Thursday, March 14, 2013

Azmin Tak Tahu Khalid Ada Tarikh Bubar DUN


Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat, Azmin Ali belum mendapat sebarang maklumbalas daripada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendakwa mempunyai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Beliau yang ditemui berkata PKR akan membincangkan mengenai perkata itu dalam mesyuarat biro politik.

“Mungkin malam ini (semalam), ada satu mesyuarat biro politik dan kita akan bincangkan perkara ini,” jawabnya ringkas.

Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei yang dihubungi Antarapos semalam walau bagaimanapun mengesahkan bahawa Pakatan Rakyat Selangor telah membuat ketetapan tentang tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya negeri dan mandat diserahkan kepada Khalid untuk mengumumkan tarikh berkenaan.

"Sekarang ini, mandat itu terletak dalam tangan MB Selangor untuk umumkan, tetapi pastinya sebarang tindakan atau pembubaran itu pastinya dalam pengetahuan pimpinan tertinggi dan ia akan diumumkan oleh MB bila waktu, masa dan ketika itu sampai," kata beliau.

Khalid pada Isnin lalu berkata pihaknya sudah mendapat tarikh untuk membubar DUN Selangor.

Bagaimanapun tarikh itu akan diumumkan pada masa yang sesuai, katanya.

"Sudah tapi belum diumumkan. Dalam bulan ini, kalau tiada apa halangan, kita mungkin (bubar)," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Selangor di SUK kelmarin.

Untuk rekod, ini adalah pengumuman kali ketiga Khalid berhubung pembubaran DUN lebih awal daripada kerajaan Persekutuan.

Namun sehingga kini ADUN Ijok itu masih bermain tarik tali dan enggan mengumumkan tarikh itu.

Pada awal tahun lalu, Khalid mengumumkan akan membubarkan DUN lebih awal dan mengugut akan membuat pilihan raya secara berasingan jika kerajaan persekutuan membubarkan Parlimen pada 2012.

Namun beberapa hari sebelum sambutan Chap Goh Meh, Khalid sekali lagi mengumumkan akan membubarkan DUN lebih awal walaupun tanpa persetujuan Putrajaya.

Pengumuman itu dilihat sebagai gertakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen.

Najib dalam reaksinya berkata, beliau tahu masa yang sesuai untuk berjumpa Yang Di-Pertuan Agong untuk meminta perkenan baginda sultan.

No comments: