkaitan dengan penyatuan umat adalah selama-lamanya benar dan tidak boleh dipersoalkan.

Memandangkan masa yang ada begitu singkat amat mustahak pemimpin-pemimpin Islam, PAS dan UMNO menjadikan isu penyatuan umat ini sebagai agenda nombor satu dalam PRU ke 13. Kedua-dua parti atas nama demokrasi bebas menyuarakan apa isu pun namun isu-isu tersebut tidak akan dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada umat Islam Melayu di negara ini selagi agenda nombor satu penyatuan umat tidak dijunjung oleh kedua-dua parti yang mewakili sebahagian besar daripada penduduk Islam Melayu di negara ini.

Mana-mana parti yang menolak agenda nasional nombor satu ini perlu ditolak oleh rakyat yang akan menggunakan kuasa undi mereka dalam PRU ke 13 nanti.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, KL
15 Februari 2013

No comments: