Tuesday, May 7, 2013

#PRU13 KJ Terharu Ghazali Menang


REMBAU – “Saya sebak apabila mendapat berita, Barisan Nasional (BN) menang di Paroi,” kata Khairy Jamaluddin yang menang bagi kerusi Parlimen Rembau, sekali gus mengekalkan kerusi disandang beliau sejak sepenggal lalu.

Menurut Khairy, beliau masih boleh mengawal perasaan ketika diumumkan menang di kerusi yang dipertandingkan walaupun peroleh majoriti tiga kali ganda berbanding Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu.


Bagaimanapun, kemenangan calon BN di Dun Paroi, Mohd Ghazali Abd Wahid ternyata menyentuh perasaannya.

“Apabila mendapat berita saya menang di Parlimen Rembau, saya ok lagi. Tetapi bila dapat tahu abang Ghazali menang, saya tiba-tiba sebak,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan usaha keras dilaksanakan kerajaan dan kempen di Dun Paroi telah membuka mata pengundi kawasan berkenaan menolak pembangkang.

“Masa mula-mula pengiraan undi, saya dapat maklumat awal, undi BN bagi Dun Paroi sedikit ketinggalan dan saya amat risau. Bagaimanapun, akhirnya BN dapat merampas Dun Paroi dari Pas.

“Majoriti yang diperolehi juga baik dan BN telah dapat menebus semula kerusi berkenaan dengan majoriti yang selesa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai pengumuman keputusan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Seri Rembau, awal pagi semalam.

Khairy berkata, setiap calon BN tidak meletakkan apa-apa sasaran, sebaliknya amat pentingkan gerak kerja berterusan sepanjang tempoh berkempen.

“Saya amat terharu malam ini, kerana majoriti Dun meningkat. Parlimen pun meningkat tiga kali ganda dan yang paling penting, BN menang di Dun Paroi.

“Dengan mandat yang diberi rakyat ini, saya harap kita dapat perbaiki lagi prestasi BN di Parlimen Rembau. Insya ALLAH, penggal ini kita akan selesaikan perkara yang tertangguh, antaranya Hospital Rembau,” katanya.

Keputusan PRU13 malam kelmarin menyaksikan Khairy menang di Parlimen Rembau dengan majoriti 18,357 berbanding PRU12 sebanyak 5,746.

-Sinar Online

No comments: